suria

Setahun ziarah kubur 2 anak setiap hari, pasangan warga emas beri jawapan pilu ditanya ‘kenapa tak doa dari rumah?’

Pasangan ini tidak pernah jemu menziarahi pusara anak mereka setiap hari.

KEMATIAN dua anak lelaki akibat virus Covid-19 pada Ogos tahun lalu memberi kesan yang cukup mendalam buat pasangan warga emas ini.

Setiap hari, Adnan Zakaria, 71, yang juga bilal masjid bersama isterinya Che Sayang Arshad, 67, akan menziarahi pusara dua anak mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Bendahari, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Video memaparkan rutin harian pasangan itu meruntun emosi netizen apabila ia dikongsi ke media sosial oleh anak ketujuh mereka, Muhammad Nazreen, 28, sehingga meraih ratusan ribu tontonan.

Menurut Nazreen yang juga eksekutif bahagian Dakwah Zakat Pulau Pinang, dia sendiri turut sebak mengenangkan nasib kedua orang tuanya yang terlalu sedih dengan kematian berkenaan.

"Abang nombor tiga (Syiful Iskandar) meninggal pada Rabu petang manakala abang nombor empat (Mohd Noor Badarudin) meninggal dunia pada awal pagi Khamis. Kiranya mereka meninggal dunia dalam tempoh beberapa jam, selang sehari.

"Jenazah kedua-dua abang saya dikebumikan bersebelahan, tak jauh dari rumah mak ayah. Setiap hari mereka akan ke kubur. Selesai solat Subuh, dalam pukul 7 mereka akan keluar menaiki motor dan kembali ke rumah pada pukul 9 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada bayang seolah-olah orang solat di sebelah kubur pesakit Covid-19... terlalu hiba, anak di Afrika Selatan tak mampu tengok lama video call pengebumian

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri ‘makanan’ 3 kali sehari untuk balas jasa

"Mak dan ayah akan bawa tikar untuk duduk di kubur. Selain rutin membaca al-Quran, mereka juga akan siram air dan gosok batu nisan. Tak pernah terlepas pergi ke kubur setiap pagi kecuali pada hari hujan," ujarnya.

Menurut Nazreen, dia juga tidak menyangka video rutin harian kedua ibu bapanya yang dikongsi ke aplikasi TikTok akan meraih perhatian ramai.

Video yang dikongsi Nazreen ke TikTok tular dan merih lebih 100,000 tontonan.

Tambahnya lagi, dia terharu membaca komen netizen yang banyak memberi kata-kata sokongan dan mendoakan kesihatan kedua ibu bapanya.

"Sejak abang meninggal, pagi-pagi mereka tak duduk di rumah. Hari-hari pergi kubur. Sebab tu saya rasa terdetik nak buat video lepas dekat setahun berlalu. Tak sangka jadi viral di TikTok.

Pemergian dua beradik dalam tempoh singkat akibat Covid-19 ternyata meruntun hati seluruh keluarga.

"Saya pernah tanya mak ayah, kenapa pergi kubur setiap hari sedangkan boleh berdoa dari rumah. Mereka kata, mak ayah mana yang rela tengok anak yang dilahirkan dan dikandung pergi dulu.

"Lepas tu, mak ayah kata mereka rasa lebih dekat kalau pergi ke kubur. Rasa macam dua abang saya masih ada lagi," ujarnya sebak.

Selesai solat Subuh, dalam pukul 7 mereka akan keluar menaiki motor dan kembali ke rumah pada pukul 9 pagi.

NAZREEN

Kata Nazreen, suasana meriah lapan beradik setiap kali tiba sambutan Aidilfitri dan Aidiladha juga sudah tidak dirasai selepas dua abangnya dijemput Ilahi.

Lebih pilu, sambutan hari mulia itu bertukar hambar dan hanya bersulamkan air mata apabila ahli keluarga menangisi pemergian dua abangnya yang sudah tiada.

"Suasana raya memang tak sama macam sebelum ini. Dulu suasana lain masa dua abang masih ada. Kami semua adik-beradik akan balik kampung, tanya mak nak beli apa, nak masak apa.

pusara1

Antara komen netizen di TikTok.

"Tapi sekarang berbeza. Aidiladha kali ni sama je macam Aidilfitri. Memang suram, tak ada masakan istimewa, baju raya pun mak ayah tak nak beli. Jadi suram je seharian. Lepas sembahyang mesti menangis," ujarnya lagi.

Untuk rekod, kedua-dua arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain