suria

Disanjung mampu beli BMW i8 harga setengah juta, ‘lifestyle’ jejaka ini bikin ramai kagum... Tapi ada juga netizen doa moga kena samun!

Faisal bersama kereta BMW i8 yang dibelinya beberapa bulan lalu.

MEMILIKI kereta idaman pada usia muda merupakan salah satu pencapaian terbesar buat jejaka ini.

Malah, Faisal Aljofry, 25, tidak lokek berkongsi video mengenai kereta BMW i8 miliknya sehingga dia meraih perhatian netizen di laman sosial.

Bercerita kepada mStar, Faisal berkata kereta itu baru dibeli beberapa bulan lalu dengan harga kira-kira RM500,000.

"Awalnya saya tengok seorang perempuan buat video TikTok mengenai kereta. Jadi, saya pun cuba buat video menggunakan kereta sendiri.

"Apabila saya kongsi video, tak sangka ia masuk FYP (For You Page). Rupa-rupanya ramai yang tak tahu mengenai BMW i8. Jadi saya tunjuk tempat untuk cas, cara isi minyak, hiasan dalaman dan sebagainya.

"Saya baru saja beli dalam beberapa bulan lepas. Harga untuk model baharu mencecah RM1.1 juta. Jadi saya beli yang terpakai, separuh daripada harga asal, dekat-dekat setengah juta," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-sia tolak hadiah BMW! Gadis 21 tahun ini dapat Tesla, siap sujud syukur... Bayar RM240 untuk cas kereta selama setahun

ARTIKEL BERKAITAN: Dari Viva ke Mercedes, pelajar pandai tapi miskin terkilan ibu tak sempat lihat kejayaan - “Saya gaul simen nak sambung belajar’’

Menurut Faisal yang menetap di ibu negara, dia bukanlah penggemar kereta sport dan hanya menggunakan Perodua Axia dan Toyota Yaris sebelum memiliki BMW i8.

Belum puas mengejar impian, Faisal juga meluahkan hasrat untuk membeli sebuah kereta mewah Rolls Royce pada masa akan datang.

"Sebelum ini saya guna Axia saja. Saya juga ada sebuah kereta Yaris. Saya tak suka memandu laju. Saya tak suka sport car. Saya lebih mementingkan keselesaan.

"BMW i8 nampak sporty tapi ia selesa, macam kereta untuk kegunaan harian. BMW i8 bukanlah kereta macam McLaren, Ferrari atau Lamborghini, ia kereta harian biasa saja. Target selepas ini saya nak beli kereta Rolls Royce yang baharu.

faisal2

Faisal turut berkongsi video berkaitan keretanya di TikTok.

"Saya ingat kata-kata bekas bos saya. Dia kata apabila kita dah kerja, kita kena ada komitmen untuk tingkatkan taraf hidup. Apabila kerja keras, kita kena berbelanja untuk diri sendiri, jadi di situ akan hadir semangat untuk bekerja lebih keras lagi," ujarnya.

Selain meraih ratusan ribu tontonan serta dihujani komen positif netizen, Faisal juga tidak terlepas menerima kecaman di TikTok gara-gara dituduh 'menunjuk' kemewahannya.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia tidak ambil hati, sebaliknya menganggap komen-komen berkenaan sebagai lumrah biasa di media sosial.

"Sebenarnya saya tak kisah, saya seorang yang berfikiran terbuka. Saya tak kisah orang nak kecam sebab ia tak menjejaskan akaun bank saya. Tapi saya sedih dengan hidup orang yang kecam tu, sebab ada yang tergamak komen mendoakan supaya saya kena samun.

BMW i8 nampak sporty tapi ia selesa, macam kereta untuk kegunaan harian.

FAISAL

"Bagaimana individu itu ada keberanian nak mendoakan benda buruk kepada orang lain? Mungkin dia tak cukup kasih sayang keluarga. Tapi kepada ramai yang memberikan sokongan, saya harap anda semua terus bekerja kuat.

"Jalani hidup sebagaimana yang anda mahukan. Orang akan sentiasa bercakap. Yang penting kena ingat, kita yang menentukan kehidupan sendiri. Jadi buatlah apa saja yang kita suka. Riak atau tak riak, tiada siapa yang kisah.

"Kalau kita nak sesuatu yang tidak pernah kita miliki, kita kena buat sesuatu yang belum pernah kita lakukan. Sentiasa tingkatkan hidup kerana kita nak duduk lama di dunia ini. Jangan sentiasa selesa di tempat sama," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Faisal merupakan seorang usahawan yang pernah berkecimpung dalam pelbagai lapangan kerjaya lain termasuklah peragaan, kecergasan dan fotografi.

faisal3

Faisal berkata dia sentiasa bekerja keras demi mencapai impian dalam hidupnya.

Ujar Faisal lagi, dia berasal daripada keluarga sederhana dan bekerja keras dalam pelbagai bidang demi memiliki keselesaan yang dikecapi hari ini.

"Sejak muda saya suka bisnes. Dulu tak ada pengalaman dan pengetahuan, jadi saya kerja dengan orang. Saya datang daripada keluarga B40 yang sederhana, saya kerja keras sendiri dan mencuba pelbagai benda.

"Dulu pernah buat bisnes F&B, saya buka kedai shisha dan buat bisnes printing baju. Saya juga pernah kerja di gim, jadi model dan bekerja dalam bidang fotografi serta videografi. Saya juga buat video, edit logo sehingga dapat job offer daripada kawan-kawan.

"Kemudian saya ditawarkan kerja sebagai creative director. Pada masa sama, saya mula Forex trading. Time buka shisha dah mula sebenarnya tapi tak fasih. Saya trading on off dalam tiga empat tahun sehingga mula menjana pendapatan.

"Saya dah berhenti sebagai creative director. Sekarang saya full time trade dan invest dalam cryptocurrency. Pada masa sama, saya juga ada side bisnes," dedah Faisal lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain