suria

Pergi salun dengan bapa, anak perempuan pulang sebagai ‘lelaki’... berhari-hari nangis kenang rambut kena ‘sodok’

Keadaan rambut Amylieya sebelum (kiri) dan selepas digunting.

"SALAH gunting, amoi ingat lelaki."

Demikian kapsyen pada satu perkongsian video yang memaparkan seorang kanak-kanak berambut pendek dan kemas, dengan bahagian belakang rambutnya siap 'ditarah'.

Sekali pandang pasti ramai yang menyangka kanak-kanak tersebut adalah lelaki, namun telahan tersebut tidak benar sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Potong rambut murid sampai tobek, ibu minta guru disiplin kembalikan semangat dan maruah anaknya sebagai pengawas dihormati

ARTIKEL BERKAITAN: Kisahnya guru tadika tersilap panggil 'kakak', budak lelaki terpaksa korbankan rambut hampir 4 tahun... apa jadi di kedai gunting tak dijangka

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Heilmy berkata, kanak-kanak perempuan di dalam video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu adalah anak sulungnya, Amylieya yang berusia lapan tahun.

"Ceritanya minggu lalu, saya bawa anak Amylieya dan adik lelakinya yang berusia lima tahun ke salun rambut di pekan Bakri. Asalnya nak gunting rambut si adik.

"Bila sampai di kedai, si adik tak mahu pula. Jadi saya bertanya kakak kalau-kalau dia nak gunting gambut dan dia okay.

"Selalu isteri ikut sekali, tapi hari itu isteri jaga anak bongsu yang berusia lima bulan di rumah," cerita bapa kepada tiga cahaya mata ini.

rambut 1

Sekali imbas Amylieya disangka kanak-kanak lelaki kerana potongan rambut.

Menurutnya, salun rambut berkenaan pernah beberapa kali dikunjungi sebelum ini, malah dia dan anak-anaknya sudah biasa diberikan perkhidmatan oleh pemiliknya.

"Selalu memang aunty tu yang potong rambut. Tapi kebetulan hari itu dia agak sibuk melayan pelanggan lain, jadi anak perempuannya yang gunting rambut kakak yang ketika itu hampir separas bahu.

"Nak dijadikan cerita, salun itu mewajibkan pelanggan pakai topeng muka. Jadi dia tak nampak wajah anak saya... saya pula cakap pada amoi tu, gunting macam biasa saja.

rambut 3

Amylieya hanya bersedih untuk dua atau tiga hari pertama selepas rambutnya digunting, namun kini sudah dapat menerima hakikat.

"Dekat situlah terjadinya salah faham. Selepas beritahu amoi tu, saya duduk di belakang dan layan anak lagi seorang yang nak tengok video YouTube.

"Pandangan saya terhalang sebab ada pelanggan lain, jadi masa amoi 'sodok' belakang, saya tak perasan. Masa dia nak gunting belah atas, saya dah perasan, terus pergi dekat dan mintanya jangan gunting dah," ujar lelaki berusia 38 tahun ini yang mengusahakan bisnes sendiri.

Meskipun sedikit sebanyak kesilapan tersebut disebabkan oleh wanita berkenaan, Heilmy berkata dia tidak marah atau memanjangkan perkara tersebut kerana menyedari kesilapan turut berpunca daripadanya.

Buat masa ni kalau nak keluar, dia minta nak pakai tudung.

HEILMY

BAPA

"Balik rumah, isteri saya terkejut dan tanya macam mana boleh jadi macam tu. Saya pun ceritakan perkara yang berlaku. Nak marah pun tak boleh.

"Dua tiga hari pertama selepas rambut pendek, Amylieya menangis juga sebab dia berasa segan. Tapi saya dan isteri pujuk dan beri kata-kata positif untuk sedapkan hati dia.

"Kami beritahu, rambutnya pasti ambil masa tak lama nak panjang semula. Tapi buat masa ni kalau nak keluar, dia minta nak pakai tudung," katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut, Heilmy berkata perkongsiannya langsung tidak berniat untuk mengaibkan anak sendiri sebaliknya mahu mengabadikan memori tersebut untuk tatapan pada masa hadapan.

rambut 2

Heilmy bersama anak sulung dan anak keduanya.

"Kenangan yang nak disimpan tak semestinya kenangan manis saja... boleh juga nak simpan kenangan yang lucu atau tak dapat dilupakan, seperti kejadian rambut pendek ni.

"Tak sangka pula video tu raih lebih 840,000 jumlah tontonan. Majoriti yang komen, mereka tak percaya anak saya tu perempuan dan cakap kononnya saya buat content.

"Jenuh juga nak jelaskan... puas cari gambar-gambar lama Amylieya untuk buktikan dia memang kanak-kanak perempuan. Tapi banyak komen positif juga... mereka cakap dulu pun biasa gunting rambut pendek sebab senang dan lebih cepat nak urus.

"Apa pun, video ini juga sampaikan pengajaran kepada ibu bapa lain agar jangan leka kalau bawa anak gunting rambut... takut ditimpa kejadian serupa," akhirinya sambil berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain