suria

Suspek pencuri hantar wakil pulangkan telefon, tak sia-sia Rita Sosilawati ‘upload’ rakaman CCTV dalam kedai

Kiri Rita (kiri) dan adik lelaki bersyukur telefon yang dicuri dipulangkan semula. Kanan suspek yang merupakan pelanggan restoran.

PENANGAN kuasa viral!

Kurang 24 jam insiden kecurian telefon pintar berharga hampir RM5,000 berlaku di restoran milik usahawan kosmetik, Datin Rita Sosilawati, gajet itu dikembalikan kepada pemiliknya.

Berkongsi berita gembira itu, Rita berkata seorang lelaki yang mendakwa sebagai rakan niaga kepada majikan suspek tampil ke restorannya di Publika, Kuala Lumpur pada lewat petang Khamis bagi memulangkan telefon berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bulan puasa pun mencuri! Pelanggan restoran 'kebas' telefon adik Rita Sosilawati... Netizen kata cuai, salah sendiri

"Sekitar pukul 6 petang, seorang wakil suspek datang ke kedai dan berjumpa staf saya untuk memulangkan telefon selepas video pelaku dikongsi ramai sehingga viral.

"Lelaki tu memaklumkan kejadian itu berlaku secara tidak sengaja kerana 'terambil' beg kertas mengandungi kotak telefon yang baru dibeli adik saya.

"Tapi kami tak fikir dia 'terambil' sebab kotak telefon yang berbalut dengan plastik telah dibuka, malah telefon juga dibuka. Tak mungkin terambil," katanya kepada mStar.

Rita atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari turut memaklumkan bahawa wakil tersebut merayu supaya laporan polis yang dibuat terhadap pelaku ditarik balik.

Selepas mengadakan perbincangan, Rita dan adik lelakinya berusia 35 tahun, Md Erwan Nasri yang juga pemilik telefon yang dicuri bersetuju dengan permintaan tersebut, tetapi bersyarat di mana gajet tersebut perlu diganti semula.

"Seorang lelaki yang dikatakan sebagai PA (pembantu peribadi) kepada wakil pelaku datang ke restoran saya kira-kira pukul 7 malam bagi menyerahkan telefon model sama yang baru.

"Kami juga dimaklumkan bahawa pelaku berusia 30-an itu telah dipecat selepas kejadian curi itu," ujar Rita enggan memperincikan butiran suspek.

pelanggan rita mencuri 4

Beg kertas (bulatan merah) yang mengandungi kotak telefon diletakkan di atas meja berdekatan dengan Rita dan adik-adiknya.

Katanya, dia sekeluarga memutuskan untuk tidak mahu memanjangkan kes berkenaan kerana apa yang lebih penting adalah telefon yang dicuri dikembalikan semula.

"Kami sekeluarga tak mahu kes berpanjangan dan wakil suspek sudah pun pulangkan semula telefon. Kami juga telah menarik laporan polis kira-kira pukul 9 malam (Khamis)," ujarnya.

pelanggan rita mencuri 3

Pelanggan terbabit (bulatan merah) berurusan dengan pekerja restoran untuk membuat pesanan makanan.

Menurut Rita, dia dan adik lelakinya bersyukur dan amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang turut membantu menularkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian curi di restorannya pada Rabu malam.

"Alhamdulillah kurang 24 jam kami dah dapat telefon tu balik. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu. Saya berkongsi rakaman yang memaparkan wajah suspek bukan untuk mengaibkan dia, tetapi untuk kita semua berhati-hati dengan individu tersebut.

Kami sekeluarga tak mahu kes berpanjangan dan wakil suspek sudah pun pulangkan telefon. Kami juga telah menarik laporan polis kira-kira pukul 9 malam (Khamis).

DATIN RITA SOSILAWATI

"Kepada lelaki yang mencuri telefon tu, saya berharap dia mengambil pengajaran di atas kejadian yang berlaku dan benar-benar insaf kerana tindakan itu hanya merugikan dirinya sendiri dan banyak pihak.

"Saya berharap kejadian yang berlaku juga dijadikan iktibar kepada semua untuk tidak mencuri, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan," katanya.

pelanggan rita mencuri 5

Pelanggan yang mencuri telefon segera beredar keluar dari restoran.

Dalam kejadian yang berlaku di restoran milik Rita pada Rabu malam, seorang pelanggan didakwa mencuri beg kertas yang mengandungi kotak telefon yang baru dibeli adiknya.

Menerusi rakaman CCTV, pelanggan berkenaan datang ke restoran bagi membeli nasi goreng untuk dibungkus sebelum mencuri beg kertas yang diletakkan di atas meja di dalam premis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain