suria

Nampak cubaan jual ‘hot mix’, ambil nombor plat! Lando minta hati-hati tawaran turap tar... punca jalan nipis, berlubang

Lando menyeru orang ramai supaya membuat aduan dan laporan polis sekiranya melihat aktiviti penjualan tar hot mix.

ISU jalan berlubang di negara ini bagaikan tidak berkesudahan walaupun banyak kemalangan maut berlaku.

Ia bukan hanya dilihat di sekitar kawasan bandar, tetapi turut terjadi di jalan-jalan utama negeri dan kawasan perkampungan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai nyaris kemalangan, lelaki ini pilih baiki sendiri jalan yang dah lama berlubang... ada alasan ‘masuk akal’ kenapa tak buat aduan!

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi jalan berlubang, lelaki 75 tahun meninggal dunia akibat jatuh motor

Malah sebelum ini negara digemparkan dengan kemalangan yang sama, berlaku terhadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika beliau sedang berbasikal.

Difahamkan, pelbagai langkah dan tindakan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengatasi masalah tersebut, namun ia seakan-akan tidak memberi kesan apabila terdapat laporan jalan kembali berlubang selepas diturap.

Menegaskan supaya orang ramai tidak menjadi punca jalan raya di negara ini menjadi semakin nipis dan cepat rosak, Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi menyeru orang ramai supaya tidak membeli campuran tar atau hot mix yang dijual terus ke rumah.

Hantaran Facebook yang dibuat Lando.

Hantaran Facebook yang dibuat Lando.

Mendakwa ia berkemungkinan disebabkan tindakan segelintir pihak yang cuba mengaut untung atas angin, ujarnya, tindakan membeli hot mix itu akan menjadi punca kemalangan pengguna jalan raya.

"Jika nampak cubaan jual hot mix secara door to door, aku sarankan supaya ambil nombor plat kenderaan atau maklumat penjual terbabit," ujarnya menerusi hantaran di Facebook Lando Zawawi Vrus.

Berkata lanjut, ujarnya, mereka yang melihat perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu membuat laporan polis bagi memastikan tindakan perundangan diambil jika berlaku salah laku dalam pengurusan peruntukan rakyat.

"Buat laporan polis atas suspek barang curi atau menggunakan peruntukan untuk rakyat.

Situasi sama pernah dilaporkan Lando sebelum ini.

Situasi sama pernah dilaporkan Lando sebelum ini.

"Kaedah ini membolehkan pasukan keselamatan membuat siasatan lanjut," katanya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu dilakukan.

"Buat aduan kepada JKR dan PBT di kawasan tersebut supaya mereka dapat maklum ada usaha 'rembat' (mencuri) peruntukan oleh kontraktor.

"Selalunya cubaan menjual bahan turapan cara ini berlaku dalam 10 kilometer radius dari lokasi turapan laluan awam.

"Paling banyak berlaku ketika musim hampir PRU (Pilihan Raya Umum)," jelasnya.

Kontraktor turapan depan rumah perlu ambil order dari pelanggan... baru buat round untuk tempahan yang diambil kerana mereka perlu ambil kira suhu hot mix yang semakin menurun dan jarak kuari dari lokasi pelanggan yang menempah.

AZLAN SANI

Berkata mengenainya, beliau yang lebih dikenali sebagai Lando memberitahu, perniagaan menjual campuran tar siap terus kepada pelanggan tidak pernah wujud.

"Rakyat perlu faham bahawa tidak wujud perniagaan ambil hot mix dari kuari kemudian baru cari pelanggan.

"Kontraktor turapan depan rumah perlu ambil order dari pelanggan... baru buat round untuk tempahan yang diambil kerana mereka perlu ambil kira suhu hot mix yang semakin menurun dan jarak kuari dari lokasi pelanggan yang menempah.

"Selain itu, mereka juga perlu memantau keadaan cuaca dan memastikan tiada hujan," ujarnya.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

Tambah beliau yang terkenal kerana lantang menyuarakan isu jalan berlubang di Malaysia, tindakan kontraktor terlibat adalah untuk memastikan suhu tar dan cuaca cukup sesuai untuk turapan yang berkualiti buat pelanggan.

Perkongsiannya di laman Facebook mendapat perhatian ramai.

Ada yang mengandaikan bahawa bahan campuran tar itu daripada PBT sendiri kerana hasil turapan yang dilakukan adalah nipis.

"Saya rasa hotmilf ni mungkin daripada PBT sendiri sebab mereka sekarang overlay nipis seperti kulit 'spring roll'.

"Ambil gambar memang nampak cantik dan claim lulus kerana disangkakan tampalan cara potong jalan, tetapi rupa-rupanya terlalu nipis sehingga mudah terkopek semula," komen seorang pelayar Facebook.

Beberapa netizen pula menyatakan pernah melihat situasi seumpama itu berlaku di kawasan kejiranan mereka.

"Hari tu ayah aku dah kena. India empat orang jual... orang tua mana tahu sangat perkara begini. Dia terus setuju buat sikit depan rumah dengan harga RM1,500. Terduduk aku dengar.

"Sekangkang kera minta RM200 pun ada. Bila 'sound' mereka pergi tapi ulang alik datang juga," luah beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain