suria

Mengadu sakit lengan, kemudian meninggal! Bapa ‘pergi’ sehari sebelum sempat lawat rumah sewa anak... air kotak, kerepek dah siap packing

Piah terkejut apabila dimaklumkan ayahnya meninggal dunia sehari sebelum datang melawatnya di USIM.

PEMERGIAN insan tersayang pastinya memberi tamparan hebat kepada mereka yang menghadapinya.

Malah, ia sekali gus menciptakan kerinduan yang tidak berpenghujung.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu sering tanya soalan pelik, selepas jatuh sakit baru anak faham apa maksudnya... terus resign walau baru nak bina kerjaya

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bongsu setia jaga ibu bapa sampai hujung usia, tinggal kerjaya demi kasih hingga ke syurga... Bakal tunang setia di sisi

Seperti yang baru dirasai Sufiah Izzati, bapanya Mohamed Shah meninggal dunia secara tiba-tiba pada usia 52 tahun.

Perkhabaran mendukacitakan itu didengarinya ketika berada jauh daripada keluarga kerana sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian.

Lebih menyedihkan apabila pertemuan terakhir dengan bapanya adalah kira-kira dua minggu lalu iaitu selepas dia dihantar ke rumah sewa di Nilai, Negeri Sembilan.

Menceritakan semula kisahnya kepada mStar, pelajar tahun 2 Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, kematian berpunca daripada serangan jantung.

"Ayah meninggal sebab terkena serangan jantung semasa makan malam dalam pukul 6.55 petang dengan mama dan adik-adik. Mama kata, ayah tak sempat nak telan makanan dan terus jatuh dari kerusi.

"Sebelum tu ayah ada mengadu kat mama yang dia rasa sakit pada bahagian lengan. Lagipun ayah ada penyakit darah tinggi, tetapi dikawal menerusi pengambilan ubat secara harian," ujarnya.

Urusan pengebumian dipermudahkan.

Urusan pengebumian dipermudahkan.

Menurut gadis berusia 21 tahun itu lagi, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan bapanya yang sudah berjanji untuk datang melawat pada cuti umum, Isnin lalu.

"Sabtu lalu, mama ada mesej saya beritahu yang dia dan ayah nak datang melawat pada hari Isnin sebab cuti umum. Memang dah plan nak belikan barang-barang saya, tapi tak kesampaian.

"Ayah juga dah siap sediakan makanan seperti kerepek-kerepek dan air kotak dalam beg untuk bawa bersama semasa melawat saya. Akhirnya saya sendiri yang balik rumah di Puncak Alam, Selangor bagi menziarahi ayah yang sudah meninggal dunia.

Ayah Piah seorang yang garang tapi gemar berjenaka.

Ayah Piah seorang yang garang tapi gemar berjenaka.

"Semasa tahu perkhabaran tu, saya berada dalam lif untuk ke rumah sewa di tingkat 8. Tahu pun selepas dapat mesej ringkas abang 'dah call ambulance ke' dalam group WhatsApp.

"Disebabkan terkejut dengan mesej tu, saya terus hubungi mama tapi panggilan dijawab oleh adik... dia cakap 'ayah dah tak ada', ketika itu azan Maghrib hampir berkumandang," luahnya sebak.

Mengimbau kembali kenangan terakhirnya dengan arwah, ujar Sufiah, sebelum dihantar pulang ke rumah sewa, dia dibawa berjalan-jalan terlebih dahulu.

Malah bapanya sentiasa menjaga kebajikan dan tidak membenarkan dirinya melakukan kerja sambilan supaya dapat fokus kepada pelajaran.

Ayah mahu saya habiskan pengajian dan membanggakan keluarga.

SUFIAH IZZATI

"Ayah bagi duit belanja secukupnya sebab risau kalau saya buat kerja sambilan semasa belajar, dia takut saya tak fokus pada pelajaran dan tugasan kuliah.

"Ayah sangat mengambil berat sebab saya satu-satunya anak dia yang belajar jauh buat masa sekarang.

Gambar raya terakhir bersama ayahnya.

Gambar raya terakhir bersama ayahnya.

"Perkara yang saya tidak boleh lupakan adalah ayah minta saya jaga diri dan mama. Dia juga mahu saya habiskan pengajian dan membanggakan keluarga," katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Bercerita lanjut, dia juga bercadang untuk melakukan kerja sambilan sepanjang cuti semester nanti.

Katanya, pengajian bagi semester keempat hanya berbaki kira-kira dua bulan dan dia akan fokus kepada pengajian seperti yang telah diamanatkan.

Tambah Sufiah, bapanya seorang yang garang namun suka berjenaka dan mengusik ibunya mahupun adik beradik yang lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain