TAK siapa sangka sebuah kereta yang berdebu di kawasan parkir bukan sahaja menyentuh emosi, malah membangkitkan 1,001 persoalan. Lebih mengundang sebak apabila timbul dakwaan kereta yang ditinggalkan lama itu mungkin milik mangsa tragedi pesawat yang pernah menggemparkan dunia. Begitulah keadaan salah sebuah kereta yang 'sepi tanpa bertuan' di kompleks letak kereta bertingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. ARTIKEL BERKAITAN: MH370 Diisytihar Kemalangan, 239 Penumpang, Kru Terkorban ARTIKEL BERKAITAN: MH17 Ditembak Jatuh Kerana Terbang Di Kawasan Konflik - Ukraine Kecoh di media sosial kononnya video tular kereta yang berhabuk teruk itu mempunyai kaitan dengan penumpang atau anak kapal dalam tragedi kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 atau nahas MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai tahun sama. Kereta yang ditinggalkan kelihatan sudah dibersihkan. Susulan video tular itu pelbagai spekulasi dan teori yang timbul sehingga ke hari ini termasuk kereta tersebut didakwa sengaja tidak dituntut kerana waris mangsa berharap ahli keluarga mereka pulang. Namun, sumber terdekat menafikan khabar angin kononnya kereta jenis Honda yang tersadai dan berdebu di ruang parkir KLIA selama hampir 8 tahun itu adalah milik mangsa MH370 mahupun MH17. "Jika ada pun kereta mangsa MH370 atau MH17 sebelum ini, pasti waris atau ahli keluarga mereka dah lama tuntut. Bukan penumpang atau anak kapal MH370 berdasarkan tarikh tamat tempoh cukai jalan. "Bukan juga mangsa MH17 kerana kebanyakan mereka dari sana (Eropah) dan pesawat pun berlepas dari sana (Amsterdam)," kata sumber kepada mStar. Masih berada di tapak parkir dengan keadaan tayar dikunci. Kata sumber itu, isu kereta 'tersadai' di kompleks parkir KLIA bukan perkara baharu, malah terdapat kes di mana beberapa kenderaan sebelum ini dibiarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. "Ada juga yang tak bayar ansuran kereta atau lari daripada bayar denda sebab tak tuntut kereta terlalu lama. Kalau mereka datang tuntut, tetap dikenakan caj parkir. "Dakwaan dalam video itu mengaitkan pemiliknya adalah mangsa MH370 atau MH17 saya rasa tidak benar. Saya percaya video tersebut dibuat sekadar content semata-mata untuk meraih banyak like dan view," katanya. Cukai jalan tamat tempoh pada 2015. Tambah sumber yang bertugas di KLIA itu, pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya kenderaan itu diletakkan di kawasan parkir terlalu lama. "Beberapa notis akan dihantar. Cuma kalau nak 'towing' tu mungkin mengalami masalah jika kereta berada di tingkat-tingkat atas kerana 'ramp' (siling) yang rendah membuatkan lori 'towing' tak lepas masuk melainkan panggil pihak bengkel untuk hidupkan kereta atau tolak kereta ke luar parking," katanya. Jika ada pun kereta mangsa MH370 atau MH17 sebelum ini, pasti waris atau ahli keluarga mereka dah lama tuntut. SUMBER mStar telah menghubungi pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menguruskan kompleks letak kereta bertingkat KLIA dan sedang menunggu maklum balas serta pengesahan berhubung dakwaan yang tular di media sosial. Sementara itu video yang dimuat naik pengguna TikTok @yourjiranstory dengan kapsyen 'Sejarah hitam. Al-Fatihah' sehingga kini meraih 2.6 juta tontonan. Kereta Proton Iswara turut dikesan berdebu di kompleks parkir KLIA. Menerusi ruangan komen, terdapat netizen turut menafikan ia kepunyaan mangsa tragedi pesawat, sebaliknya mendakwa ia didaftarkan di bawah nama Carsome Sdn Bhd, penyedia platform kereta terpakai. Wakil Carsome ketika dihubungi mStar berkata, pihaknya bagaimanapun belum dapat mengesahkan status kereta berkenaan buat masa ini kerana siasatan masih berjalan. "Kami sedang menyiasat mengenai perkara itu pada masa ini. Kami akan memaklumkannya sebaik siasatan selesai," katanya secara ringkas. Tinjauan mStar ke kompleks letak kereta KLIA mendapati kereta yang ditinggalkan dengan keadaan tayar dikunci (clamp) menerusi video yang tular masih berada di tapak parkir, namun tidak lagi berdebu dan sebaliknya sudah dibersihkan. Malah pelekat cukai jalan juga dilihat masih elok meskipun sudah tamat tempoh pada 16 Jun 2015. Namun, tiada jawapan saat ditanya siapakah yang membersihkannya selepas penularan video membabitkan kereta berkenaan di media sosial. Kesan contengan pada kereta yang ditinggalkan. Dalam tinjauan sama, mStar mengesan terdapat kereta lain yang juga berdebu kelihatan dibiarkan di kompleks sama. Bagaimanapun, tiada cukai jalan yang dikesan pada kereta jenis Proton Iswara yang telah 'diconteng' pada debu-debu yang melekat pada kenderaan tersebut. Persoalannya, siapa pemilik kereta Honda tersebut dan kereta-kereta yang lain? Pesawat MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 apabila ditembak jatuh di ruang udara negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI