suria

Dia bagi penyangkut baju! Isteri gigih ajar suami mualaf baca ‘alif ba ta’, netizen pula rasa cuak... “Hanger tu jauhkan, dia nervous teruk”

Wawa dan suaminya mula berkenalan sejak 2020 sebelum melangsungkan perkahwinan pada Mei lalu.

TAK apa sayang, belajar perlahan-lahan.

Begitulah kapsyen yang ditulis oleh wanita dikenali sebagai Wawa Kamarudin pada video menunjukkan dia senang mengajar suaminya mengaji menggunakan penyangkut baju yang dijadikan penunjuk bacaan.

Gelagat Wawa, 24, bersama suaminya yang merupakan seorang mualaf itu mengundang rasa lucu dalam kalangan netizen sehingga meraih lebih 100,000 tontonan di TikTok.

Ketika dihubungi mStar, Wawa memperincikan kisah disebalik video ketika dia mengajar suaminya, Uwais Jamli Abdullah, 25, mengenal huruf jawi.

"Saya kenal suami masa pertengahan tahun 2020. Masa tu suami dapat posting dekat Kelantan. Pertama kali kami jumpa masa tu dekat kedai makan mak (ibu Wawa) yang jual roti canai terletak di Kampung Landak.

"Suami nak beli sebiji kelapa muda yang masih belum dibelah untuk dia makan dekat rumah. Saya pun ambil peluang ni minta nombor telefon dia atas niat nak berkawan je tapi tak sangka dia boleh jadi suami pula sekarang," ujarnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin mualaf bersanding selepas 5 tahun kahwin, kecoh majlis mak membebel depan keluarga mentua - “Dulu kami tak bertegur”

ARTIKEL BERKAITAN: Pertemuan dengan gadis Sabah ubah nasib mualaf gelandangan, tanya pasal anak warga emas ini menangis teresak-esak - “Dia janji tak akan lupakan saya”

Kata Wawa yang menetap di Pengkalan Chepa, Kelantan, suaminya memeluk Islam pada 2018 setelah mendapat hidayah Allah sebelum mereka mengenali antara satu sama lain lagi.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan pasangan ini, Wawa yang berniaga sendiri menjelaskan bahawa suaminya yang berkhidmat sebagai anggota sebuah badan beruniform ini mula rapat dengan ibunya terlebih dahulu.

Namun setelah tempoh perkenalan lebih dua tahun, hubungan mereka semakin rapat sehingga lelaki berkenaan menyatakan hasrat memperisterikan Wawa dan mereka berkahwin pada 5 Mei lalu.

"Kata suami saya, dia tergerak hati nak masuk Islam lepas dapat hidayah dalam mimpi. Dia selalu bermimpi pergi masjid dengan berjubah putih.

Pasangan ini mula berkawan pada 2020.

"Lepas dia tanya pendapat rakan-rakan muslimnya, dia terus membuat keputusan untuk memeluk Islam pada 2018.

"Waktu tu dia tengah study dalam Diploma Penguatkuasaan dan Pentadbiran Undang-Undang dekat Saito University College di Petaling Jaya," ujarnya lagi.

Menurut Wawa, suaminya menukarkan nama asalnya Jamli Saliwang kepada Uwais Jamli Abdullah yang diberikan oleh seorang ustaz.

Ujarnya lagi, suami yang berbangsa Dusun berasal dari Kota Marudu, Sabah ini banyak mendapat bimbingan dan dorongan olehnya setelah mereka berumah tangga supaya lebih mendalami Islam.

Dia tergerak hati nak masuk Islam lepas dapat hidayah dalam mimpi... dia mimpi pergi masjid dengan berjubah putih.

WAWA

Selain mengajar mengenali huruf jawi dan betulkan cara solat, Wawa juga mengajar suaminya itu untuk berpuasa.

"Saya selalu ajar dia cara solat dan betulkan kedudukan dalam solat lepas kami dah kahwin ni. Selain itu saya juga ajar dia mengaji supaya kenal huruf sebab dia boleh hafal ayat-ayat dalam al-Quran tapi tak kenal huruf.

"Cara sebutan bacaan pun kena ajar sebab dia pelat sikit nak membaca tulisan jawi, jadi sebutan tu bunyi lain. Kalau bab berpuasa Alhamdullilah dia boleh puasa dengan baik.

"Sebenarnya tak susah nak ajar tapi saya kena ulang dua hingga tiga kali bagi satu-satu perkara bab agama tu untuk dia faham," ujar Wawa.

Wawa dan Uwais berkahwin pada 5 Mei lalu.

Jelas Wawa, keluarga Uwais dapat menerimanya dengan baik walaupun kini anak mereka sudah berbeza agama.

Namun ujar Wawa, dia sedar mempunyai tanggungjawab yang besar apabila memilih lelaki yang baru memeluk Islam sebagai suami.

"Famili ada pesan awal-awal dulu, tugas saya lepas kahwin dengan suami mualaf ni agak besar untuk dipikul walaupun dia sudah convert sebelum kenal saya.

"Tapi apa-apa pun saya anggap ni sebagai ujian dalam berumah tangga. Lagipun suami saya orang yang baik.

"Lepas kami berkahwin saya boleh nampak dia berubah menjadi seorang lelaki yang lebih bertanggung jawab dan berhati-hati dalam nak buat apa-apa keputusan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain