suria

Cinderella moden pandai berdikari, tahu kutip ‘heels’ sendiri... Gadis anugerah dekan ini tanggung malu kasut buat onar atas pentas

Insiden lucu kasut Tasha tertanggal ketika dia naik ke pentas untuk menerima anugerah dekan.

DETIK ketika naik ke pentas untuk menerima sesuatu anugerah sememangnya amat bermakna buat sesiapa sahaja.

Namun siapa sangka, momen penuh bersejarah itu terselit insiden lucu gara-gara tersadung sehingga kasut yang dipakai tercabut!

Berkongsi kisah lucu itu dengan mStar, gadis bernama Ainnur Natasha Kaman Azaha, 19, berkata insiden tersebut berlaku Isnin lalu ketika dia menghadiri majlis penganugerahan anjuran kolejnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih seminit di pentas sebab keliru disoal harga sawit ketika terima skrol, apa pula kisah graduan selepasnya... cuak sampai muka kejung! - “Pro-canselor memang suka tanya student”

ARTIKEL BERKAITAN: Tebal muka mortar board melayang, gadis bikin ‘drama’ di pentas konvo... Tak sangka dapat peluang ke-2 terima skrol

"Saya merupakan salah seorang penerima anugerah. Hari itu, saya terima anugerah dekan dan juga watikah pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

"Kali pertama naik ke pentas untuk ambil watikah pelantikan JPP, masa tu okay saja tapi rasa licin masa nak berjalan sebab pakai stoking. Waktu nak turun, rasa nak tergelincir sikit.

"Saya pun berdoa dalam hati, nanti apabila nak naik pentas kali kedua ambil anugerah dekan, janganlah jadi apa-apa. Tapi apa yang ditakuti itu terjadi.

"Pada ketika ini la tak semena-mena muncung kasut tumit tinggi tu tersadung. Kasut pula licin... teruslah tertanggal sebelah. Tersipu-sipu juga sebab berlaku depan Pengarah Kolej dan Timbalan Pengarah Akademik," ujarnya yang senang disapa sebagai Tasha.

Menurut gadis yang sedang mengikuti pengajian peringkat sijil dalam jurusan Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti Selayang, insiden tersebut menyebabkan dewan gamat dengan gelak ketawa para hadirin yang terhibur melihat momen lucu berkenaan.

kasut 1

Selain anugerah dekan, Tasha turut menerima pelantikan watikah sebagai AJK Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) di kolejnya.

"Sudahlah saya minta seorang kaunselor rakam sebagai kenangan... memang jadi kenangan betul la. Nak kata malu, sebenarnya tak ada sangat tapi saya sendiri tak dapat nak tahan gelak.

"Beriya beli kasut baru semata-mata untuk majlis tersebut. Sudahnya kasut itu buat onar. Kalau nak pakai lagi, memang kena fikir banyak kali. Lepas dah turun pentas, kawan-kawan tak lepaskan peluang 'membahan' sampailah sekarang," ujar anak kedua daripada empat adik beradik ini.

kasut 3

Tasha (kiri, belakang) bersama AJK JPP Kolej Komuniti Selayang.

Bercerita serba sedikit mengenai kejayaannya memperoleh anugerah dekan, Tasha berkata dia sama sekali tidak menyangka memperoleh keputusan yang agak cemerlang.

"Sebenarnya bidang Fesyen dan Pakaian ini adalah pilihan kedua. Saya lebih meminati bidang muzik namun tiada rezeki sebab tak lulus interview di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Walaupun begitu, saya cenderung juga ke arah bidang fesyen jadi saya cuba pupuk minat walaupun ia pilihan kedua. Alhamdulillah, tak sangka dapat pointer bagus untuk semester pertama.

Beriya beli kasut baru semata-mata untuk majlis tersebut. Sudahnya kasut itu buat onar.

AINNUR NATASHA KAMAN AZAHA

"InsyaAllah selepas tamat pengajian peringkat sijil, saya cuba mengintai peluang untuk sambung pengajian peringkat diploma dalam bidang muzik... mudah-mudahan ada rezeki. Saya juga kategori OKU microtia (telinga satu) tapi masih boleh mendengar tapi saya pilih untuk belajar di kelas pelajar biasa," ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian di semester dua.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di aplikasi TikTok meraih lebih 584,000 jumlah tontonan, Tasha berkata dia pada mulanya sekadar mahu berkongsi momen lucu bersama para pengikutnya.

kasut 2

Tasha (depan, kanan) merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

"Tak sangka langsung viral. Tiba-tiba jumlah tontonan makin lama makin naik.

"Saya sendiri geli hati baca komen-komen netizen yang semuanya lucu belaka. Ada yang gelarkan saya Cinderella lah sebab kasut tertanggal sebelah... ikut suka merekalah.

"Tapi saya gembira sedikit sebanyak video ini menghiburkan orang lain," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain