suria

Ibu tunggal derita kanser ovari tabah besarkan 3 zuriat... Anak kedua terlantar akibat kemalangan, si bongsu hidap jantung berlubang

Shahani kini menanggung ketiga-tiga anaknya selepas berpisah dengan bekas suami, dua tahun lalu.

BUKAN calang-calang ujian yang dihadapi oleh wanita ini.

Bermula dengan episod kegagalan rumah tangga, dia kemudian diuji pula dengan khabar duka apabila disahkan menghidap kanser ovari, hanya dua bulan selepas berpisah dengan bekas suami.

Ketika menerima perkhabaran tersebut, dunia yang berputar terasa gelap seketika kerana memikirkan nasib yang bakal dilalui oleh tiga orang anak di bawah jagaannya.

kanser 3

Anak kedua Shahani, iaitu Muhammad Danish Hakim ketika ditimpa kemalangan enam bulan lalu.

Menurut aktivis kebajikan dan masyarakat, Natipah Abu, ibu tunggal berusia 44 tahun yang hanya dikenali sebagai Shahani ini terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari dan seterusnya sesi kimoterapi sebanyak enam pusingan.

Baru berkira-kira mahu bangkit membina kekuatan, Shahani sekali lagi jatuh terduduk apabila anak keduanya, Muhammad Danish Hakim, 17, ditimpa kemalangan jalan raya enam bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tanggung ujian berat selepas kahwin usia muda! Suami kudung dua kaki, sakit buah pinggang... nasib 4 anak kecil jadi tanda tanya

ARTIKEL BERKAITAN: Harapkan bahagia perkahwinan kedua, ibu 3 anak ‘dapat derita’ suami gantung tak bertali! Tunggu masa dihalau tuan rumah

"Anak saya yang menunggang motosikal telah dirempuh oleh sebuah lori ais ketika melintas jalan ketika hendak ke padang bola.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, tempurung kepala kanannya terpaksa dibuang dan terdapat beberapa sarafnya yang tidak lagi normal.

"Sehingga sekarang anak saya masih terlantar. Hanya minum susu khas melalui tiub yang ditebuk di bahagian perut. Lehernya juga ditebuk untuk membantu pernafasan.

"Sejak itu saya kembali bangkit melawan semua perasaan. Saya harus kuat dan tabah demi anak-anak. Saya lupa terus tentang penderitaan jiwa dan raga yang saya tanggung akibat penceraian dan kanser," cerita Shahani, sebagaimana yang dikongsikan semula oleh Natipah menerusi hantaran di Facebook.

kanser 2

Muhammad Danish Hakim (kiri) seorang remaja yang aktif sebelum terlantar akibat kemalangan.

Kini tumpuan Shahani bukan hanya terarah untuk menjaga anak keduanya yang terlantar semata-mata, sebaliknya dia juga perlu berulang alik ke hospital kerana anak ketiganya yang berusia 16 tahun disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.

"Setiap tahun, kami akan menjalani pemeriksaan dan scan jantung untuk perkembangan terkini. Terbaru hospital beri tarikh untuk anak saya menjalani satu lagi pembedahan pada 23 Jun ini," katanya lagi.

Saya lupa terus tentang penderitaan jiwa dan raga yang saya tanggung akibat penceraian dan kanser.

SHAHANI

IBU TUNGGAL

Wanita yang menetap di Sungai Petani, Kedah itu berkata, kekangan tersebut membuatkan dia tidak dapat keluar bekerja untuk menambah sumber pendapatan.

"Alhamdulillah saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat kerana saya tiada pendapatan yang lain.

"Buat masa ini, keperluan saya yang utama ialah lampin pakai buang anak saya dan susu khasnya yang terlalu mahal. Sedangkan pada masa sama, saya masih perlu menanggung dua anak yang masih belajar," katanya lagi sambil menambah, anak sulungnya yang berusia 19 tahun kini sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

natipah

Natipah sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam lapangan kebajikan dan kemasyarakatan.

Justeru menurut Natipah, dia menggerakkan inisiatif Sedekah Jumaat bagi membantu meringankan beban ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu.

"Kita mensasarkan RM5,000 dengan niat membeli lampin pakai buang dan susu khas Muhammad Danish Hakim. Semoga dengan sumbangan kita ini akan meringankan bebanan Puan Shanani dalam menempuh ujian yang mendatanginya," tulis Natipah.

Sehingga kini perkongsiannya meraih 456 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain