suria

Sayu adegan di mesin ATM... anak belum masuk duit, bapa tetap berulang kali ‘cucuk’ kad walau baki dalam akaun cuma RM11

Perkongsian Mira mengenai kisah seorang lelaki tua yang ditemui di sebuah bank benar-benar menyentuh hati netizen.

LAIN orang, lain rezeki dan ujiannya.

Begitulah juga kisah perkongsian wanita ini mengenai seorang lelaki warga emas yang ditemui secara tidak sengaja di sebuah bank, baru-baru ini.

Menerusi kapsyen yang ditulis wanita itu pada perkongsian videonya, lelaki warga emas berkenaan dilihat berkali-kali cuba memasukkan kad bank sebelum berlalu dengan wajah yang sugul kerana tidak berjaya mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

ARTIKEL BERKAITAN: Baju sekolah pun tak lepas nak beli, ibu tunggal lebih fikir duit anak masuk asrama penuh... raya tolak tepi!

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘pergi’ selepas bank in duit belanja RM100, anak lega arwah ‘fikir jauh’... tinggalkan hibah setengah juta cukup untuk keluarga teruskan hidup!

Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati warganet malah masing-masing terkenangkan bapa atau datuk sendiri selepas menonton video yang dimuat naik wanita berkenaan di laman sosial.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mira itu berkata, insiden tersebut berlaku pada 11 Mei lalu ketika dia bersama tunangnya dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas beraya di kampung masing-masing di Perak.

"Masa itu tunang nak hantar saya balik rumah. Sekitar pukul 8.20 malam, kami singgah di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Changkat Jering nak keluarkan duit.

"Dari luar memang dah nampak kelibat pakcik tu tunggu giliran nak masuk untuk keluarkan duit juga. Bila dah sampai giliran pakcik tu, nampak banyak kali dia masukkan dan keluarkan kad bank dia.

pakcik 1

Tunang Mira sempat bertanya masalah yang dihadapi lelaki berkenaan sebelum menghulurkan sampul duit raya untuknya.

"Sangkaan kami kad dia bermasalah. Malah ada seorang kakak yang ada di dalam bank masa itu pun cuba tolong pakcik tu juga. Tapi still sama, masih tak dapat keluarkan duit," cerita Mira.

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, selepas gagal mengeluarkan wang, lelaki berkenaan keluar dari bank dan berkali-kali merenung kad bank miliknya di kaki lima.

"Tunang pun keluar kereta dan bertanya pakcik tu 'kad pakcik rosak ke?'. Jawab pakcik tu 'anak tak masuk duit lagi, baki ada RM11 lebih je'.

mira

Mira dan tunangnya sekadar mahu berkongsi mesej positif dengan netizen agar tidak melupakan orang tua masing-masing.

"Tunang saya terus hulur sampul raya. Pakcik tu terus ucap 'Alhamdulilah terima kasih banyak nak'. Sebelum beredar, sempat tunang saya minta pakcik tu doakan kami murah rezeki," ujar Mira yang juga pekerja sektor swasta.

Lebih menyentuh hati, Mira berkata lelaki berkenaan merenung lama sampul yang diberikan tunangnya seolah-olah tidak menyangka mendapat rezeki daripada individu tidak dikenali.

"Kebetulan motor pakcik tu diparkir belakang kereta kami. Masa pakcik tu atas motor, dia termenung tengok sampul yang kami bagi. Sayu betul rasa.

Bila dah sampai giliran pakcik tu, nampak banyak kali dia masukkan dan keluarkan kad bank dia.

MIRA

"Masa tunang masuk kereta dan beritahu apa yang diucapkan pakcik itu, terus mengalir air mata. Rasa bersyukur masih punya ibu ayah untuk berbakti," katanya lagi.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok meraih sehingga melebihi 400,000 jumlah tontonan, Mira berkata dia sekadar mahu berkongsi mesej positif dengan pengikutnya agar tidak melupakan orang tua masing-masing.

"Banyak komen yang benar-benar menyentuh hati saya. Antaranya ada netizen komen, begitulah perasaannya sewaktu kecil apabila bapanya nak keluarkan duit tapi duit tiada. Sekarang ini bila dah besar, dia tak lupa beri duit setiap bulan untuk bapanya.

komen

Antara komen netizen yang menyentuh perasaan Mira.

"Satu lagi komen yang memberi kesan, sebenarnya Allah tidak menguji pakcik itu tetapi sedang menguji kita.

"Benar, kalau kita rasa kita susah, sebenarnya ada ramai lagi yang memerlukan.

"Dan bagi yang masih punya ibu ayah di hujung usia, hargailah mereka dan berbaktilah selagi masih ada peluang," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain