suria

Anak disuruh kerja 6 hari seminggu, bapa siap sokong... Tak suka pilihan kerjaya e-hailing, anggap tak ada masa depan!

Perkongsian lelaki itu mengenai perjalanan kerjaya anaknya meraih pandangan berbeza-beza daripada netizen.

SETIAP individu yang menginjak ke alam dewasa sudah pasti akan berhadapan pelbagai cabaran kehidupan, termasuklah dalam alam pekerjaan.

Di Facebook, perkongsian seorang bapa, Mohd Faisal mengenai perjalanan kerjaya anaknya di Kuala Lumpur turut meraih perhatian netizen.

"Anak muda hari ini, dapat gaji RM4,000 lebih sebulan pun masih memilih untuk berhenti kerja," ujarnya memulakan bicara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar gigih buat 2 kerja part time demi miliki gim sendiri - “Saya tanya mak, dia beri kebenaran”

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja di darat kasih, tugas di udara sayang! Pramugara gembira 2 cita-cita masa sekolah tercapai, tak penat sebab ‘suka’

Menurut Mohd Faisal, anak lelakinya yang berusia 22 tahun bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan dengan sebuah syarikat penerbangan di ibu negara.

Biarpun menerima gaji lebih RM3,000 sebulan, dia berkata sebilangan besar rakan-rakan anaknya tetap memilih untuk berhenti kerja.

"Dia (anak lelaki) mula bekerja hampir setahun yang lepas. Boleh dapat gaji RM3,000 lebih sebulan. Ini sudah cukup bagus bagi orang yang berusia sepertinya dan masuk kerja hanya berbekalkan diploma serta kemahiran berbahasa Inggeris.

"Suasana tempat kerja bagus. Kemudahan segalanya lengkap. Lokasi pun bagus kerana senang diakses dengan LRT. Kumpulan yang masuk kerja bersama-sama anak saya dulu 50 orang.

"Semasa sesi latihan selama dua bulan, 10 orang cabut. Apabila mula bekerja secara rasmi, setiap bulan ada yang cabut dan tinggal lagi 18 orang," ujarnya.

Menurut Mohd Faisal, ada dalam kalangan rakan sekerja anaknya meletakkan jawatan kerana enggan bekerja lebih lima hari seminggu memandangkan industri penerbangan kembali sibuk selepas negara memasuki fasa endemik.

file7i4pj1cu3oj19fxci6qm

Menurut lelaki itu, anaknya mula bekerja dengan syarikat berkenaan kira-kira setahun lepas. (Gambar Hiasan)

Malah, Mohd Faisal turut bertegas untuk tidak mempedulikan anaknya sekiranya dia meletakkan jawatan atas alasan tersebut, sebagaimana rakan-rakan yang lain.

"Sekarang syarikat penerbangan kembali sibuk. Kerja semakin bertambah. Syarikat mula mewajibkan kerja lebih masa (berbayar). Bayaran kerja lebih masa mereka bukannya RM5 atau RM10 satu jam. Berpuluh-puluh ringgit per jam. Boleh mencecah RM250 jika kerja lapan jam sehari.

"Mulai bulan Jun, syarikat mewajibkan semua staf OT satu hari seminggu pada hari cuti mereka. Semalam 15 orang hantar surat berhenti. Alasan mereka syarikat melanggar kontrak. Janji kerja lima hari seminggu, sekarang kena kerja enam hari seminggu.

"Saya beritahu anak, kamu jangan berhenti. Jangan terikut-ikut kawan. Kalau kamu berhenti saya tidak akan pedulikan kamu lagi dan jangan minta tolong apa-apa dengan saya.

"Tidak ada istilah langgar kontrak dalam hal ini. Kamu diminta bekerja pada hari cuti dalam keadaan berbayar. Dan bayaran bukan kecil. Gaji kamu akan jadi RM 4,500 sebulan. Apa lagi yang kamu nak," ujarnya panjang lebar.

Menurut Mohd Faisal, pengorbanan dan kesusahan yang dilalui hari ini pastinya akan membuahkan hasil lebih lumayan pada masa akan datang.

Jika ada kerja yang baik, tempat kerja yang selesa, gaji yang bagus, masih lagi tidak puas hati. Apabila tidak ada kerja, kerajaan yang dipersalahkan.

MOHD FAISAL

Malah, dia turut meminta anaknya agar terus konsisten dan istiqamah menjalankan amanah dalam pekerjaan yang diceburi.

"Saya beritahu kepadanya, kerja perlu konsisten, ikhlas dan istiqamah. Untuk mendapat jawatan dan gaji yang lebih besar pada masa depan, kita perlu kerja kuat dan timba pengalaman daripada sekarang.

"Apatah lagi kamu masih muda dan bujang. Jangan harap pangkat besar atau gaji tinggi akan datang bergolek. Kalau tidak dipecah ruyung mana hendak dapat sagunya," ujarnya.

Tanpa disangka-sangka, Mohd Faisal berkata anaknya menerima durian runtuh apabila kesetiaan di syarikat itu terbalas dengan surat kenaikan gaji, baru-baru ini.

"Alhamdulillah dia beritahu saya tidak mahu berhenti dan tidak akan mengikut jejak rakan-rakan sekerjanya. Alhamdulillah juga, malam tadi dia dapat emel daripada syarikat memaklumkan tentang kenaikan gajinya.

file7hnuy4dszy010w13tcti

Mohd Faisal menasihati anaknya agar terus istiqamah bekerja dan tidak mengikuti jejak rakan-rakan. (Gambar Hiasan)

"Ke mana hala tuju anak-anak muda kita hari ini? Jika ada kerja yang baik, tempat kerja yang selesa, gaji yang bagus, masih lagi tidak puas hati. Apabila tidak ada kerja, kerajaan yang dipersalahkan.

Di penghujung bicara, Mohd Faisal turut menyuarakan pendapat bahawa dia kurang bersetuju dengan opsyen pekerjaan seperti penghantar makanan dan pemandu e-hailing.

"Sebab itu saya tidak berapa bersetuju dengan kehadiran kerja seperti Grab, Foodpanda dan penjual-penjual di lampu isyarat sekarang ini. Kerana ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mahu maju ke depan dan budaya malas belajar," ujarnya.

Sehingga kini, posting Mohd Faisal meraih lebih 1,600 tanda suka dan turut dihujani hampir 600 komen netizen.

Selain bersetuju dengan pandangan yang diutarakan, ada sebilangan netizen turut menyuarakan rasa kurang senang dengan kenyataannya terhadap pekerja e-hailing.

'kerja2

Sebahagian komen netizen di Facebook.

"Saya sependapat dengan tuan. Saya pernah komen pekerjaan jadi rider ni golongan pekerja-pekerja yang 'dibangsatkan' oleh kapitalis. Tapi saya dikecam. Saya setuju tentang peniaga tepi jalan ni juga peniaga tak ada masa depan. Tapi apakan daya sukar untuk mereka memahami apa yang kita maksudkan.

"Saya setuju tuan. Kita kerja cari duit selagi boleh muda-muda ni. Kawan saya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) je, tapi sebab rajin dan berdedikasi, tak tukar kerja almost 19 tahun, sekarang gaji dia belas-belas ribu, dah target berhenti kerja sebelum 50 tahun, dengan simpanan beratus-ratus ribu.

"Ingat Grab tu kerja goyang kaki ke. Panas perit kena cahaya matahari baru dapat duit encik. Kalau mereka ada diploma dan pandai berbahasa Inggeris mereka pun nak kerja dalam aircond. Tapi tiap org I.Q tak sama.

"Yang berhenti mungkin dah dapat better offer dan tak diugut oleh bapa mereka," ujar beberapa netizen yang tampil dengan pendapat berbeza-beza.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain