suria

Lebih 7 bulan tak jumpa keluarga, pemuda Kuala Krai hampir buat ibu pengsan! Tiba-tiba muncul depan rumah segak pakai uniform polis

Zariq berpeluang berjumpa keluarganya selepas membuat permohonan pada pihak pengurusan.

DEMI menunaikan impian ibu yang mahukan anaknya berkhidmat untuk negara, pemuda kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini sanggup merantau ke Kuching, Sarawak sendirian.

Lebih mencabar apabila seumur hidupnya hingga mencapai usia 24 tahun, dia tidak pernah sesekali tinggal berjauhan daripada keluarga.

Mengakui berat hati untuk meninggalkan keluarga, Zariq Zafwan Zamzuri bagaimanapun terpaksa cekalkan hati demi menunaikan impian ibunya, Noraini Mohamad.

Memulakan cerita kepada mStar, anak ketiga daripada tujuh beradik itu menyatakan dia menerima tawaran sebagai anggota polis selepas tiga kali gagal semasa temuduga terbuka sebelum ini.

“Mak memang nak saya masuk polis. Jadi sejak 2018 lagi saya dah cuba... tapi asyik gagal sahaja. Masa mula-mula mohon, sebab berat badan tak memenuhi kriteria.

“Tahun 2019 pula sebab ukuran dada tak cukup, kemudian sebab tangan tak lurus. Pendek kata setiap tahun ada kekurangan yang menyebabkan saya gagal.

“Memang rasa putus asa masa tu. Tapi selepas terdengar perbualan mak dengan kakak yang menyatakan mahu saya kerja polis, saya teruskan keazaman.

Sepanjang tempoh latihan di Pulapol.

Sepanjang tempoh latihan di Pulapol.

“Bermula daripada itu, saya mula masuk gym selepas kerja dan beli makanan berasaskan protein supaya dapat membina badan yang tegap... akhirnya semasa temuduga terbuka di Kota Bharu tahun lepas, saya terus diterima,” ujarnya.

Perkhabaran gembira itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila surat tawaran yang diterima menyatakan dia perlu menghadiri latihan selama enam bulan di Kuching.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian pernah tergendala, ibu tunggal dari Kelantan kini raih ratusan ribu ringgit! Kerja keras bukti tak perlu bergantung hidup pada lelaki

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu sering tanya soalan pelik, selepas jatuh sakit baru anak faham apa maksudnya... terus resign walau baru nak bina kerjaya

Walaupun terkejut kerana perlu berpisah dengan keluarga, dia tetap menerimanya dan berlepas ke bumi kenyalang pada November 2021.

“Latihan selama enam bulan di Pulapol (Pusat Latihan Polis). Bermula tarikh 21 November itulah saya tidak dapat melihat raut wajah mak dan keluarga.

“Selepas tamat latihan, keluarga tak dapat hadir pada majlis istiadat. Memang sedih sangat masa tu, tapi saya faham keadaan keluarga... Sarawak dan Kelantan bukanlah dekat, jadi kami hanya buat panggilan video dan mak menangis.

“Saya tengok sahaja rakan-rakan yang buat tabik hormat pada keluarga mereka, sedangkan saya tidak berpeluang melakukannya,” luahnya sebak.

Zariq pada majlis istiadat tamat latihan di Pulapol Kuching.

Zariq pada majlis istiadat tamat latihan di Pulapol Kuching.

Bercerita lanjut, ujarnya yang mesra disapa Zariq, lebih menyedihkan apabila cuti raya yang diperuntukan selama lima hari sebelum majlis isitiadat tidak dapat digunakan.

“Memang semua Pulapol dapat balik kecuali kami yang berada di Kuching,” imbasnya.

Tidak terhenti begitu saja, Zariq sekali lagi dikejutkan apabila dia perlu melaporkan diri di balai polis yang telah ditetapkan.

“Saya ditugaskan di Skudai, Johor. Selepas tamat rekrut, terus ke sana untuk lapor diri dan mula tugas... memang tak sempat jumpa keluarga.

“Kira-kira tujuh bulan juga saya tak jumpa mereka, rasa rindu tu tak tahu nak ucap macam mana. Iyalah, saya pun tak pernah berjauhan daripada mereka semua,” katanya.

Mak cakap yang dia macam bermimpi apabila tengok saya depan mata sebab memang tertunggu-tunggu saya balik kampung.

ZARIQ ZAFWAN

Disebabkan sudah lama tidak bertemu keluarga, Zariq membuat permohonan pada pihak pengurusan untuk menggunakan cuti raya selama lima hari yang pernah diperuntukan sebelum ini.

Menceritakan situasi yang dilalui sebelum ini, dia akhirnya dibenarkan pulang atas budi bicara pihak pengurusan.

“Rasa gembira sangat apabila permohonan diluluskan. Sebab dah lama tak jumpa dan asyik buat panggilan video, saya nekad nak buat kejutan pada keluarga.

“Saya balik Kelantan dengan menaiki bas sahaja sebab perjalanan jauh. Apabila sampai di stesen bas di sana, saya minta tolong pakcik untuk ambil dan dalam perjalanan tu saya hubungi kakak sebab nak suruh mak pakai tudung.

Bersama ibu dan ayah.

Bersama ibu dan ayah.

“Masa maklumkan saya dah ada di Kuala Krai, kakak pun terkejut tapi dah suruh dia jangan bagitahu mak,” katanya lagi.

Tambah Zariq, kejutan yang dirancangnya berjaya sehingga ibunya terduduk dan hampir pengsan kerana penyakit lemah jantung yang dihidapi.

Menurutnya lagi, ibu berterusan menangis selepas bertemu, mungkin kerana tidak dapat menghadiri istiadat perbarisan tamat latihan yang lalu.

“Mak cakap yang dia macam bermimpi apabila tengok saya depan mata sebab memang tertunggu-tunggu saya balik kampung,” luahnya yang turut mengakui tidak pernah menjadikan kerjaya polis sebagai impian.

Malah katanya, dia pernah berjanji bahawa dia tidak akan keluar dari kampung halaman melainkan jika mendapat berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.

Dalam pada itu, Zariq yang berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memberitahu, dia mahu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan membanggakan keluarga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain