suria

Hari-hari dapat makan percuma, nenek kantin tolak tiap kali hulur duit... Selepas 5 tahun gadis ini buat ‘drama’ air mata

Erina sebak ketika menghulurkan hadiah berbentuk wang ringgit kepada nenek.

SUDAH menjadi lumrah datuk dan nenek pasti akan memanjakan cucu lebih-lebih lagi jika rapat dan pandai mengambil hati mereka.

Seperti gadis bernama Wan Ilhan Erina Wan Zulkifli ini, dia beruntung apabila dapat menumpang kasih seorang wanita warga emas yang bekerja di kantin sekolahnya.

Ketika dihubungi mStar, gadis berusia 17 tahun bercerita secara terperinci bagaimana hubungannya dengan wanita yang hanya ingin dikenali sebagai nenek itu menjadi rapat.

"Saya tak berapa kenal datuk dan nenek di sebelah ayah sebab mereka sudah meninggal sejak saya keci lagi. Sebelah ibu pula, atuk dan nenek jauh di Sarawak jadi saya memang tak rapat dengan mereka.

"Tapi saya bertuah kerana selama tempoh lima tahun dekat sekolah menengah, saya rapat dengan nenek kantin ni. Sejak daripada tingkatan satu lagi nenek sentiasa ikhlas melayan kerenah saya waktu rehat.

"Kalau bab duit tak payah cakap la... nenek tak pernah berkira. Dia selalu belanja waktu rehat, nenek tetap tak nak terima duit setiap kali hulur. Katanya, saya kena makan lebih banyak lagi sebab dia suka tengok saya makan," jelas Erina ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek 84 tahun gelisah kenang nasib cucu autisme yatim piatu, tak senang duduk fikir siapa boleh sambung tugas jaga anak syurga

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan! Bersungguh laung, ingatkan panggil nenek sendiri... rupa-rupanya si kecil ini hanya tumpang kasih jiran

Jelas gadis yang berasal dari Selangor ini lagi, hubungan mereka mula rapat sejak dia berada di tingkatan satu setelah Erina ditugaskan menjaga kantin pada waktu rehat.

Ujar Erina, dia selalu membantu nenek dalam urusan mengemas dan bersihkan kerusi dan meja kerana sering menjadi individu terakhir berada di kantin setelah pelajar lain selesai makan pada waktu rehat.

"Sejak daripada mula masuk sekolah kami rapat sebab saya jadi pengawas. Saya selalu dijadualkan bertugas jaga kantin waktu pelajar lain rehat.

Momen dia bersama nenek di Instagram menyentuh hati netizen.

"Apabila habis masa rehat, saya jadi orang terakhir tolong nenek dan pekerja lain membersihkan semula kantin tu walaupun bukan kerja saya.

"Masa tengah kemas kantin, nenek selalu bercerita dan borak dengan saya. Daripada situlah hubungan kami jadi rapat sampailah saya dah nak habis belajar dekat sekolah," ujarnya lagi.

Kata Erina yang bersekolah di Shah Alam itu lagi, dia juga selalu bercerita tentang masalah berkaitan pelajaran kepada nenek.

Walaupun nenek ada lapan orang cucu di rumah dan baru saja menimang cucu kembar tapi dia tak pernah renggang atau beri saya layanan berbeza.

ERINA

Sebelum ini Erina berkongsi video momen dia bersama nenek di Instagram hingga menyentuh hati netizen.

"Walaupun nenek ada lapan orang cucu di rumah dan baru saja menimang cucu kembar tapi dia tak pernah renggang atau beri saya layanan berbeza. Saya terharu dan agak sedih apabila fikir nanti dah tak boleh jumpa nenek dekat kantin sekolah setiap hari apabila dah tamat belajar.

"Itulah salah satu sebab saya berikan nenek duit raya. Saya memang dah lama pasang niat nak bagi nenek duit raya memandangkan ini merupakan tahun terakhir saya dekat sini. Saya mula kumpul duit daripada awal tahun ni untuk beri pada nenek.

Erina (kiri) rakan sekelas (kanan) ketika berjumpa nenek.

"Waktu saya berikan duit tu dekat nenek memang rasa sangat sebak. Saya minta kawan tolong rakam momen ni supaya boleh simpan sebagai kenangan apabila rindukan nenek sebab dah anggap dia macam nenek kandung saya sendiri.

"Saya harap walaupun sudah habis belajar di sekolah tu nanti, hubungan kami tak akan pernah renggang atau putus. Saya juga berdoa agar nenek sentiasa diberikan kesihatan yang baik. Tak terbalas rasanya jasa baik nenek ini terhadap saya," jelas Erika.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain