suria

Gara-gara rindu, ibu bapa ‘meriahkan’ kubur arwah anak dengan letak banyak mainan... pendakwah terkejut tengok!

Ustaz Azmi menegur tindakan segelintir ibu bapa beragama Islam yang meletakkan mainan di kubur anak masing-masing.

PEMERGIAN insan tersayang sememangnya meninggalkan kesan mendalam buat ahli keluarga yang masih hidup.

Walaupun umat Islam dituntut untuk reda dengan qada dan qadar, namun tidak dapat dinafikan perasaan rindu pasti sesekali bertandang jua.

Justeru bagi menghilangkan rasa rindu yang tidak berpenghujung kepada yang sudah tiada, setiap individu mempunyai cara tersendiri selain memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal tempah teksi ke kubur, anak-anak rindu arwah bapa... Uncle Kentang murah hati belanja Teksi 10 sen

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun bersedih tanggung rindu, ibu kembali ceria jumpa ‘kembar’ arwah anak ketika naik cruise - “Suami beranikan diri tegur pemuda tu”

Namun satu perkongsian yang tular di media sosial baru-baru ini nyata mengejutkan warganet.

Mana tidaknya, posting tersebut memaparkan sebuah kawasan tanah perkuburan Islam yang menempatkan jenazah kanak-kanak 'meriah' dengan pelbagai jenis permainan yang diletakkan di atas pusara.

Tindakan tersebut dianggap lebih kepada meletakkan 'perhiasan', selain ia juga cara sesetengah ibu bapa menghilangkan rindu kepada anak masing-masing yang sudah meninggal dunia.

KUBUR 1

Sebuah perkuburan kanak-kanak di negara jiran yang 'meriah' dengan mainan kanak-kanak.

Bagaimanapun, perkara tersebut mendapat perhatian seorang pendakwah bebas yang dikenali sebagai Ustaz Azmi Abdul Samad.

Bimbang perkara sedemikian dijadikan 'budaya', pendakwah bebas berkenaan tampil membuat teguran dan meminta agar mana-mana individu yang pernah berbuat demikian agar segera sedar.

"Baru-baru ini, saya singgah di satu perkuburan. Saya amat terkejut apabila melihat kawasan perkuburan kanak-kanak Islam, ada yang meletakkan mainan, kereta-kereta, anak patung di sisi perkuburan-perkuburan demikian.

"Kita memang sayangkan anak kita, apatah lagi yang meninggal dunia itu bayi atau belum baligh. Namun kita tidak boleh mengikuti cara pemikiran atau gaya hidup orang-orang bukan Islam," katanya menerusi satu klip video yang dikongsi di aplikasi TikTok.

Kita berdoa kepada Allah agar kita dapat bertemu dengan mereka di syurga kelak dan bukan dengan meletakkan mainan-mainan tersebut di kubur mereka.

USTAZ AZMI ABDUL SAMAD

PENDAKWAH

Sebaliknya tambah beliau, apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sebagai tanda sayang atau merindui insan yang telah pergi adalah dengan mengirimkan doa kepada tuhan.

"Sebagaimana menurut hadis, telah bersepakat para ulama, sekiranya ada di antara bayi atau kanak-kanak yang belum baligh meninggal dunia, nescaya tempat mereka adalah dalam syurga.

"Kita berdoa kepada Allah agar kita dapat bertemu dengan mereka di syurga kelak dan bukan dengan meletakkan mainan-mainan tersebut di kubur mereka.

"Hentikanlan perbuatan sedemikian. Jangan jadi satu trend baru di mana kita letak mainan dan sebagainya di sisi perkuburan anak-anak," ujarnya lagi.

KUBUR 2

Antara komen netizen terhadap perkongsian video Ustaz Azmi.

Bagaimanapun difahamkan, video tersebut dirakam di sebuah tanah perkuburan Islam di Singapura.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, rata-ratanya menyokong pandangan yang diutarakan oleh pendakwah berkenaan.

"Manusia dah semakin jauh daripada ajaran agama. Terima kasih kerana ustaz menegur.

"Di Malaysia belum ada... moga jadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.

"Masyarakat kita semakin parah... ada-ada saja perkara yang mencairkan akidah," demikian antara komen netizen pada perkongsian video tersebut.

Sehingga kini video berkenaan meraih sehingga melebihi 70,000 jumlah tontonan di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain