suria

Ebit Lew ‘all out’ kejar keberkatan Ramadan, buka rumah gelandangan di Jakarta... Berjaya tarbiah 20 pemuda punk jadi sukarelawan

Kiri Ebit menenangkan seorang anak muda yang sebak, kanan Ebit bersama kumpulan anak muda yang menjadi sukarelawan menguruskan rumah gelandangan. foto FB Ebit Lew

KETIKA Ramadan bakal meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi, umat Islam terus melakukan pecutan terakhir bagi melipatgandakan amalan masing-masing.

Bagi personaliti dakwah, Ebit Lew yang terkenal dengan melakukan kerja-kerja amal, kunjungannya ke Jakarta, Indonesia bagi menyantuni golongan gelandangan membuatkan air matanya gugur.

Perasaan itu diluahkannya selepas berjaya membuka pusat penempatan buat golongan gelandangan di negara jiran itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pantas! Ebit Lew hadiah Perodua Bezza kepada wanita bawa OKU dalam motosikal roda tiga... Tapi netizen pertikai, kenapa dapat cepat?

ARTIKEL BERKAITAN: Sehari selepas hadiah kereta buat wanita bawa OKU... Ebit Lew beri Proton Saga kepada suami isteri istimewa pula, siap bayar cash!

Lebih manis apabila sekumpulan pemuda berimej punk dan dipenuhi tatu yang ditemui Ebit di sana turut dijadikan sukarelawan membantu golongan gelandangan untuk diberikan perlindungan dan tempat berteduh.

ebit lew 2

Seorang anak muda punk tidak dapat menahan sebak sewaktu bertemu Ebit.

"Hari air mata bahagia. Hadiah Allah pada malam 27 Ramadan. Syukur kami buka rumah singgah untuk gelandangan yang hidup di jalanan di Jakarta Timur.

"Rumah tiga tingkat. 20 anak muda punk bertatu yang ditemui sebelum ini kami jadikan sukarelawan yang akan menguruskan rumah ini.

"Mereka juga akan masak secara percuma untuk makan malam setiap hari kepada gelandangan yang tidur di sini," tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook, pada Jumaat.

ebit lew 5

Ebit (tengah) bersama anak-anak muda punk.

Ebit berkata, pusat penempatan itu mengutamakan golongan ibu bersama anak-anak kecil dan orang-orang tua untuk bermalam.

"Kami juga akan aturkan kelas pengajian solat dan al-Quran untuk anak jalanan ini," katanya.

ebit lew 10

Ebit dan sukarelawan menyusun katil di rumah gelandangan.

Apa yang membuatkan Ebit lebih sebak adalah melihat anak-anak muda yang dibantunya itu menunjukkan kerajinan mereka.

"Paling sebak apabila tengok anak muda punk ini semua rajin dan akhlak mereka baik. Apabila nak balik semua menangis peluk saya.

"Katanya 'kami tak pernah rasa ada orang menyayangi kami begini'. Mereka tak sabar nak berniaga sedikit dan nak ubah cara mencari rezeki.

"Kami juga akan terus membantu mereka," tambahnya.

ebit lew 13

Ebit (kiri) mendengar luahan kaum ibu.

Air mata Ebit terus mengalir sambil mengucapkan kesyukuran menyaksikan para ibu yang membawa anak-anak kecil untuk tidur di pusat gelandangan itu.

"Ya Allah, apabila tengok ibu bawa anak kecil untuk tidur di sini, mengalir air mata. Syukur malam ini mereka tidak kesejukan di tepi jalan atau tempat sejuk.

Paling sebak apabila tengok anak muda punk ini semua rajin dan akhlak mereka baik. Apabila nak balik semua menangis peluk saya. Katanya 'kami tak pernah rasa ada orang menyayangi kami begini'.

EBIT LEW

"Ramai tak kenal ayah, tak kenal ibu bapa. Allahuakbar. Daripada kecil ada di jalanan. Ya Allah hanya kau yang maha kuasa atas segalanya. Bantulah dan jagakanlah mereka semua.

"Terimalah niat anak punk ini untuk menjadi lebih baik dan berjaya membantu lebih ramai orang. Cita-cita mereka ingin membantu semua anak di jalanan yang tiada tempat tidur dan makan," katanya.

ebit lew 11

Ebit santai bersama penghuni dan sukarelawan.

Posting Ebit di Facebook dikongsi lebih 4,000 kali dengan rata-rata netizen dari Malaysia dan Indonesia turut sebak dan terharu.

"Allahuakbar, saya hanya mampu menangis. Semoga Allah SWT berkati dan permudahkan segala urusan ustaz... rezeki ustaz tak pernah putus, tetapi mengalir deras.

"Masya-Allah, tabarakallah. Sebak saya tengok apabila ustaz care sangat dengan mereka. Saya orang Indonesia ucapkan banyak terima kasih dengan ustaz sebab orang-orang macam mereka memang perlukan orang macam ustaz yang berikan kasih sayang," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain