suria

Sambil punggah barang, dengar orang kutuk kerjaya driver lori! Lelaki ini tak teragak tayang sijil dekan 4 semester

Amirul merupakan seorang lepasan ijazah dengan keputusan cemerlang tetapo bekerja sebagai pemandu lori.

SUDAH ada ijazah tapi jadi pemandu lori, mesti pointer rendah sebab tu tak ada yang nak ambil kerja.

Begitulah kapsyen yang ditulis Amirul Firdaus Abdul Halim pada video memaparkan dirinya memakai jubah konvokesyen sambil menunjukkan empat keping sijil anugerah dekan yang diterimanya.

Bercakap kepada mStar, tujuannya berbuat demikian bagi memberi mesej tersirat terutama dalam golongan masyarakat yang masih mempunyai stigma dengan memandang rendah kerjaya pemandu lori.

“Seingat saya tiada yang kecam secara langsung atau berdepan dengan mengeluarkan kata-kata penghinaan tapi memang betul ada dalam masyarakat kita yang pandang rendah terhadap pemandu lori.

“Pernah beberapa kali saya dengar orang cakap 'muda-muda nak kerja bawa lori' ketika saya memunggah barang. Selain itu, ada juga yang kata 'kerja bawa lori ni orang malas belajar'.

“Jadi saya hasilkan video ini sebab terkesan dengan mentaliti masyarakat. Malah ada artikel dikeluarkan dengan meletakkan topik 'Lori pembunuh nombor satu lebuh raya' yang membuatkan masyarakat lebih memandang buruk terhadap kami seolah-olah kemalangan yang melibatkan kenderaan berat sengaja dilakukan,” ujarnya yang senang disapa Amirul.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu posmen, kini pemandu lori kontena... pemuda akui realiti kerjanya susah nak balik rumah, siap pesan “kalau lori masuk simpang tolonglah mengalah!”

ARTIKEL BERKAITAN: Tercampak bawah lori, guru al-Quran tunggang motor maut dalam kemalangan... Tak sempat konvo minggu depan

Dia yang sudah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Persembahan (Teater) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak pada 2021 berkata tidak ambil hati dengan pandangan serong masyarakat tetapi sangat berharap mereka lebih membuka mata dalam menilai pekerjaan seseorang.

Malah ujarnya yang menetap di Teluk Intan, Perak ini, faktor kurangnya peluang pekerjaan membuatkan sesetengah graduan cemerlang terpaksa memilih apa saja jenis pekerjaan yang ada demi meneruskan hidup.

Amirul yang empat kali memperoleh sijil anugerah dekan bagi keseluruhan enam semester berkata dia memilih kerjaya sebagai pemandu lori secara rela hati.

Amirul merupakan anak kelahiran Perak.

“Sikap sesetengah masyarakat suka cakap lepas ni cukup menjengkelkan. Saya cuba menyampaikan mesej bahawa tidak semua graduan Malaysia terlampau memilih pekerjaan dan masih ramai yang sanggup melakukan apa sahaja demi menjana pendapatan.

“Saya sendiri walaupun ada keputusan baik, tetap pilih kerja pemandu lori sebab dah empat tahun ikut saudara setiap kali berkelapangan.

“Jadi saya dah faham dengan persekitaran kerja dan mahir dengan banyak jalan. Saya pun dah lama teringin melancong ke seluruh Malaysia. Dengan jadi pemandu lori, secara tak langsung meluaskan pemandangan dan pengalaman tanpa perlu memikirkan kos minyak dan tol kerana semuanya ditanggung syarikat,” katanya lagi.

Saya sendiri walaupun ada keputusan baik, tetap pilih kerja pemandu lori sebab dah empat tahun ikut saudara setiap kali berkelapangan.

AMIRUL FIRDAUS

Susulan video yang tular di TikTok, rata-rata kagum melihat pencapaian lelaki ini serta memuji sikapnya yang tidak memilih pekerjaan dalam mencari rezeki halal.

Dalam pada itu, Amirul turut menitipkan pesanan terhadap netizen di luar sana agar tidak mudah meletakkan kesalahan atau menghukum pemandu lori sebagai punca berlakunya kemalangan.

Jejaka ini mendapat pencapaian anugerah dekan bagi empat semester sepanjang pengajian di Upsi.

“Saya berharap masyarakat tidak mengamalkan sikap pukul rata terhadap kemalangan melibatkan lori kerana ia menjejaskan orang yang bekerja dalam bidang ini.

“Masyarakat kini ramai yang menganggap setiap kemalangan berpunca daripada kenderaan yang lebih besar padahal siasatan masih dijalankan dan tak semua berpunca dari kami,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain