suria

Dulu tercungap daki gunung, kini tampan berkuda macam putera raja... jejaka Sabah kongsi rahsia transformasi diri!

Penampilan dan imej baharu Jordan dahulunya berbadan gempal namun kini bertubuh sasa.

PERUBAHAN secara keseluruhan!

Begitulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan penampilan dan imej baharu seorang jejaka yang dahulunya berbadan gempal namun kini bertubuh sasa.

Berikutan video yang menjadi tular di TikTok, Jordan Wayne Felix, 24, menceritakan kisah di sebalik video menunjukkan dia keletihan ketika mendaki gunung di Penampang, Sabah pada Disember 2020.

Transformasi fizikal jejaka senang disapa Jordan itu juga telah membuatkan ramai warga maya memuji malah terinspirasi dengan perubahan dirinya yang semakin kacak.

"Waktu video tu dirakam oleh rakan saya, kami sedang mendaki gunung. Dia seorang vlogger jadi dia rakam content untuk saluran YouTube.

"Kami buat aktiviti lawat kawasan sambil menderma makanan kepada penduduk di kawasan Kampung Kogunon. Kalau tengok dalam video nampak letih sangat tak bermaya sebab berat saya masa tu 104 kilogram," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah keding, kini mampu bantu ramai individu capai bentuk badan idaman... pemuda ini dedah ‘soalan favourite’ pengikut!

ARTIKEL BERKAITAN: Sesak nafas masa sujud, terkejut lihat saiz badan di TV... cikgu 145kg gigih workout bersama mak, kini mampu tersenyum puas

Menurut jejaka yang berasal dari kaum Kadazan Dusun ini, dia mula terdetik mahu mengubah penampilan serta fizikal bermula Mac 2021.

Dia yang beragama Kristian berkata, banyak cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi demi menjadikan rutin harian dan kehidupannya ke arah lebih sihat.

"Walaupun saya pernah dipanggil si gemuk dan 'gompusas' (seorang yang kuat makan) oleh orang lain tapi kata-kata mereka tak bagi kesan pada saya.

Jordan memilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya cuma nak amalkan gaya hidup lebih sihat. Saya bermula dengan kurangkan pengambilan kalori dalam pemakanan harian sampai hujung Ogos 2021.

"Selepas September 2021 saya mula lakukan aktiviti bina badan sehinggalah sekarang. Rasa nak putus asa tu tak ada sebab bila kita betul-betul nak berjaya capai impian, tak ada halangan untuk capai kejayaan," ujarnya

Berjaya menurunkan berat badan sehingga 73kg, Jordan ternyata membuktikan bahawa segala impian dapat dicapai dengan disiplin dan keazaman.

Berat lelaki ini pernah mencecah lebih 100 kilogram.

Mengenai video memaparkan dirinya sedang menunggang kuda berhias, ia dirakam dalam satu pertandingan yang diadakan di Kota Belud bagi mempromosikan pelancongan budaya.

Bagaimanapun menurut pemuda yang menyertai acara Mister Kaamatan Papar 2022, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh sebelum mencapai tahap ini.

"Cabaran paling utama sekali semestinya diri sendiri dari segi mental dan fizikal. Banyak dugaan saya hadap masa nak diet. Saya suka bersosial seperti berpesta jadi masa bersuka-ria mestilah nak makan makanan sedap... itulah antara cabaran paling besar buat saya.

Jadi bila saya dah tanamkan pada diri dan set dalam kepala macam tu, saya buat saja rutin jaga makan dan lakukan senaman secara teratur tanpa mengelat.

JORDAN WAYNE FELIX

"Nak disiplinkan diri dengan rutin dan cara kehidupan sebelum ni memang agak sukar. Tapi bila fikir hidup ni sekali saja, tak kan kita nak hidup dalam landasan sama. Jika tak nak, cuba ubah cara hidup kita. Saya jarang hiking macam dulu tapi badan saya tak mudah letih macam sebelum ni sejak jaga makan.

"Jadi bila saya dah tanamkan pada diri dan set dalam kepala macam tu, saya buat saja rutin jaga makan dan lakukan senaman secara teratur tanpa mengelat,” jelasnya.

Susulan video yang dimuat naik oleh rakannya, Freddy Gaman, rata-rata netizen mula bersemangat untuk mengubah penampilan kepada lebih baik.

Jordan turut menitipkan pesanan buat individu lain yang terinspirasi dengan penampilan barunya.

Malah, ada juga sesetengah warga maya yang menyamakan wajahnya dengan putera kacak Brunei, Pengiran Muda 'Abdul Mateen Sultan Hassanal Bolkiah.

Jordan turut menitipkan nasihat kepada individu yang mahu melakukan perubahan lebih baik kepada diri mereka sendiri.

Jordan menyertai acara Mister Kaamatan Papar 2022.

"Ramai cakap muka sama dengan Putera Mateen tapi bagi saya tak sama pun. Apa pun dugaan yang anda hadapi, cuba teruskan saja tak kisah susah atau senang. Untuk capai pada tahap ni bukanlah satu perkara mudah. Jika ia senang, semua orang boleh lakukannya.

"Hidup ni cuma sekali jadi kenapa tidak kita ambil peluang dan lakukan yang terbaik untuk kebaikan diri sendiri juga. Saya pun tak sangka atau terfikir boleh sampai sejauh ni,” ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain