suria

Menangis dari Bangi ke Perai nak bawa bapa makan KFC, menu ‘kayangan’ zaman 80an... Ustaz pesan anak-anak balas budi orang tua

Kenangan membawa bapa membonceng motosikal pergi menikmati KFC menjadi memori indah bagi ustaz Johari.

BERTANDANG ke bazar Ramadan boleh dikatakan menjadi satu kemestian setiap kali tibanya bulan puasa.

Namun hakikatnya bukan semua yang bernasib baik untuk membeli beraneka jenis juadah berbuka puasa di tempat tumpuan itu.

Berkongsi pengalaman, pendakwah Johari Abdul Wahab berkata dia sendiri tidak pernah berkunjung ke bazar Ramadan ketika kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sanggup belanja besar bawa 30 murid ke KFC... terpegun tengok sos keluar dari pam, tangan terketar pertama kali dapat makan

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata

"Puluh tahun abah aku kerja guard kat kilang Prai (Pulau Pinang). Apabila masuk bulan Ramadan kami memang tak pernah pi (pergi) bazar.

"Dulu aku memang tak faham fasal apa abah aku lalu depan bazar Ramadan tapi tak singgah. Tapi la ni (sekarang ni) aku faham sebab apa.

"Kalau abah aku ada duit mesti kami dah pi bazar Ramadan," tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook yang kini tular.

abah kfc 2

Ustaz Johari membawa bapanya ke restoran KFC.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Johari, katanya dia sekeluarga masih berpeluang untuk merasai makanan yang enak iaitu di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan yang dipanggil sebagai malam tujuh likur oleh kebanyakan mereka, lebih-lebih lagi pada 27 Ramadan.

"Kalau nak makan sedap tunggu malam 27 Ramadan. Di Masjid akan buat kenduri. Jadi lepas Asar kami nanti pi pau (ambil) kat masjid," katanya.

Selain itu Johari turut mengimbau zaman mudanya saat arwah bapa membawanya ke pasar malam.

"Dia (abah) akan beli kat aku ayam lima ketul seringgit. Masa tu aku dah cukup bahagia. Bahagia itu sangat subjektif.

"Aku faham tak ada mak pak (ibu bapa) nak bagi anak-anak makan tengkuk (ayam) tapi itu sahaja yang dia mampu," ujarnya.

abah kfc 3

Ustaz Johari Abdul Wahab.

Walau bagaimanapun, Johari juga cukup bertuah apabila berpeluang menikmati hidangan ayam goreng KFC ketika itu.

"Dulu sebulan sekali sahaja dapat merasa KFC kat Prai. Lepas abah aku ambil gaji kat bank di Prai, terus abah bawa pi KFC.

Kalau nak rezeki mencurah-curah macam curahan air hujan, buat baiklah dekat ibu bapa sampai akhir hayat mereka.

USTAZ JOHARI ABDUL WAHAB

"Abah aku order sepinggan sahaja, ayam tiga ketul. Abah tak makan, dia tengok saja aku makan sebab baki duit gaji nak guna untuk sebulan lagi," katanya.

Namun memori menikmati hidangan KFC tidak terhenti di situ, kali ini tiba pula giliran Johari membawa bapanya menikmati ayam goreng di restoran makanan segera itu.

abah kfc 4

Perkongsian Ustaz Johari mengundang sebak.

"Aku teringat betul kenangan abah bawa aku makan KFC. Aku drive sambil teriak (menangis) dari Bangi ke Penaga semata-mata nak bawa pula abah mkn KFC.

"Sampai kat Penaga, terus aku naik motor dengan abah pi KFC Bertam. Aku pesan tiga ketul ayam dan tengok abah makan macam dia pernah buat kat aku dulu.

"Abah aku tanya awat (kenapa) hang (kamu) tak makan? Sama soalan aku pernah tanya kat abah aku dulu. Hampa (kamu semua) nak tau tak, itulah kali terakhir aku naik motor dengan abah.

"Lepas tu abah aku dah ‘tak ada’. Kalau hangpa nak rezeki mencurah-curah macam curahan air hujan, nak keberkatan dalam hidup, buat baiklah dekat mak pak hangpa sampai akhir hayat depa (mereka)," katanya.

Luahan Ustaz Johari di Facebook dikongsi lebih 900 kali dengan ruangan komen mengundang sebak netizen di samping turut mendoakan arwah bapanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain