suria

Tampal notis sweet di kereta! Satu... sebab prihatin, kedua sebab nak tebus ‘salah’ dibuat masa isteri tengah berjuang lahir anak

Adha tampal notis pada bahagian belakang kereta ketika bawa isteri pulang dari hospital.

MELAHIRKAN anak secara caesar atau 'luar tingkap' dianggap sebagai jalan selamat buat para ibu kerana tidak perlu menanggung rasa kesakitan ketika proses kelahiran.

Begitu juga dengan Afdzan Sahrmeen Nasid, 28, yang bersalin dengan kaedah ini tetapi mula merasai kesakitan selepas beberapa hari proses pembedahan yang dilakukan pada 7 Jun lalu di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor.

Memahami situasi yang dialami wanita ini, suaminya, Mohamad Faridzul Adha Mohd Faudzi, 25, nekad menampal notis pada bahagian belakang kereta meminta maaf pada pemandu-pemandu di jalan raya kerana dia terpaksa memandu secara perlahan.

"Isteri saya selamat melahirkan anak pertama kami pada pukul 6.30 pagi minggu lalu.

"Dia terpaksa beranak secara tak normal sebab 'jalan' masih belum terbuka tapi baby dah mula berak dalam perut. Doktor beritahu kalau tak nak anak lemas kena beranak secara caesar.

"Mak saya ada beritahu kalau beranak secara caesar ni tak sakit tapi bila sudah beranak tu yang sakit. Saya ada juga tahu fasal perkara ni daripada orang sekeliling. Saya bayangkan macam mana sakit yang isteri tengah rasa. Mesti tak boleh nak buat kerja kasar-kasar," ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tunggu masa nak bersalin, suami pula berkelakuan aneh... beri banyak petanda ajal menjemput - “Warna bilik kami putih, dia nampak hijau”

ARTIKEL BERKAITAN: Rider sanggup menabung mahu isteri bersalin di hospital swasta, beri layanan bak puteri raja sepanjang tempoh hamil

Atas rasa kasihan dan simpati dengan nasib isteri ketika itu, Adha yang bekerja sebagai tukang gunting rambut mengambil inisiatif untuk menampal sekeping notis di bahagian belakang kereta jenis Proton Saga miliknya.

"Minta maaf pandu perlahan, wife (isteri) baru lepas bersalin czer (caesar)," tulisnya dalam notis tersebut.

Dia yang menetap di Skudai, Johor ini berkata notis tersebut ditampal kerana dia terpaksa memandu dengan perlahan pada kelajuan bawah 50 kilometer per jam.

"Notis tu saya tampal masa nak ambil isteri balik dari hospital. Satu hari tu saja saya tampal sebab nak bawa isteri balik rumah.

Anak pertama Adha yang merupakan seorang bayi lelaki.

"Saya terpaksa letak ayat macam tu sebab saya faham keadaan pemandu lain bila memandu atas jalan. Kalau tengok orang pandu kereta perlahan, saya pun tak reti nak sabar tunggu.

"Saya bawa perlahan pun masih kasihan sebab rasa bergegar. Saya tahu dia rasa sakit sikit dekat bahagian perut tapi dia jenis tak merungut," katanya sambil menambah perjalanan dari hospital ke rumah mengambil masa selama 20 minit.

Menurutnya yang baru sahaja dikurniakan anak lelaki ini, dirinya masih dibelenggu rasa bersalah kerana tidak berada bersama ketika isteri sedang berjuang melahirkan anak mereka.

Saya rasa bersalah dan kasihan bila tengok keadaan dia macam tu. Apatah lagi masa dia tengah bertarung nyawa melahirkan anak kami, saya terpaksa duduk luar sebab tak mampu nak tengok.

MOHAMAD FARIDZUL ADHA

Berikutan video yang menjadi tular di TikTok, rakaman tersebut telah meraih hampir 500,000 jumlah tontonan.

Rata-rata netizen mengagumi keprihatinan seorang suami sehingga sanggup mencari inisiatif memikirkan keadaan isteri yang sedang sakit.

"Saya rasa bersalah dan kasihan bila tengok keadaan dia macam tu. Apatah lagi masa dia tengah bertarung nyawa melahirkan anak kami, saya terpaksa duduk luar sebab tak mampu nak tengok.

Adha sudah berumah tangga lebih dua tahun.

"Macam-macam saya fikir masa dia tengah bersalin sebab nervous nak handle dia masa beranak. Jadi saya nak tebus balik dan nak tunjuk yang saya sayang sangat dekat dia dengan cara tampal notis macam ni dekat kereta walaupun sudah dua tahun berkahwin.

"Lepas video tu jadi viral, macam-macam komen saya terima. Ada juga yang mendoakan kami supaya sentiasa dipermudahkan urusan. Alhamdulillah memang segala urusan saya mudah saja lepas isteri sudah bersalin ni. Sekelip mata saja Allah senangkan urusan saya," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain