suria

Terliur layan video ayam gunting, takoyaki leleh... Content creator ini buat iklan TikTok percuma, belum makan dah nampak sedap

Danish mahu berkongsi bakatnya dengan membantu peniaga-peniaga kecil memajukan perniagaan.

USAHA murni seorang content creator membantu peniaga-peniaga kecil dengan karya kreatif secara percuma wajar mendapat pujian ramai.

Lebih membanggakan, video yang dihasilkan Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus untuk memperkenalkan perniagaan mereka meraih jutaan tontonan di aplikasi TikTok.

Bercerita kepada mStar, jurufoto dan juruvideo yang senang disapa Danish itu akui terpanggil untuk memberikan khidmat bakti secara percuma, sekaligus membantu para peniaga yang banyak terkesan sejak pandemik melanda.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula sebagai ‘bidan terjun’, kini videographer manis berbaju kurung sedia ambil job seluruh Malaysia... ada bakat menjahit juga!

ARTIKEL BERKAITAN: Videographer sanggup ‘tebal muka’ dekati lelaki tak dikenali di Bukit Bintang, aksi 10 minit je... hasil video, wow luar biasa!

"Saya mula aktif di TikTok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan. Saya bermula secara santai, kemudian mula buat content secara profesional pada tahun 2021.

"Niat pertama saya memang nak bantu peniaga. Yang kedua, nak tunjukkan potensi yang saya ada. Ramai cakap saya ada bakat, tapi YouTube yang saya usahakan tak blow up.

"Tapi di TikTok video saya blow up sehingga dapat macam-macam rezeki. Saya bukan bantu peniaga makanan saja, perniagaan fesyen pun ada. Saya nak content saya beri impak kepada peniaga kecil. Memang moto dan target nak tolong peniaga baru nak up," jelasnya.

Menurut jejaka berusia 23 tahun itu, dia berpuas hati kerana dapat membantu golongan berkenaan, sekaligus memperkenalkan perniagaan mereka kepada orang ramai.

Penangan video tular, Danish bagaikan tak menang tangan apabila dia dihujani mesej daripada ramai peniaga menagih khidmat video percuma yang ditawarkannya.

"Ada seorang pakcik peniaga sate di Kampung Baru, dia stuggle nak bayar sewa kerana kurang pelanggan. Saya tawar untuk shoot dan promo bisnes dia secara percuma. Selepas video itu viral, dia kata kedainya penuh sampai hari ni.

danish5

Danish merupakan graduan UiTM dalam bidang Sains Komputer.

"Alhamdulillah, saya tak sangka. Apa yang saya buat dapat beri impak kepada bisnes mereka. Ada juga peniaga yang hantar gambar, kedai mereka penuh selepas saya buat video. Saya pun gembira boleh tolong orang dengan kemahiran yang saya ada.

"Yang penting kena tahu niat kita. Kalau buat untuk kemahsyuran atau nak tunjuk-tunjuk pada orang, memang tak akan pergi jauh. Saya pula niat nak bantu bisnes, pada masa sama nak tunjuk kemahiran kreatif saya," ujar anak ketiga daripada enam beradik itu.

Tak kisah pakai telefon atau kamera, yang penting kena pandai guna sebaiknya. Ada rezeki baru upgrade.

DANISH

Selain peniaga sate tersebut, video Danish membantu pasangan suami-isteri peniaga burger di tepi jalan turut meraih perhatian ramai.

Bercerita mengenai dirinya, graduan bidang Sains Komputer itu mula berjinak-jinak dalam dunia kreatif sejak berusia 12 tahun.

Imbas Danish, dia pada awalnya banyak menawarkan khidmat secara percuma demi mengasah bakat dan kemahiran sebelum terjun dalam bidang itu sepenuh masa sejurus tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka.

danish4

Danish memiliki lebuh 65,000 pengikut di TikTok.

Selain video percuma untuk membantu peniaga kecil, Danish juga turut menawarkan khidmat penghasilan video berbayar yang mana ia menjadi sumber pendapatan utamanya pada masa ini.

Di akhir bicara, Danish sempat menitipkan pesan kepada anak muda di luar sana agar berpegang kepada minat mereka jika benar-benar mahu terjun dalam bidang sama dengannya.

"Apabila ada minat, buat saja, jangan tunggu orang lain. Macam saya dulu, nak buat bidang ni tapi tiada duit nak beli kamera. Saya minta sokongan mak ayah. Apabila dah dapat, saya bayar balik pada mereka.

danish2

Antara peniaga yang pernah dibantunya.

"Masa tu mereka was-was tapi saya tetap teruskan dan tunjuk hasil pada mereka. Kalau tengok video dulu biasa-biasa saja. Tapi sepanjang perjalanan itu, kita akan improve.

"Tak kisah pakai telefon atau kamera, yang penting kena pandai guna sebaiknya. Ada rezeki baru upgrade. Kamera bukan segala-galanya. Pada masa sama, kena pandai market diri juga," ujarnya yang berasal dari Muar, Johor.

Untuk rekod, Danish yang menetap di Ampang, Selangor memiliki lebih 65,000 pengikut di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain