NAHAS melibatkan lima pelajar di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora pada tengah malam Rabu baru-baru ini cukup meruntun hati netizen. Dalam kejadian itu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua buah treler. Selain ucapan takziah yang dititipkan menerusi media sosial, seorang pelayar Facebook dikenali sebagai Ihsan Zainal turut berkongsi cerita tentang pengalamannya yang sudah 15 tahun menggunakan laluan berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Lima mangsa rentung disahkan pelajar Usas, pemandu treler direman bantu siasatan ARTIKEL BERKAITAN: Rakan kuliah tak sangka persahabatan 5 mangsa utuh sampai ke akhir hayat, ada hasrat tidak kesampaian "Aku pengguna tetap Terowong Menora ni, hampir setiap hari selama 15 tahun aku ulang-alik Ipoh-Taiping. Tipulah kalau aku cakap tak pernah kemalangan di laluan ni. "Aku kemalangan masa dalam perjalanan ke kelas Dr. Azizul Azli Ahmad, aku tinggal dulu kereta, pergi kelas sampai habis. Habis kelas baru aku pergi lapor balai. "Macam-macam jenis kemalangan aku hadap, daripada yang tunggu berjam-jam lamanya, sampailah yang berlaku depan mata. Daripada kenderaan kecil seperti motor sampailah sebesar kren. Tak kira siang ke malam, ada juga kisah seram sampai aku pernah kena sendiri," ujarnya. Menurut pelabur hartanah itu, orang ramai perlu berhati-hati apabila melalui jalan berkenaan, khususnya ketika cuaca buruk. Pesannya lagi, pengguna jalan raya perlu peka dengan kerja selenggara yang berlaku bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan di kawasan tersebut. Lima pelajar maut dalam kejadian pada tengah malam Rabu itu. "Apa yang aku nak kongsikan, korang (anda) perlu lebih berhati-hati apabila lalu laluan ni terutama ketika hujan lebat. Begitu juga selepas hujan kerana air mengalir atas jalan raya tu boleh mengakibatkan tayar kita ikut tergelincir. "Lebih-lebih lagi apabila guna pacuan empat roda atau kereta jenis tinggi. Selain tu, korang perlu peka apabila ada Propel (Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad) nak selenggara jalan. "Sebab semasa mereka mengecilkan laluan daripada dua hala ke satu hala, kadang kala tu jarak mengecil tu terlalu pendek. Ini membuatkan banyak kereta tiba-tiba ubah laluan. Yang jenis bagi signal boleh lagi kita nampak. Yang jenis batang signal patah ni, memang bahaya tiba-tiba nak elak kon. "Tu belum kira lori rosak tepi jalan. Kadang tu kon pun tak ada, harapkan segitiga yang tak berapa nak pantul cahaya tu. Boleh terkejut tiba-tiba nampak bontot treler," ujarnya lagi. Pesannya lagi, pengguna juga perlu berhati-hati memandangkan keadaan jalan di situ yang curam dan diapit dengan longkang dan gaung di bahagian kiri dan kanan. Macam-macam jenis kemalangan aku hadap, dari yang tunggu berjam-jam lamanya, sampailah yang berlaku depan mata. IHSAN ZAINAL "Jadi kepada pengguna yang jarang-jarang guna laluan ni, berhati-hatilah memandu, lebih-lebih lagi 3 kilometer (km) selepas terowong. Sebab 3km pertama ni laluan dia curam. "Kiri-kanan dia gaung dan longkang besar. Memang tak ada lorong kecemasan untuk korang berhenti atau nak elak sesuatu. Kat sini lah aku pernah kemalangan dulu sebab nak elak kon Propel dulu," kongsinya lagi. Perkongsian Ihsan menerusi Facebook meraih 1,000 tanda suka dan turut dihujani dengan komen netizen, khususnya mereka yang pernah memandu di laluan berkenaan. "Setiap kali lalu terowong ni kami mengucap dulu. Risau, tak tahu apa yang ada di depan. "Bulan puasa baru-baru ini nyaris berdentum di area situ. Mujur kemahiran memandu agak hebat. Dapat elak ke laluan kiri sebab tak ada kereta sebelah situ. Kalau ada kena juga la. Keadaan di lokasi kejadian. "Baru je lalu terowong tu Isnin lepas, balik beraya ke kampung suami di Trong, Perak," tulis beberapa netizen. Untuk rekod, lima mangsa kejadian pada Rabu lalu dikenali sebagai Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu kereta); Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan); Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang. Kesemua mereka merupakan merupakan pelajar Usas, Kuala Kangsar. Dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda. Siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dipandu seorang lelaki itu tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara lalu merempuh belakang kereta jenis Honda City yang dinaiki lima mangsa terbabit. Rempuhan menyebabkan kereta mangsa yang dipandu di lorong kiri diseret hingga melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler membawa muatan mozek di hadapan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI