suria

Tragedi rumah terbuka, tuan rumah larang tetamu datang! Tapi orang kampung pula dapat makan soto dan bihun goreng

Akma terpaksa membatalkan majlis setelah suaminya disahkan positif Covid-19.

MAJLIS rumah terbuka tahun ini pastinya antara acara paling dinantikan pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun berturut-turut ia tidak dapat diadakan.

Sejak 1 Syawal hingga hari terakhir bulan meraikan kemenangan itu, media sosial meriah dengan pelbagai perkongsian dengan aktiviti kunjung mengunjung.

Namun Syawal kali ini nasib masih tidak menyebelahi Maizatul Akma, 29, apabila majlis rumah terbukanya terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesian tuan rumah! Sepetang tunggu tak seorang pun tetamu datang open house, akhirnya tong sampah ‘makan’ mi rebus

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dia tak ajak, tapi nak terjah rumah orang! Wanita bengang ada puak paksa buat open house, mana common sense?

Menurut Akma, ia gara-gara suaminya Shahrul, 29, disahkan positif Covid-19 pada pagi majlis rumah terbuka mereka yang sepatutnya diadakan pada 28 Mei lalu.

"Saya dan suami dah rancang nak buat rumah terbuka hari Sabtu lepas. Majlis sepatutnya mula pukul 12.30 tengah hari sampai 11 malam.

"Saya buat open house ni sampai lewat malam sebab dah susun ikut slot untuk orang datang bertandang.

"Macam-macam dah dirancang. Bertungkus-lumus kemas rumah nak buat open house tu.

Bukan tu saja, saya dah siap buat tempahan makanan dengan menyediakan banyak juadah sempena majlis tu," ujarnya kepada mStar.

Antara menu yang disediakan untuk majlis rumah terbuka Akma.

Walau bagaimanapun, rancangan mereka itu terpaksa dibatalkan setelah mengetahui status ujian Rapid Test Kit (RTK) suami yang dibuat pada pagi sebelum majlis diadakan.

Atas rasa tanggungjawab, tanpa berlengah wanita ini terus memaklumkan berita mengecewakan itu kepada lebih 50 tetamu yang sudah dijemput.

"Pagi tu suami saya ada mengadu tak sedap badan jadi dia terus buat saliva test pada pukul 6 pagi.

"Selepas dapat tahu yang dia positif, saya terus blast dekat WhatsApp pada tetamu yang dah dijemput maklumkan terpaksa batalkan majlis.

Akma bersama anak dan suami.

Ujar Akma yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Bukit Jelutong, Selangor ini, dia menanggung kerugian makanan yang ditempah berikutan kejadian tidak disangka-sangka itu.

Kata wanita yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata ini, jumlah kos majlis pada hari itu adalah kira-kira RM800.

"Saya dah tempah pelbagai jenis makanan untuk para tetamu. Ada soto, bihun goreng, roti jala, sandwich, karipap, kek batik, cheese tart dan buah-buahan.

"Semua tempahan dah tak boleh cancel sebab last minute sangat baru tahu yang suami positif. Hari kejadian pula tu.

Tangkap layar mesej yang dihantar kepada rakan-rakan mengenai majlis rumah terbuka terpaksa dibatalkan.

"Menu utama macam soto dan bihun goreng saya minta seller sedekah dekat orang kampung saja. Untung saya kenal seller baik hati tu. Dia kesiankan kami jadi dia tetap hantarkan juga makanan buat kami jamah sikit," jelas Akma.

Tidak mahu makanan itu rosak dan membazir dibuang begitu sahaja, Akma yang tinggal di Setia Alam, Selangor, turut mengagihkan makanan seperti roti jala dan pencuci mulut lain kepada jiran terdekat.

"Saya seorang je masa tu sebab suami terpaksa kuarantin. Walaupun saya ni dikira sebagai kontak rapat tapi saya pernah positif Covid-19 sebelum ni masa raya ke lima. Anak saya pun okey saja tak berjangkit dah masuk hari kelima ni.

"Sedih pula apabila jadi macam ni tapi nak buat macam mana. Aidilfitri tahun ni memang dugaan sangat buat kami sekeluarga," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain