suria

Doktor rasa nak menjerit tengok ibu rakam video anak nyawa-nyawa ikan! Bawa ke hospital, bukan upload di media sosial

Seorang ibu berkongsi mengenai anaknya yang mengalami sesak nafas. -gambar hiasan

"RASA nak menjerit!"

Begitulah luahan seorang pengamal perubatan selepas menyaksikan sebuah video rakaman si ibu yang menunjukkan anaknya mengalami sesak nafas.

Menurut Dr Sakinah Sulong, situasi berkenaan dinamakan sebagai chest indrawing atau lekukan dada.

ARTIKEL BERKAITAN: Puas tahan mata, wanita kesal tertidur lama ketika anak demam... sedar-sedar dah kena sawan! Doktor kata si ibu sikit pun tak salah

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar 'doktor kiriman tuhan' tapi tak mampu selamatkan bayi pramatang... jantung berdegup laju jam 1 pagi - "Jika hidup sampai esok pagi, itu keajaiban"

"Apabila saya tengok satu perkongsian ibu semalam tentang anaknya yang dah ada chest indrawing dan nampak lemah dalam video dirakamkan, saya rasa nak menjerit.

"Anak tu bagaikan nyawa-nyawa ikan akibat kurang oksigen. Tak perlu tanya di media sosial lagi, ibu-ibu. Bawa ke hospital cepat! Bila-bila masa anak boleh collapse (rebah)," tulisnya menerusi satu posting di Facebook miliknya sehingga menjadi tular.

Dr Sakinah yang juga Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia menyifatkan ia sebagai petanda bahaya bagi bayi dan perlu segera dibawa ke hospital untuk rawatan.

sakinah sulong 2

Posting Dr Sakinah di Facebook.

Menurutnya, terdapat tanda-tanda bahaya lain yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang menghidap demam selesema atau asma.

"Contohnya adalah anak tak lalu makan dan minum. Bagi bubur tak nak, bagi susu pun tak nak. Semuanya ditolak.

"Anak tak aktif. Anak-anak nalurinya suka bermain. Kalau yang belum pandai berjalan, memanjat, mereka akan respons pada agahan atau senyuman ibu bapa. Mereka boleh ketawa, senyum dan ada tindak balas apabila dipanggil. Sepatutnya begitu," katanya.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa tanda bahaya lain adalah anak itu akan mengalami sawan meskipun tiada sejarah penyakit tersebut.

"Ia boleh berlaku seandainya jangkitan meliputi bahagian otak atau ada ketidakseimbangan elektrolit badan.

"Anak tidak sedarkan diri dan nampak lemah. Jangan tunggu lagi. Ini bukan tidur. Ini bermakna dia tak mampu nak bernafas sendiri, perlu bantuan oksigen atau pernafasan secepat mungkin," tegas beliau.

sakinah sulong 3

Antara komen netizen.

Jika tanda-tanda bahaya itu berlaku, kanak-kanak perlu diperiksa dan menjalani pemerhatian rapi oleh pengamal perubatan.

"Buka baju (ibu yang kena selak tunjuk kat doktor). Pernafasan anak dikira. Kalau laju melebihi 50 kali dalam seminit (bagi anak bawah setahun) atau 40 kali bagi anak lebih setahun umurnya, ia dianggap satu tanda yang tak bagus.

Apabila sangkar tulang rusuk masuk ke dalam ketika anak ini bernafas ke dalam, inilah chest indrawing.

DR SAKINAH SULONG

"Maksudnya anak itu perlu melakukan lebih 'kerja' untuk mendapatkan oksigen. Otot-otot pernafasan juga kena bekerja lebih. Ia menyebabkan nasal flaring, suprasternal recession, intercostal recession dan subcostal recession.

"Apabila sangkar tulang rusuk masuk ke dalam ketika anak ini bernafas ke dalam, inilah chest indrawing. Ini salah satu tanda bahaya, jangan main-main. Jika dibiarkan, anak ini boleh berhenti bernafas tiba-tiba," tegas beliau.

sakinah sulong

Dr Sakinah Sulong.

Sehubungan itu, Dr Sakinah mengingatkan bahawa keadaan anak-anak boleh berubah sekelip mata.

"Pagi main-main lagi, tapi petang dah susah bernafas. Sebab tu ibu bapa kena sentiasa peka. Jangan cakap 'Saya dah pergi jumpa doktor semalam, doktor kata ok, so ok lah' walhal masa anak tu diperiksa doktor hari sebelumnya, keadaan dia masih belum teruk," ujarnya.

Mengenai perkongsian video seorang ibu mengenai anaknya yang mengalami lekukan dada, Dr Sakinah berharap anak kepada wanita itu dalam keadaan baik.

"Saya tak tahu apa perkembangannya hari ini. Yang pasti, doktor akan berikan bantuan ventilasi untuk menolong anak ini bernafas. Semoga anak tu baik-baik saja," katanya.

Posting Dr Sakinah mengenai chest indrawing atau lekukan dada di Facebook miliknya dikongsi lebih 1,200 kali.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain