SEBUT mengenai kereta, setiap orang sudah tentu ada selera yang berbeza-beza. Ada yang suka kereta mewah, tak kurang juga yang selesa dengan kereta jenama tempatan dengan harga lebih berpatutan mahupun kenderaan terpakai. Terbaharu, tular satu tangkap layar di Facebook, memaparkan luahan hati seorang individu yang kononnya 'menyesal' kerana membeli sebuah kereta berjenama Honda. ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara suka bikin kereta, sampaikan sekali pandang nampak macam Volkswagen... suami Sis Myvi dituduh sengkek! ARTIKEL BERKAITAN: Sehari selepas hadiah kereta buat wanita bawa OKU... Ebit Lew beri Proton Saga kepada suami isteri istimewa pula, siap bayar cash! Menurut lelaki yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi itu, dia akui kecewa apabila kehadirannya dengan memandu kereta import dari Jepun berkenaan langsung tidak dihiraukan orang sekeliling. "Bukan nak cakap apa. Macam tak function je beli City Hatchback RS ni. Saya student, masa tu parking dekat depan kafe hostel. Tak ada siapa pun pandang saya masa keluar dari City RS Auto saya ni," ujarnya. Dia membuat perkongsian itu menerusi group Facebook Malaysia Honda City Owners Club: The Power of Dreams: Official. Tambah pelajar itu lagi, akibat enggan terus 'diabaikan, dia membuat helah dengan berulang-alik ke keretanya, namun masih tidak mendapat perhatian sesiapa yang berada di situ. Kata individu itu, dia berasa rugi kerana kereta miliknya langsung tidak mendapat perhatian orang ramai. (Gambar Hiasan) "Lepas masuk kafe hostel tu saya keluar balik pergi ke kereta, buat-buat macam ada barang tertinggal. Tapi sama je tak ramai pandang saya dan City RS saya ni. "Yang ada pun makcik cleaner je, tu pun dia tegur suruh saya ke belakang sikit sebab ada sampah bawah kereta," ujarnya. Kata pelajar itu lagi, dia berasa rugi membayar ansuran bulanan yang tinggi dan beranggapan lebih baik sekiranya membeli kereta Perodua Axia. "Kalau macam ni gayanya baik saya beli Axia E spec yang tak ada radio. Rugilah bayar sebulan nak dekat RM,1000 tapi orang macam tak pandang pun saya naik kereta apa," tulisnya lagi. Beli sebab nak orang tengok ni bahaya... moga kita dijauhkan daripada sifat suka membazir. NETIZEN Namun, tidak dapat dipastikan jika dia benar-benar menyesal membeli kereta tersebut atau sekadar membuat penulisan berkenaan bagi menyindir individu yang obses dengan jenama Honda. Pada kebiasaannya, ramai beranggapan bahawa kaum Hawa lebih minat dengan lelaki yang menaiki kereta Honda dan isu itu sering menjadi perbualan netizen di media sosial. Dalam pada itu, tangkap layar berkenaan tular dan meraih perhatian ramai selepas ia dikongsi semula di Facebook Dunia Automotif serta akaun Facebook milik penulis kewangan, Azizul Azli Ahmad. Malah, ramai netizen turut berjenaka mengenai luahan pemilik kereta tersebut yang diangggap kemaruk dengan jenama. Sebahagian komen netizen di Facebook. "Ni sama macam jiran saya, saya balik kedai naik motor, dia boleh bersandar belakang Honda City dia anak beranak sambil speaking London. Tiba-tiba pulak dia datang kat motor dia Y15 sambil betulkan handle sambil pandang saya. Bila mak dia berbual dengan mak saya, bagitahu tiap-tiap hari mereka bergaduh pasal duit, rumah kosong tak ada perabot. "Apa sangat lah kalau setakat H (Honda) ni. Nak orang pandang, cuba bawa kereta jenazah pergi kampus. Confirm semua terbeliak biji mata. "Beli sebab nak orang tengok ni bahaya. Kemudian terpaksa jadi hamba bank. Moga kita dijauhkan daripada sifat suka membazir. "Kalau masih ada hutang bank maknanya bukan hak mutlak awak lagi," tulis beberapa pelayar Facebook. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI