"WALAUPUN OKU tapi saya bangga sebab dapat besarkan anak depan mata sendiri" Begitulah kapsyen pada video TikTok milik Nurirdinaashira Irdi Hamzah, 25, yang merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata. Ketika dihubungi mStar, senang disapa Shira, dia memperincikan kisah yang berlaku pada 2015 hingga mengubah nasibnya sehingga menjadi cacat kekal. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya dilahirkan secara normal saja tapi masa umur 18 tahun saya terlibat dalam satu kemalangan dengan suami... tapi masa tu kami masih belum kahwin. "Jalan dekat Desa Water Park di ibu kota masih belum rata ketika tu. Masa membonceng dengan suami dekat kawasan tu dia terlanggar jalan berlubang. "Kemudian secara tidak sengaja kaki saya termasuk dalam rim motosikal. Kaki saya berpusing-pusing dalam tu sampai tumit jadi terkulai. "Lepas kejadian tu, saya dibawa ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia). Doktor buat pembedahan segera. Tapi sayangnya keesokan harinya tumit dan buku lali bertukar jadi warna hitam. Jadi doktor buat keputusan untuk potong terus," ujar Shira. ARTIKEL BERKAITAN: Kasih ibu kekal selamanya, warga emas cekal jaga anak OKU terlantar selama 60 tahun... Setiap hari tak putus doa ARTIKEL BERKAITAN: Sawan ketika siaran live, aksi Mokkay urus adik OKU raih pujian netizen... Bukan senang jaga insan istimewa Kata Shira yang tinggal di Sungai Merab, Kajang ini, dia telah terpaksa ditahan di hospital selama dua bulan untuk proses pembedahan yang dilakukan sebanyak enam kali. Setelah selesai pembedahan dilakukan, dia telah disahkan menjadi orang kelainan upaya (OKU) kategori cacat kekal fizikal. "Apabila pembedahan selesai bila doktor tengok isi daging kaki dah jadi cantik kemerahan, akhirnya saya dibenarkan keluar. Tapi lepas selesai... tumit dan buku lali saya dah tak ada. Keadaan kaki Shira setelah terlibat dalam kemalangan. "Banyak aktiviti saya terhad lepas tu. Saya tak boleh berdiri lama sebab urat dah banyak putus dan telah menyebabkan kaki kanan saya lebih pendek," ceritanya lagi. Bagaimanapun Shira tidak patah semangat apabila dia bangkit mengusahakan bisnes spa kecantikan. "Susah kalau kerja makan gaji kerana tak boleh nak bagi komitmen, saya tak boleh berdiri lama. "Bermula daripada tahun 2018 sampai sekarang saya buka spa kecantikan sendiri dengan ambil upah buat facial dekat orang dari rumah ke rumah. Pekerjaan ini membolehkan saya duduk sambil mencari rezeki," katanya. Secara tidak sengaja kaki saya termasuk dalam rim motosikal... berpusing-pusing dalam tu sampai tumit jadi terkulai. NURIRDINASHIRA Sungguhpun demikian wanita ini bersyukur kerana dipertemukan dengan suami, Muhammad Zeekry Ahmad Roshidi, 25, yang sentiasa berada di sampingnya sewaktu susah dan senang. "Walaupun saya kemalangan masa bercinta dengan si suami tapi dia tak tinggalkan saya malah siap jaga dengan baik lagi. "Dia juga banyak bagi semangat dan sokongan. Dia juga yang hantar saya pergi dan balik kerja serta bantu saya menguruskan anak-anak," katanya lagi. Tidak menjadikan alasan kecacatan kekal sebagai penghalang kejayaannya, Shira berkata kesungguhannya dalam mencari rezeki adalah sebagai persediaan bagi menghadapi hari tuanya kelak. Shira kini memiliki spa kecantikan sendiri. "Saya bekerja keras sekarang sebab tahu pada masa akan datang apabila dah tua, saya tak boleh nak kerja keras seperti umur muda sekarang. Doktor pun ada ingatkan saya bahawa kemungkinan besar nanti dah tua saya tak larat nak jalan, terpaksa guna kerusi roda saja. "Lagipun saya fikir masa depan anak-anak. Saya usaha bina bisnes sendiri tanpa bantuan orang lain. Duit bisnes pun 100 peratus hasil usaha sendiri tanpa pinjaman dan bantuan. "Saya tak dapat kerja kerajaan jadi orang selalu anggap saya tak pandai sedangkan mereka tak tahu kehidupan dan apa yang saya lalui selama ini," jelasnya. Berikutan perkongsian di TikTok, Shira dihujani pelbagai komen netizen yang mendoakan kejayaan serta kesejahteraan dirinya. Shira bersama suami dan dua anak mereka.. Rata-rata netizen menyatakan rasa simpati malah kagum dengan kejayaan serta kecekalan wanita yang kini sudah tidak sempurna fizikalnya. "Alhamdulillah setakat ni tak ada halangan dan kesusahan untuk besarkan anak-ank sebab suami banyak bantu. Cuma saya tak boleh dukung anak dalam keadaan berdiri lama saja. "Apa yang saya lebih risaukan, waktu anak dah besar nanti. Apabila dia dah sekolah takut kena ejek dengan kawan-kawan yang melabelkan atau mengejek mereka sebab memiliki mama (ibu) OKU," ujar Shira menutupi kisahnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI