HAIWAN peliharaan sememangnya terkenal dengan sifat manja dan jinak. Jarang sekali ia bertindak di luar kawalan, kecuali sesuatu yang menjadi 'trigger' sehingga membuatkannya bertindak secara agresif. Menerusi satu perkongsian di laman sosial, seorang ibu memuat naik video detik cemas mengenai anak kecilnya digigit kuda padi ketika sedang memberi rumput kering kepada haiwan itu. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa nampak ular ‘target’ anak sedang mandi air terjun tapi tak sempat bertindak, tiba-tiba dah kena patuk 2 kali - “Dua klinik tak terima kes ni” ARTIKEL BERKAITAN: “Beruk tu nak dukung anak saya” - Berlubang dahi diserang monyet liar, ibu menggigil saksi anak nyaris dibawa lari masuk hutan Menerusi video berdurasi dua minit dan 13 saat itu, tiga anaknya kelihatan seronok memberi makan rumput kering kepada seekor kuda padi yang ditambat di dalam kandang sambil diawasi oleh suaminya, sebelum lengan salah seorang daripada mereka menjadi sasaran haiwan berkenaan. Mengimbas kembali insiden berkenaan, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suzana berkata, kejadian itu berlaku pada bulan lalu ketika dia sekeluarga pulang ke kampung ibu mentua di Pengkalan Chepa, Kelantan. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Kuda itu milik penduduk kampung dan ia ditambat dalam kandang berhampiran kedai makan milik ibu mentua. Ketika itu saya sedang tolong ibu mentua di kedai, suami pula teman tiga anak kami bermain dengan kuda padi itu. "Bukan kali pertama bermain... sebelum ini memang anak-anak biasa main dengan kuda padi itu setiap kali pulang ke kampung. Selama ini tak pernah berlaku apa-apa pun. "Kebetulan suami saya memang rakam untuk dijadikan kenangan kami sekeluarga. Tapi mungkin kali ini benda nak jadi dan sempat dirakam pula. Detik-detik cemas ketika kuda padi berkenaan cuba menggigit tangan Nabil. "Tengah anak-anak seronok beri makan sambil gosok-gosok, tiba-tiba ia gigit tangan anak nombor dua, Nabil, yang berusia enam tahun," ujar wanita berusia 36 tahun ini kepada mStar. Menurut Suzana, anaknya menangis kerana terkejut sejurus selepas digigit namun tangisannya reda selepas dipujuk suaminya. "Saya pula tak dengar dan tak sedar ketika kejadian berlaku. Suami hanya beritahu kepada saya selepas itu. "Cepat-cepat saya selak lengan baju anak. Di kawasan terkena gigitan berwarna merah dan ada kesan gigi, walaupun anak pakai baju lengan panjang. Kesan gigitan kuda padi pada lengan Nabil sudah hampir pulih sepenuhnya selepas sebulan insiden berkenaan berlaku. "Mentua kata elok bawa ke klinik. Bila sampai, doktor periksa dan kata mujur bawa anak cepat. Katanya, kesan gigitan ni bahaya sebab ia melibatkan kebersihan haiwan. Doktor beri suntikan antibiotik untuk elak jangkitan kuman dan beberapa jenis ubat lain," ujarnya yang menetap di Gelang Patah, Johor. Sebulan selepas 'tragedi' tersebut, Suzana berkata, kesan gigitan pada lengan anak keduanya sudah hampir pulih sepenuhnya. "Beberapa hari awal saja anak mengadu sakit, dan ada nampak bintik-bintik merah di kawasan gigitan tapi kemudian ia reda. Saya sentiasa pantau keadaan anak. Alhamdulillah, sekarang dah hampir pulih sepenuhnya... hanya tinggal parut saja," ceritanya yang bekerja sebagai seorang penjawat awam. Mungkin anak saya pakai baju warna warni, kemudian ke hulu ke hilir... mungkin kuda tu stres. SUZANA IBU Tambah Suzana, perkongsian yang dibuat di laman TikTok hanyalah sebagai kenangan dan pada masa sama mahu menyampaikan mesej kepada orang lain agar mengambil langkah berhati-hati sekalipun berdepan dengan haiwan jinak. "Bila saya share video, ramai yang kongsi petua dan tip. Ramai komen, kalau nak main, tengok dulu telinga kuda tersebut. Kalau telinganya ke belakang, ia tanda-tanda kuda tersebut dalam mood kurang baik. "Mereka kata kuda memang jinak tapi mudah stres. Mungkin anak saya pakai baju warna warni, kemudian ke hulu ke hilir... mungkin kuda tu stres. Ini ilmu yang saya pun baru tahu. Suzana bersama suami dan tiga orang cahaya mata mereka. "Alhamdulillah anak saya tak trauma. Kami sebagai ibu bapa pun tak mahu buat anak terus fobia. Sebaliknya kamu cakap, kuda tu tak salah... mungkin adik bagi ia makan sikit. Lepas ini kena bagi makanan banyak sikit. "Apapun, tujuan utama perkongsian video itu adalah untuk ingatkan orang ramai agar ambil langkah berhati-hati meskipun haiwan itu jinak, dan segera ke klinik jika berlaku kejadian seperti digigit," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI