suria

Bapa muntah, terduduk di tandas sebelum sahur... esoknya hembus nafas terakhir! Anak ralat tak dapat berbuka sama walau tarikh dah ada

Allahyarham bapa Danie meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada Khamis lalu.

PEMERGIAN ayahanda tercinta ke negeri abadi pada 5 Ramadan menjadi dugaan terbesar dalam hidup jejaka ini.

Menurut Muhammad Ilman Danie, 22, dia sekeluarga masih berduka dengan kehilangan itu, tambahan pula Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi.

Bapanya, Mohd Isamani Mohamed, 52, tiba-tiba jatuh sakit menjelang subuh pada Rabu lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hilang kekuatan, ibu meninggal selepas 13 tahun tanggung 5 penyakit... hanya pusara pengubat rindu!

ARTIKEL BERKAITAN: 2 tahun tahan rindu, anak sedih ada halangan lain tak dapat balik Sabah pada hari kematian bapa

Ketika dihubungi mStar, anak kedua daripada enam beradik itu sempat bercerita lanjut mengenai pemergian bapanya yang disifatkan berlaku secara mengejut dalam masa yang cukup singkat.

"Pada 6 April, ayah bangun dalam pukul 5 pagi untuk bersahur. Masa tu, dia ke tandas dan tiba-tiba pengsan, tapi dia sedar dengan sendiri. Tak pasti berapa minit dia pengsan.

"Selepas itu mak nampak ayah terduduk kat tandas dan dia muntah-muntah. Terus mak saya mesej dalam group WhatsApp mengenai kejadian itu. Pada pagi tu, ayah jadi tak boleh bernafas kalau dia duduk. Jadi dia terpaksa berdiri.

"Selepas dibawa ke klinik, ayah dinasihatkan agar dibawa ke hospital. Doktor maklumkan pada mak bahawa jantung ayah dah kritikal, tapi dia masih boleh bertahan. Jadi dia diletakkan dalam zon kritikal. Kalau dia stabil, ayah akan dibawa ke Insitut Jantung Negara (IJN).

danie2

Suasana Ramadan dan Syawal kali ini pastinya berubah tanpa kehadiran arwah bapa.

"Tapi keadaan ayah masih tak stabil sehingga perlu diberi bantuan pernafasan (CPR) beberapa kali. Dalam pukul 3 pagi pada 7 April, ayah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dalam 8.42 pagi, kami dimaklumkan yang ayah dah tiada," imbasnya sebak.

Senang disapa Danie, dia memaklumkan jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, sekitar pukul 3 petang hari yang sama.

Lepas ni siapa lagi yang nak kejutkan kami? Susah nak percaya, rasa macam mimpi.

DANIE

Menurut penuntut bidang Seni Bina di sebuah kolej di ibu negara itu, dia hanya sempat bertemu dengan bapanya pada Rabu, sejurus dia dimasukkan ke HTAR.

Lebih pilu kata Danie, dia yang berada di kolej sejak awal Ramadan tidak sempat untuk berbuka puasa dengan arwah pada tahun ini, sekali gus meninggalkan memori yang cukup perit buatnya.

"Pada hari ayah masuk hospital, saya ada kelas. Selepas Zohor, saya tergerak hati untuk balik dan terus bergegas ke hospital. Saya sempat jumpa masa ayah masih sedar. Dia tak sempat cakap apa-apa, saya hanya bersalam dan kami pandang mata masing-masing.

danie3

Foto kenangan mereka sekeluarga.

"Bila dapat tahu ayah meninggal, saya memang susah nak percaya sebab dia orang yang sihat dan jaga pemakanan. Saya berpuasa di kolej sejak hari pertama Ramadan, saya rancang nak balik berbuka dengan keluarga pada 16 April depan.

"Sedih sebab tak sempat berbuka dengan ayah tahun ni. Biasanya dia yang selalu call dan kejutkan untuk bersahur. Lepas ni siapa lagi yang nak kejutkan kami? Susah nak percaya, rasa macam mimpi," ujarnya lagi.

Menurut Danie, kenangan membeli juadah berbuka dengan arwah serta riuh-rendah makan semeja dengan keluarga kini hanya tinggal kenangan.

danbie5

Danie tidak berpeluang berbuka dengan bapanya Ramadan tahun ini.

Malah katanya, suasana Ramadan dan Syawal pastinya berubah tanpa kehadiran Allahyarham di sisi pada tahun ini.

"Seronok dapat berbuka satu meja dengan semua ahli keluarga. Rindu nak duduk lengkap sekeluarga dalam satu meja. Setiap kali pergi bazar, arwah suka murtabak daging. Raya tahun ni tak tahulah nak pakai baju macam mana. Recycle yang tahun lepas pun tak kisah," ujarnya lagi.

Kisah sayu Danie yang kehilangan bapa tercinta pada 5 Ramadan tular menerusi TikTok.

Di ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan ucapan takziah, tak kurang juga yang memohon agar Danie sekeluarga diberi kekuatan untuk menghadapi kehilangan tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain