suria

Luluh hati tengok ayah tak terdaya melawan! Anak kongsi kronologi kejadian bapa dilanyak, hanya fikir ‘cover’ tapak dialisis daripada pecah

Tangkap layar video seorang warga emas dipukul pemuda di Padang Jawa, Shah Alam.

BADAN mangsa bukan sahaja diduduk, malah muka dan kepalanya ditumbuk bertubi-tubi.

Sayu melihat mangsa tidak melawan, sebaliknya hanya sedaya-upaya mempertahankan diri.

Video tular mengenai seorang warga emas yang dibelasah oleh seorang penunggang motosikal, dalam satu kejadian berdekatan Padang Jawa, Shah Alam pada Ahad, menimbulkan pelbagai reaksi dan versi cerita.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda lanyak pakcik di tengah jalan, peguam kongsi bahana sikap panas baran sebagai pengajaran... tak pasal-pasal berdepan tuduhan jenayah

Susulan kejadian itu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anak kepada mangsa tampil menjelaskan bahawa bapanya yang berusia 61 tahun menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.

"Sebagai anak yang menguruskan ayah yang sedang sakit buah pinggang (dialisis), luluh hati ini melihat dia dipukul. Adakah dia layak dipukul sebegitu rupa?

"Sedih saya melihat penyebaran fitnah berlaku dengan mudahnya apabila pelbagai tuduhan diberikan. Adakah ini amalan yang dituntut dalam agama? Astaghfirullah," tulisnya menerusi satu perkongsian yang tular di Facebook Muhammad Azzali Zainoldin.

Mengulas lanjut berdasarkan keterangan beberapa saksi, Muhammad Azzali berkata, kejadian bermula apabila bapanya yang memandu sedang bersedia untuk membuat pusingan ke arah kanan untuk melalui sebuah jambatan.

Kemudian katanya, secara tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang begitu laju memintas kereta bapanya.

"Bukan untuk ke kanan menaiki jambatan tetapi dia memintas di sebelah kanan untuk terus ke Jalan Mat Raji. Disebabkan itu, suspek berasa tidak selamat dan terus memaki ayah saya dengan jeritan yang kuat.

"Sebagai seorang yang tua dan berumur, ayah saya rasa bersalah dan dia keluar dari kereta untuk melihat apa yang terjadi kerana risau jika ada perlanggaran dan cedera pada suspek," katanya sambil memberitahu tiada perlanggaran berlaku dalam kejadian itu.

Bagaimanapun kata Muhammad Azzali, melihatkan bapanya yang keluar dari kereta, suspek didakwa membuat pusingan-U dan kembali ke lokasi kejadian.

"Dia terus melulu ke arah ayah dan terajang. Apalah kudrat orang tua yang baru lepas dialisis semalam. Dia tumbang di situ.

"Tidak cukup lagi, dia naik atas badan ayah dan terus tidak henti-henti menumbuk muka dan sambung memijak badan ayah. Jika anda perasan (berdasarkan video tular), ayah tidak melawan kerana dia tiada daya-upaya. Dia tertanya-tanya apa salahnya.

pukul pakcik 4

Tangkap layar video berasingan memaparkan suspek kemudian dipukul oleh orang awam.

"Sewaktu dipukul ayah sedang melindungi lengan kirinya dan pinggangnya daripada tercedera kerana risau tapak dialisisnya pecah atau putus," katanya sambil menambah ibunya dan anak saudara berusia tiga setengah tahun yang berada di dalam kereta hanya mampu melihat mangsa dipukul.

Menurut Muhammad Azzali, bapanya masih dalam keadaan lemah akibat kejadian.

Dia lah satu-satunya ayah yang saya masih ada untuk saya jaga.

ANAK MANGSA

"Ayah dibawa ke Hospital Shah Alam dan selepas discaj, badannya masih lemah dan dia mengadu masih sakit di rusuk kiri," katanya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melindungi keselamatan bapanya dari kejadian tersebut dari awal sehingga ke balai polis.

"Dialah satu-satunya ayah yang saya masih ada untuk saya jaga," katanya.

pukul pakcik 3

Suspek ditahan polis pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, punca kejadian itu dikenal pasti selepas siasatan dilakukan pihaknya terhadap suspek yang ditahan pada Ahad susulan laporan dibuat warga emas berusia 61 tahun.

"Siasatan mendapati suspek tidak puas hati kerana mangsa membelok secara tiba-tiba sehingga menyebabkan suspek memarahinya.

"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Iqbal berkata, suspek berusia 23 tahun itu kini direman empat hari bermula Isnin, dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain