suria

Emas 916 luntur warna! Cangkuk gelang tukar jadi putih... Penjual salahkan losyen, ramai pula tak puas hati

Barang kemas merupakan perhiasan berharga kerana disifatkan sebagai aset mudah cair.

BARANG kemas merupakan perhiasan berharga bagi kaum wanita selain menjadi simbol kekayaan pada si pemakai.

Secara saintifik, emas merupakan logam lengai yang mempunyai ketumpatan paling tinggi serta selamat kerana ia tidak mudah bertindak balas dengan unsur lain atau bahan kimia seperti asid dan alkali pekat.

Berbanding logam lain, ia akan hancur atau larut apabila dicampurkan dengan bahan pelarut.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cemas terbuang dompet barang kemas, mujur pekerja MBSP sanggup korek timbunan sampah cari sampai jumpa

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita berguling atas jalan... belon berisi emas terbang tak dapat diselamatkan, suami tenang je beri gelang baharu

Maka tidak hairanlah, barang kemas palsu boleh dikesan menerusi beberapa kaedah termasuk pengujian menggunakan asid.

Terbaharu menerusi hantaran di media sosial, seorang wanita meluahkan rasa terkejut apabila barang kemas yang baharu dibeli tiba-tiba bertukar warna menjadi putih.

Seorang wanita meluahkan perasaannya di Facebook selepas barang kemas anaknya luntur warna.

Seorang wanita meluahkan perasaannya di Facebook selepas barang kemas anaknya luntur warna.

"Saya 'meroyan' hari ini. Pada 26 April beli gelang anak, hari ini baru perasan gelang yang saya beli tu di bahagian cangkuknya bertukar warna jadi putih.

"Boleh tengok pada gambar... ada yang pernah jadi macam ini ke? (Warna) Emas 916 boleh hilang jadi putih... emas ke bukan emas?" luahnya penuh sangsi di Facebook.

Menurutnya lagi, barang kemas tersebut dibeli di sebuah kedai terkenal di sekitar Lembah Klang.

"Ini kali pertama saya beli emas daripada kedai tu, kedai agak terkenal juga di Kuala Lumpur dan Selangor. Saya WhatsApp untuk complaint dan mereka suruh datang untuk repair.

Emas tulen tidak mudah luntur warna.

Emas tulen tidak mudah luntur warna.

"Apabila saya tanya kenapa kualiti rendah macam tu, mereka jawab 'kadang pakai losyen boleh jadi macam tu, nanti bila bakar balik dia akan keluar warna kuning asal... akak (kakak) ada pakai perfume di situ?'.

"Apabila dengar dia cakap macam tu saya mula terfikir bahawa ini bukan perhiasan tiruan dari Bangkok atau Korea yang yang ada pantang larang tentang losyen dan perfume. Ini emas 916," luahnya lagi.

Buntu dengan apa yang terjadi, wanita berkenaan mendapatkan pandangan orang ramai tentang apa yang wajar dilakukannya.

Antara reaksi warganet.

Antara reaksi warganet.

"Saya beli barang kemas bukan la satu atau dua kali... tetapi ini pertama kali emas saya turun warna. Jadi mahu minta pendapat semua, apa perlu saya buat?

"Di mana nak periksa ketulenan emas ya?" ajunya lagi.

Perkongsian yang dibuat pada lewat malam Khamis itu dikongsi lebih 117 pelayar media sosial.

Rata-rata warganet meluahkan kebimbangan selain meminta wanita tersebut memaklumkan lokasi kedai barang kemas yang dibelinya itu.

"Kak PM (mesej secara privasi) nama kedai boleh? Risau terbeli situ.

Bahagian dalam emas tulen 916 tetap berwarna emas walaupun dibakar.

Bahagian dalam emas tulen 916 tetap berwarna emas walaupun dibakar.

"Nak tahu juga nama kedai tu dan dekat mana premis dia. Takut terjebak... setinggi-tinggi terima kasih kalau kongsi nama tempatnya," luah beberapa netizen.

Dalam pada itu, seorang warganet bernama Maria menjelaskan bahawa warna emas boleh luntur apabila terkena bahan kimia seperti merkuri yang terdapat pada losyen.

Mengakui pernah mengalami situasi seumpama itu, ujarnya, ia adalah disebabkan tindak balas merkuri yang terdapat dalam krim muka atau losyen badan.

"Ni kesan tidak balas bahan kimia yang mengandungi merkuri macam krim muka atau losyen yang ada merkuri. Pelanggan saya pernah macam ni dia tuduh saya jual emas palsu... apabila bawa dia pegi check ar-Rahnu dan kedai emas, Alhamdulillah emas 916 tulen.

Cara pemeriksaan ketulenan emas.

Cara pemeriksaan ketulenan emas.

"Siasat punya siasat rupanya terkena krim yang ada merkuri, tapi untuk kepastian dan kepuasan hati pergi periksa dengan yang pakar," komennya ringkas.

Komen yang diberikan itu juga turut mendapat perhatian warganet lain dan kebanyakannya mengakui penjelasannya berhubung tindak balas merkuri pada emas adalah benar.

Bagaimanapun, Pengurus Cawangan Emas Faiz Alor Setar, Mohd Hafiz yang turut dianggap pakar dalam mengenal pasti barang kemas tiruan kerana sering berkongsikan video berkaitan di aplikasi TikTok memberitahu, besar kemungkinan cangkuk pada gelang emas yang dibeli itu adalah tiruan.

Untuk penggunaan losyen dan perfume pula, selalunya pemakaian tersebut akan menyebabkan barang kemas dipenuhi daki berwarna putih keperangan.

MOHD HAFIZ

"Cangkuk tu mungkin palsu tetapi body adalah tulen. Ada setengah kedai nak cut bajet jadi pkai cangkuk palsu... ada yang tertipu dekat kedai emas.

"Untuk penggunaan losyen dan perfume pula, selalunya pemakaian tersebut akan menyebabkan barang kemas dipenuhi daki berwarna putih keperangan," jelasnya ketika dihubungi.

Justeru, dia berkongsi beberapa tip untuk peminat perhiasan logam berharga itu agar tidak mudah tertipu.

Hafiz memeriksa gelang emas yang diserahkan pelanggannya.

Hafiz memeriksa gelang emas yang diserahkan pelanggannya.

"Pertama sekali, pembeli boleh meminta kedai emas membuat ujian asid nitrik pada barang kemas terlebih dahulu dan ia dilakukan secara berhadapan dengan pembeli.

"Sebelum membuat pembelian, perlu semak harga pasaran terkini barang kemas... jika harga lebih murah daripada pasaran berkemungkinan ia adalah palsu dan scammers.

"Bagi peminat jongkong atau wafer emas, mereka perlu memastikan latar belakang syarikat pembekal terlebih dahulu selain meminta sijil assayer untuk kepastian," ujarnya.

Selain itu katanya, disebabkan trend masa kini, orang ramai yang lebih gemar membeli secara atas talian perlu meminta penjual membuat ujian asid nitrik terlebih dahulu sebelum meneruskan jual beli berikutan terdapat kes yang penjual sendiri tidak tahu barang kemas tersebut adalah palsu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain