suria

Gadis mengadu tak larat jalan dalam mall, bapa sanggup dukung! Bukan mengada tapi menderita scoliosis, segalanya bermula dengan sakit pinggang

Gadis penghidap masalah scoliosis terpaksa didukung oleh bapa dalam pusat beli belah.

MELIHAT seorang gadis didukung bapanya dalam sebuah pusat beli belah membuatkan ramai warga maya cemburu dengan kemesraan dua beranak itu.

Namun siapa sangka di sebalik senyuman dan kegembiraannya, gadis ini sebenarnya sedang menanggung derita yang bukan calang-calang.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nurin Adriana Arifah, 21, menjelaskan bahawa dirinya menderita penyakit tulang (scoliosis) sejak 2019, ketika dia masih bersekolah.

"Pertama kali saya dapat tahu ada penyakit scoliosis ketika berumur 18 tahun. Saya kerap rasa lenguh di bahagian leher. Saya fikir mungkin kesan kemalangan langgar kereta masa naik motosikal pergi rumah kawan dulu tapi rupanya bukan.

"Saya rasa makin tak selesa jadi terus ajak ibu ayah bawa ke klinik berhampiran untuk buat pemeriksaan. Siap buat pemeriksaan dengan doktor, dia saran buat ujian X-ray di Hospital Kajang di Selangor.

"Hasil keputusan X-ray tu barulah saya dapat tahu tulang belakang dah bengkok. Tapi bukan kesan daripada kemalangan sebab saya ada masalah sakit pinggang sebelum kemalangan lagi. Selama ini saya ingat selalu sakit pinggang tu perkara biasa sebab banyak bergerak jalani aktiviti harian atau sebab nak datang bulan," jelasnya yang senang disapa Yana.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik derita skoliosis, ada hikmah kakak buat live... dana kos pembedahan cukup tak sampai 2 hari - “Saya beritahu dia, saya tak boleh reda...”

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang sebelah kaki kerana derita kanser tulang, hebatnya remaja OKU aktif sukan ini cekap buat roti puri... terbentuk elok jadinya! - “Kalau dia tak sihat, saya tak niaga”

Jelas Yana yang merupakan anak kedua dalam empat beradik, dia mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah berjumpa doktor pakar tulang pada 2018.

Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak hospital terpaksa menangguhkan dahulu temu janji seterusnya ketika dia hanya sempat menerima dua sesi rawatan sahaja.

Setelah dua tahun tidak menerima sebarang rawatan, dia mendapat satu lagi berita buruk di mana adiknya, Nurin Adriana Qistina yang berusia 13 tahun pula mengalami masalah sama sejak dua tahun lalu.

Bila bawa adik pergi periksa dekat Hospital Kajang, doktor beritahu yang adik pun ada scoliosis juga cuma kes dia lebih teruk berbanding saya sebab peratusan tulangnya yang bengkok lebih tinggi.

NURIN ADRIANA ARIFAH

"Saya tak sangka rupanya ni penyakit keturunan sebab adik saya pun kena. Kami sekeluarga boleh tahu adik pun ada scoliosis lepas dia mengadu dekat ibu tulang rusuknya tinggi sebelah.

"Bila bawa adik pergi periksa dekat Hospital Kajang, doktor beritahu yang adik pun ada scoliosis juga cuma kes dia lebih teruk berbanding saya sebab peratusan tulangnya yang bengkok lebih tinggi.

"Doktor sarankan kami berjumpa pakar tulang dekat Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dekat Serdang. Jadi bermula dari situlah saya dan adik dapatkan rawatan fisioterapi sebanyak satu atau tiga bulan sekali," jelas Yana.

Gambar Xray tulang belakang Yana (kiri) dan adiknya (kanan).

Berikutan video tular menunjukkan seorang bapa sanggup mendukung anak gadisnya yang sakit kaki, rata-rata netizen yang tidak tahu kisah di sebaliknya meluahkan rasa cemburu dan ada juga yang terharu melihat keakraban dua beranak ini.

Bagaimanapun ada juga yang meninggalkan komen berbaur sinis, termasuklah menyatakan bahawa si bapa melayan anak gadisnya seperti permaisuri.

"Masa tu saya pergi mall dan macam biasa orang sakit scoliosis ni memang tak boleh berdiri atau berjalan lama. Mesti akan rasa sakit pinggang, kaki dan cepat terasa lenguh. Jadi ayah kasihankan adik sebab tu dia dukung. Saya saja rakam momen tu sebab nampak comel.

Yana (kiri dari belakang) bersama ahli keluarganya.

"Selalu kalau kami cakap sakit pinggang, ayah akan carikan tempat duduk. Jadi kami akan berehat sekejap. Tapi hari tu kami pergi mall hujung minggu jadi orang sangat ramai. Tempat duduk tak banyak dan dipenuhi orang. Ayah pun dukunglah adik sementara abang pergi cari wheelchair.

"Video kena dukung tu rata-rata komen netizen sedih dan cemburu sebab tak semua dapat rasa kasih seorang ayah. Saya tak berniat nak buat siapa-siapa pun sedih. Saya tak sangka pula viral sampai macam ni. Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih doakan ayah saya yang baik-baik," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain