suria

Sesak nafas masa sujud, terkejut lihat saiz badan di TV... cikgu 145kg gigih workout bersama mak, kini mampu tersenyum puas

Hasil usaha gigih itu, Haziq yang pernah mencecah berat 145 kilogram (kg) kini dapat tersenyum dengan berat sekitar 86 kg.

MASALAH berat badan berlebihan yang dialami jejaka ini ternyata memberi impak negatif terhadap kesihatan dirinya.

Menurut Mohamad Haziq Mohd Ridzuan, 31, dia terpaksa dikejarkan ke hospital sebanyak tiga kali pada tahun 2019 gara-gara masalah tersebut.

Selain itu, dia juga mengambil keputusan untuk melakukan transformasi fizikal selepas terkejut melihat diri sendiri yang muncul dalam sebuah program TV pada tahun sama.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Makan tak ingat’ sampai berat naik 120kg, jejaka ini bernasib baik berjaya kurus selepas hati terdetik ‘nak ada buah hati’

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah merasa beli baju di mall, gadis malas bersenam terkejut berat badan susut 44kg... hanya pegang satu kata kunci! - “Gemuk dari kecil, tak sangka boleh kurus”

"Dulu saya kurus masa sekolah rendah. Saya aktif dalam sukan bola dan olahraga. Masa darjah enam saya mula membesar sehinggalah ke sekolah menengah, universiti dan alam pekerjaan.

"Ada dua sebab kenapa saya nak kuruskan badan. Pertama, saya pernah masuk pertandingan nyanyian I Can See Your Voice (ICSYV) tahun 2019.

"Itu pertama kali saya nampak diri sendiri dalam TV, nampak besar sangat. Masa tu baru saya nampak refleksi, saya tertanya-tanya... selama ni orang tengok aku besar macam ni ke?

haziq2

Haziq akui badannya membesar sejak dia berusia 12 tahun.

"Punca kedua, pada tahun sama saya kena pergi hospital sebanyak tiga kali sebab masalah otot pinggang bengkak. Bukan biasa-biasa, tapi sampai tahap tak boleh bangun. Muscle cramp kerana tak mampu tampung berat saya.

"Doktor kata kena kurangkan berat. Masa tu pun dah umur 28. Jadi saya fikir ia merupakan masa paling sesuai untuk saya berubah. Takkan nak gemuk sampai mati," ujarnya yang senang disapa Haziq.

Menurut guru bahasa Inggeris itu, proses untuk menurunkan berat badan tidaklah semudah yang disangka.

Imbasnya, ketika proses itu memasuki bulan ketiga, negara pula diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekaligus membawa cabaran baru buatnya.

Niat nak beribadah dengan sempurna. Dulu masa gemuk, saya sesak nafas kalau sujud lama-lama. Kalau solat hajat, lagi saya sesak nafas.

HAZIQ

"Saya memulakan proses ini pada hujung 2019. Baru turun berat sikit, PKP dah bermula pada Mac 2020. Tapi saya tak nak jadikan ia sebagai alasan. Saya nak buktikan, kalau orang lain makin 'kembang' ketika PKP, saya pula nak kuruskan badan.

"Masa tu saya duduk dengan mak. Dia merupakan penyokong terbesar saya. Kami sama-sama bersenam dan makan menu sihat. Saya juga banyak kali nak putus asa, tapi saya ingat pesan mak. Dia kata, kau dah gemuk berapa belas tahun, takkan lah nak kurus dalam masa sebulan?

"Saya hanya buat senaman main tali skipping. Dari segi makanan, saya diet macam biasa, ikut amalan pemakanan suku-suku separuh. Sekarang saya hanya makan nasi dua kali seminggu.

haziq3

Haziq merupakan guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah.

"Kita dah biasa makan nasi, masa mula-mula nak kurangkan, memang menggigil juga. Dalam dua ke tiga bulan pertama, saya jaga makan betul-betl. Yang manis-manis saya tak ambil langsung," ujarnya.

Hasil usaha gigih itu, Haziq yang pernah mencecah berat 145 kilogram (kg) kini dapat tersenyum dengan berat sekitar 86 kg.

Bercerita lanjut, Haziq berkata perubahan fizikal itu banyak membawa impak positif, khususnya dalam urusan ibadah seharian.

"Ini pun salah satu sebab saya nak kuruskan badan. Niat nak beribadah dengan sempurna. Dulu masa gemuk, saya sesak nafas kalau sujud lama-lama. Kalau solat hajat, lagi saya sesak nafas.

"Nak duduk masa tahiyat akhir pun susah, kadang-kadang boleh tergolek. Jadi sekarang saya dapat rasa nikmat ibadah, lagi-lagi kalau solat berjemaah di masjid. Saya dapat beribadah dengan lebih khusyuk," ujarnya.

haziq4

Haziq hampir berputus asa sewaktu menjalani proses menguruskan badan.

Dalam pada itu, kekerapa Haziq berkongsi foto transformasi fizikalnya turut tidak disenangi segelintir individu.

"Saya selalu berkongsi gambar before dan after. Ada orang kata saya bersikap narsisistik. Sekali dua upload, boleh beri inspirasi. Bila banyak kali, orang kata meluat.

"Tapi, ketahuilah bahawa saya upload gambar itu untuk memberi peringatan kepada diri saya sendiri, bahawa saya pernah bertubuh besar dan supaya saya tak jadi macam dulu lagi.

"Itu salah satu cara untuk saya disiplinkan diri. Sekarang pun saya belum puas hati dengan berat badan, belum sampai objektif lagi, tapi Alhamdulillah nampak berbeza berbanding dulu.

"Saya tak biasa dipuji, tak pernah dipuji seumur hidup. Bila sekarang saya upload gambar dan dapat pujian, saya jadi kelu tak tahu nak respon macam mana. Kalau tak respon, risau orang kata sombong," ujarnya yang berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Perak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain