suria

Wow! Pensyarah buat ramai terpana di hari terakhir berkhidmat, anggun gayakan baju istimewa hadiah persaraan

Busana berinspirasikan baju sari sempena persaraan Madam Carol.

BUKAN hadiah biasa-biasa, seorang pensyarah wanita dikejutkan dengan pemberian sehelai busana berperincian mewah.

Persis rekaan pereka fesyen terkenal, baju berkonsep moden dan dihiasi manik itu sebenarnya adalah hadiah penghargaan sempena majlis persaraannya.

Menerusi satu video yang dimuat naik oleh seorang pemuda di laman sosial, pensyarah itu kelihatan anggun memperagakan busana tersebut.

Pemuda berkenaan, Muhammad Hakimi Gunawan berkata, busana tersebut dihadiakan sempena persaraan rakan sekerjanya, Caroline Selvarani Rajasingam Solomon, 60, di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad (KVSAS) di Banting, Selangor pada Jumaat lalu.

Pembantu pensyarah berusia 25 tahun itu memberitahu, ia merupakan hasil kerja tangan dirinya sendiri bersama rakan sekerja, Sarimah Abu Bedor, 49, dan seorang pelajar, Danish Tiftazani Masrizal, 18.

ARTIKEL BERKAITAN: Janganlah hujan! Ramai risau model baju surat khabar photoshoot ketika cuaca mendung, kenapa perekanya bayangkan Mira Filzah?

ARTIKEL BERKAITAN: Diusik kain hilang, nak terbang di majlis kahwin... peminat Aina Abdul tak kisah baju pengantinnya dikritik asalkan majlis berjalan lancar

"Kami mahu menampilkan kelainan untuk hadiah buat rakan sekerja, Carol yang dikenali sebagai Madam Carol dalam kalangan warga kerja dan para pelajar.

"Saya bekerja di Jabatan Senireka Fesyen KVSAS, jadi kami mahu Madam kelihatan anggun dan bergaya di hari terakhirnya berkhidmat," katanya ketika dihubungi mStar.

baju pensyarah bersara 8

Busana mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

Diperbuat daripada kain duchess, lace, manik dan lining, dia yang lebih mesra disapa Hakim berkata, busana rona biru itu mengambil inspirasi daripada pakaian tradisional sari.

"Madam Carol selalu pakai sari di mana-mana setiap kali ada majlis rasmi atau acara tertentu. Jadi, kami gabungkan busana berkonsepkan sari dengan elemen tradisional dan moden.

"Memang kami terpaksa mengambil ukuran Madam Carol untuk membuat busana tu, tapi dia tak tahu hasilnya yang akan dipakainya nanti," ujarnya yang berasal dari Sabak Bernam.

baju pensyarah bersara 1

Hakim (kiri) bersama Sarimah (tengah) dan Danish yang menghasilkan busana untuk Madam Carol.

Berpengalaman dua tahun di KVSAS, katanya, busana tersebut mengambil masa seminggu untuk disiapkan kerana pembikinannya dilakukan selepas waktu mengajar.

Menganggap Madam Carol sebagai kakak, Hakim yang berpengalaman sebagai tukang jahit berkata, wanita itu disifatkan merendah diri, peramah dan berpewatakan lemah-lembut.

Madam Carol tegas sebagai tenaga pengajar di kelas, menjadi ibu melayan para pelajarnya seperti anak-anak di luar kelas.

HAKIM

"Madam Carol juga suka memberi nasihat kepada kami. Urusan kerjanya terbaik, dan caranya berinteraksi dengan rakan sekerja dan pelajar begitu disenangi.

"Madam Carol tegas sebagai tenaga pengajar di kelas, menjadi ibu melayan para pelajarnya seperti anak-anak di luar kelas," katanya sambil menambah mereka turut menghasilkan beg clutch untuk pensyarah berkenaan.

baju pensyarah bersara 3

Turut dihasilkan beg clutch untuk Madam Carol.

Sementara itu, Madam Carol ketika dihubungi berkata, dia terkesima apabila menerima hadiah yang begitu mengagumkan daripada Jabatan Senireka Fesyen KVSAS.

"Kesungguhan dan keinginan untuk memberi sesuatu yang begitu cantik yang direka cipta khas untuk persaraan saya sangat menyentuh hati.

"Saya sangat menghargai titik peluh semua yang bekerja kuat untuk menyediakan baju itu dalam masa dua minggu," kata pensyarah Bahasa Inggeris ini yang turut memegang jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Pentaksiran dan Penilaian.

baju pensyarah bersara 5

Madam Carol bersama teman-teman pada majlis persaraan.

Madam Carol yang berpengalaman dalam bidang pendidikan selama lebih 37 tahun berkata, banyak kenangan terindah dikecapi dengan menyaksikan pelbagai kejayaan para pelajarnya sepanjang perkhidmatannya.

"Kepada rakan sekerja, lakukan tugasan kamu dengan hati terbuka tanpa memilih. Terima cabaran dan cuba sesuatu yang baru dengan yakin.

"Buat para pelajar, hormat pensyarah seperti ibu bapa dan sentiasa yakin pada kebolehan diri sendiri. Kamu boleh, mesti dan akan berjaya jika kamu doa dan belajar dengan tekun," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain