suria

Serik! Pelanggan perjelas situasi dalam restoran ‘makcik puaka’, malu kena maki depan ramai orang

Seorang pelanggan membuat rakaman mengenai keadaan di dalam sebuah restoran di Melaka.

KECOH di media sosial mengenai nasib malang menimpa sekumpulan pelanggan yang dimaki oleh seorang peniaga di sebuah restoran popular di Melaka.

Digelar 'makcik puaka', tindakannya memperlekehkan pelanggan yang sedang makan bersama keluarga turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Berkongsi pengalaman kepada mStar, pelanggan berkenaan, Rosmarliana Rosli berkata, kejadian berlaku pada petang Rabu lalu di sebuah restoran di Bandar Hilir.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri dengar peniaga maki pelanggan restoran popular Melaka, 'makcik puaka' siap hina gara-gara pesan telur dadar

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10,000 followers saksi influencer dihalau ketika buat reviu di restoran popular Melaka, pertama kali dimalukan sepanjang 14 tahun bisnes - "PKP tak boleh lama-lama"

Wanita berusia 37 tahun itu tampil menjelaskan bahawa kunjungannya ke restoran tersebut bukan pertama kali kerana pernah menikmati hidangan di sana beberapa kali sebelum ini.

"Saya orang Melaka, jadi pernah datang ke restoran tu beberapa kali. Tapi saya hanya datang dengan kawan-kawan. Ini pertama kali saya bawa saudara-mara dari Singapura.

"Sebelum ni bila saya datang dengan kawan-kawan okay je tiada masalah, tak sangka pula ada isu masa datang bersama keluarga beramai-ramai," katanya ketika dihubungi mStar.

restoran biadab 2 B B

Liyana membawa saudara-maranya dari Singapura untuk menikmati hidangan di restoran.

Lebih mesra disapa Liyana, dia mendakwa kunjungannya bersama 10 yang lain termasuk ibu, bapa saudara dan ibu saudaranya ke restoran berkenaan kira-kira pukul 2 petang.

"Masa tu masih lagi waktu tengah hari. Jadi, saya tanya makanan apa yang ada dan bila tengok masih ada lauk, kami pun order untuk sekeluarga makan.

"Tapi 'makcik puaka' tu bising masa kami tengah makan. Kalau makanan dah habis, boleh je cakap baik-baik dan kami boleh pergi ke restoran lain," ujarnya yang berasal dari Ayer Molek, Melaka.

Menurutnya lagi, keluarganya bukan sahaja dimaki dan dicaci, malah dimalukan di hadapan pelanggan-pelanggan lain.

"Saya malu depan saudara-mara dari Singapura. Dalam restoran pula ada pelanggan lain yang tengok kami dimaki," tambahnya.

pelanggan makcik puaka 2

Restoran popular di Melaka kembali hangat diperkatakan.

Walau apa jua keadaan, Liyana yang merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki itu menegaskan bahawa adalah tidak wajar pelanggan diberi layanan buruk.

"Paling saya kesal apabila dia hina guna ayat 'mak bapa'. Kalau orang kata makcik tu cakap kasar sebab dia orang Melaka, saya dan ibu pun orang Melaka... orang Melaka baik-baik.

"Famili saya pun berniaga bertahun-tahun, kami layan pelanggan dengan baik. Tak kira orang Melaka atau orang luar, peniaga jangan bermusuh dengan pelanggan," katanya.

Mengenai harga makanan, usahawan kosmetik itu mengakui caj yang dikenakan sebanyak RM240 adalah tidak berbaloi tetapi tetap membayarnya kerana enggan merumitkan keadaan.

restoran biadab 4 B

Beberapa lauk yang dipesan pelanggan sekeluarga.

Menyedari restoran berkenaan pernah tular dengan insiden pelanggan dihalau, Liyana sama sekali tidak menyangka kejadian malang seumpama itu turut menimpa keluarganya.

"Sebelum ni tak pernah kena walaupun orang banyak cakap tentang makcik tu. Tak sangka saya kena seteruk ini.

Orang banyak cakap tentang makcik tu. Tak sangka saya kena seteruk ini.

LIYANA

"Memang serik nak datang makan di restoran tu lagi. Bukan setakat tak nak datang makan, nak lalu depan kedai makan tu pun dah tak mahu dah," katanya.

Sementara itu, mStar telah menghubungi pihak restoran bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu yang tular.

restoran biadab 7 B

Antara lauk yang turut dipesan pelanggan terbabit.

Terdahulu, perkongsian Liyana di laman sosial mengenai layanan buruk di restoran tersebut menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Selain harga makanan yang didakwa mahal, peniaga wanita dipercayai pemilik restoran tersebut turut melemparkan kata-kata makian dan cacian terhadap Liyana sekeluarga.

Pada September 2020, restoran sama pernah menjadi perhatian gara-gara seorang usahawan wanita yang juga influencer didakwa dihalau ketika membuat reviu produk di premis itu.

Menerusi video yang tular, kedengaran beberapa suara yang melarang influencer tersebut mempromosikan produk kecantikan mereka di restoran mereka, sehingga memaksa wanita itu bertindak meninggalkan premis tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain