suria

Isteri tanggung ujian berat selepas kahwin usia muda! Suami kudung dua kaki, sakit buah pinggang... nasib 4 anak kecil jadi tanda tanya

Pasangan ini mempunyai empat anak yang masih kecil.

JODOHNYA tiba pada usia yang muda.

Namun siapa sangka, belum pun usia perkahwinannya menjangkau 10 tahun, mahligai yang dibina atas dasar cinta diuji dengan begitu hebat.

Kisah wanita berusia 28 tahun yang menetap di Tanjung Malim, Perak ini dikongsikan oleh seorang aktivis kemasyarakatan, Natipah Abu dalam satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Baju sekolah pun tak lepas nak beli, ibu tunggal lebih fikir duit anak masuk asrama penuh... raya tolak tepi!

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa mayat suami tergantung dengan tali buaian, dunia isteri gelap gelita... Trauma asyik terbayang kaki terjuntai dalam bilik

"Intan mendirikan rumah tangga dalam usia yang muda iaitu 19 tahun. Intan hidup tanpa kasih sayang setelah ibunya meninggal dunia sejak dia berusia lapan bulan dan ayah pula berkahwin lain.

"Sejak itu Intan dipelihara oleh ibu saudaranya. Setelah mendirikan rumah tangga dengan lelaki bernama Saharim, Intan terus berdepan dengan ujian demi ujian bila mana suami yang dinikahi atas dasar cinta itu mengidap diabetes kronik," kongsi Natipah.

diabetes 3

Saharim disahkan menghidap diabetes kronik dan masalah buah pinggang.

Menurut aktivis tersebut, si suami yang berusia 52 tahun dan seorang pemandu lori pasir mula jatuh sakit pada 2016 iaitu selepas kira-kira tiga tahun pasangan itu mendirikan rumah tangga.

"Sejak itu bermulalah hidup penuh liku buat Intan. Saharim kerap keluar masuk wad. Gaji pula saban masa dipotong majikan kerana terlampau kerap bercuti menyebabkan Intan hidup dalam keadaan tersepit dan terhimpit.

"Pada 2017, doktor membuat keputusan untuk memotong kaki kiri Saharim sehingga ke paras betis. Walaupun hanya dengan berkaki palsu yang disumbangkan Socso, dia kembali menyambung pekerjaan sebagai pemandu lori," kongsi Natipah sambil menambah, Saharim tidak layak menuntut pencen ilat kerana jumlah caruman tidak mencukupi.

diabetes 2

Gambar ketika kaki kanan Saharim masih belum dipotong.

Sungguhpun dalam keadaan serba kekurangan dan kepayahan, Saharim tetap keluar mencari rezeki kerana mahu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Lagi pula pasangan itu mempunyai empat cahaya mata yang masih kecil berusia antara tiga hingga lapan tahun dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Rumah tangga mereka kemudian diuji kali kedua apabila si suami terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanannya separas betis pada Januari lalu.

"Sejak itu Saharim tidak boleh berjalan seperti dulu lagi dan mengalami kemurungan yang teruk. Hilang sudah keyakinan dan semangat diri.

"Pada 25 Februari 2022, doktor mengesahkan Saharim mengalami kerosakan buah pinggang tahap lima dan perlu menjalani dialisis.

Sungguhpun harapan untuk pulih sepenuhnya adalah tipis tapi dengan dialisis diharapkan agar Saharim stabil dan tidak perlu merintih kesakitan lagi.

NATIPAH ABU

Sejak disahkan mengalami masalah buah pinggang, kesihatannya semakin merosot.

"Ini kerana kekangan untuk mendapatkan rawatan ke atas kesihatan tidak menentu itu akibat masalah kewangan," kongsi Natipah lagi.

Menurut Natipah, sejak kehilangan upaya untuk bekerja, pendapatan keluarga itu hanya bergantung kepada Intan yang mengusahakan gerai makan bersama ibu saudaranya di depan rumah secara kecil-kecilan.

"Sungguhpun harapan untuk pulih sepenuhnya adalah tipis tapi dengan dialisis diharapkan agar Saharim stabil dan tidak perlu merintih kesakitan lagi.

"Setidak-tidaknya cukuplah kalau dia masih mampu mengukir sebuah senyuman untuk anak-anak yang masih kecil itu.

natipah

Natipah sudah lebih 10 tahun aktif dalam lapangan kebajikan dan kemasyarakatan.

"Bagaimanapun Saharim perlu membayar kos dialisis sementara permohonan bantuan diproses pihak Baitulmal.

"Keadaan ini sangat membebankannya yang tiada pendapatan dan mengharap pada isteri yang berniaga di gerai dan menjual kuih saja," tulis Natipah lagi.

Sehubungan dengan itu ujar Natipah, perkongsiannya di laman Facebook adalah bagi mengumpul sumbangan demi membantu meringankan beban pasangan berkenaan.

Sehingga kini posting Natipah meraih 223 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan