suria

Harap penghuni rumah atas tak berak! 5 sekawan nak muntah kondo dibanjiri air najis, JMB dakwa sapu tangan jadi punca

Hidayat menunjukkan situasi di rumah sewanya yang dibanjir air dan najis.

JIJIK dan meloyakan!

Demikian pengalaman buruk yang terpaksa dilalui sekumpulan pemuda apabila unit kondominium mereka di tingkat 13 dilimpahi air dan najis.

Berkongsi pengalaman kepada mStar, salah seorang penghuni, Syed Nurhidayat Syed Zailudin berkata, kejadian berlaku di rumah sewa mereka di sebuah kondominium di Shamelin, Kuala Lumpur pada pagi Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak hujan tapi rumah 'banjir' paras buku lali di lewat malam, sejam bersihkan ruang dapur sendirian... mana tidaknya tahi kucing terapung di sana-sini!

ARTIKEL BERKAITAN: Buruknya perangai! Penyewa pindah diam-diam... banyak tinggalan untuk tuan rumah termasuklah tahi tikus, lampin bernajis dan bil RM3,000

Pemuda berusia 24 tahun itu mengakui terkejut apabila lantai rumah mereka dibanjiri air naik hampir mencecah paras buku lali.

"Banjir tu berpunca daripada saluran bilik air di bilik utama. Lebih terkejut ada juga cebisan-cebisan kecil berwarna coklat.

"Bukan setakat dalam bilik air, malah air bercampur cebisan-cebisan coklat tu melimpah hingga ruang tamu, dapur dan bilik lain.

"Bau busuk memang sangat kuat, rasa loya nak muntah.... sah cebisan-cebisan coklat tu adalah tahi! Tapi tahi siapa?" katanya ketika dihubungi mStar.

banjir najis 2

Cebisan najis dipercayai yang keluar dari saluran kumbahan.

Lebih mesra disapa Hidayat, katanya lebih memburukkan keadaan apabila limpahan air dan najis itu turut melimpah sehingga ke koridor di luar rumah.

"Pagi tu saya tergesa-gesa untuk ke tempat kerja, buat part time. Kemudian rakan serumah beritahu banjir berlaku disebabkan salah satu saluran kumbahan tersumbat.

"Kami hubungi pihak pengurusan kondominium buat aduan tapi esoknya baru datang. Sebab dah tak tahan sangat, kami semua tidur di hotel berdekatan," ujarnya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

banjir najis 3

Hidayat (duduk, hadapan) bersama empat rakan serumah.

Menyewa di kondominium 30 tingkat itu sejak hampir setahun lalu, Hidayat berkata, kejadian berkenaan pertama kali berlaku.

"Esok pagi kami balik ke rumah, banjir belum surut dan bau busuk pun tak hilang. Kebetulan saya ada but dan pakai di dalam rumah, manakala rakan-rakan lain reda je pakai selipar.

"Makin banyak cebisan tahi. Bau sangat kuat... najis jiran-jiran atas yang baru dibuang memasuki saluran kumbahan kami yang tersumbat," katanya.

banjir najis 4

Saki-baki cebisan najis yang telah kering.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, keadaan busuk di rumah sewanya itu boleh digambarkan seperti loji takungan najis.

"Bau busuknya sama. Sampai satu tahap, saya berharap sangat tolonglah jiran-jiran untuk berak sikit-sikit je. Tak berak langsung pun lagi okay.

Bau sangat kuat... najis jiran-jiran atas yang baru dibuang memasuki saluran kumbahan kami yang tersumbat.

HIDAYAT

"Setiap kali dengar bunyi flush dari tingkat atas, memang reda je apabila muncul cebisan-cebisan coklat yang baru keluar dari lubang di bilik air," tambahnya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda jurusan komunikasi korporat di sebuah insitusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Lumpur itu berkata, pihak pengurusan hanya datang untuk menyelesaikannya pada petang Isnin.

banjir najis 5

Keadaan bilik air sebelum dan selepas kejadian.

"Pihak pengurusan kata saluran tersumbat yang menyebabkan rumah kami banjir. Mereka dakwa jumpa sapu tangan. Tapi di rumah kami tiada seorang pun guna sapu tangan.

"Apabila kami minta bukti gambar sapu tangan, tak ada pula. Macam mana nak sahkan ada sapu tangan? Malam tu baru air surut, rakan-rakan daripada tingkat dan blok lain datang bantu membersihkan rumah daripada pukul 10 malam hingga 4 pagi... terima kasih Aqil, Izati, Safirah, Baiti dan Amanina," katanya sambil menambah sapu tangan itu kekal misteri.

Sehubungan itu, Hidayat berkata, situasi banjir memang sesuatu yang tidak dijangka dan boleh berlaku di bangunan bertingkat tinggi seperti kondominium.

"Nasihat saya yang duduk di rumah seperti kondo, rajin-rajinlah cuci bilik air dan bersihkan lubang saluran sebab jika ada kejadian seperti itu berlaku di rumah, kita boleh tahu sama ada ia berpunca daripada kita sendiri atau penyelenggaraan yang bermasalah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain