BEGITU banyak perkongsian di internet mahupun media sosial mengenai fakta kesihatan mental serta pengalaman mereka yang melaluinya. Perkongsian tersebut bukan sahaja untuk menyebarkan ilmu pengetahuan semata-mata sebaliknya bertujuan untuk menyebarkan kesedaran kepada orang ramai. Namun sebanyak mana pun informasi atau perkongsian yang dibuat, boleh dikatakan masih ramai mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai penyakit mental sekali gus mengundang tanggapan salah terhadap mereka yang didiagnos menghidap penyakit berkenaan. Sebahagian perkongsian lelaki berkenaan di Facebook. Berdepan dengan situasi yang sama, seorang lelaki bernama Mohd Ikhsan terpanggil untuk berkongsi mengenai 'ujian' yang dihadapinya bersama isteri yang didiagnos menghidap penyakit mental, bagi menyebarkan kesedaran kepada orang lain. "Saya nak berkongsi sedikit untuk kawan-kawan semua hadam dan fahami keadaan orang yang sedang bertarung dengan penyakit anxiety. "Sejujurnya saya sangat kecewa dengan apa yang isteri saya lalui selama ini kerana kurangnya kesedaran orang sekeliling tentang penyakit anxiety," kongsinya di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Lega tak payah sorok hidap ‘anxiety disorder’, gadis ini tak sangka ibu bapa faham... Siap ajak shopping bantu alih fikir bukan-bukan ARTIKEL BERKAITAN: Percutian berakhir ‘tragedi’ hanya disebabkan makan lewat, suami hidap anxiety dikejarkan ke kecemasan ‘bacaan jantung tak cantik’ Menurut Mohd Ikhsan, sebelum didiagnos menghidap anxiety, isterinya mempunyai masalah gastrik yang teruk sewaktu masih menuntut di universiti. Boleh dikatakan hampir setiap hari isterinya diserang gastrik dan pedih ulu hati sehingga tidak bermaya dan hampir pengsan akibat terlalu sakit. Selepas membuat pemeriksaan, akhirnya doktor mengesahkan bahawa isterinya menghidap penyakit gerd. Penyakit anxiety yang dialami isterinya berpunca daripada gerd dan juga perhubungan jarak jauh. Gambar hiasan "Dari awal perkahwinan lagi kami tidak pernah serumah untuk jangka masa yang lama. "Tidak pernah berkesempatan untuk honeymoon selepas kahwin disebabkan masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Status kami masih sebagai pasangan jarak jauh. "Sebelum disahkan oleh doktor, saya beranggapan bahawa apabila isteri saya cepat cemas, panik, mudah tersentuh, mudah menangis dan cepat marah hanya sebagai sesuatu yang mengada-ngada dan hanya mahukan perhatian lebih. "Tapi saya silap dan menyesal, doktor mengesahkan isteri saya menghidap penyakit anxiety with major depression kesan daripada sakit gastrik (gerd) yang dia telah alami sejak sekian lama. Suami atau isteri perlu berada di sisi dan memberikan sokongan jika pasangan mereka menghadapi situasi yang sama. Gambar hiasan "Ditambah pula dengan hubungan jarak jauh kami dan perlu menjaga seorang anak kecil dalam masa yang sama bekerja sebagai seorang guru tanpa suami di sisi," katanya lagi. Cerita lelaki ini, disebabkan penyakit tersebut, fikiran isterinya mudah terganggu selain mudah panik serta cemas, overthinking, stres dan cepat tersentuh walaupun berdepan dengan perkara remeh. "Inilah yang isteri saya perlu lawan hari-hari sehingga terpaksa mengambil ubat secara berkala," ujarnya. Selain bantuan ubat, Mohd Ikhsan juga berkata apa yang lebih penting, mereka yang menghidap penyakit ini memerlukan sokongan padu daripada pasangan atau insan tersayang untuk melawannya. Ada yang tarik muka sebab memperlekehkan keadaan isteri saya, ada juga yang ketawa, kadang-kadang diperli. MOHD IKHSAN SUAMI Bukan itu sahaja, sokongan daripada orang sekeliling seperti majikan atau rakan sekerja juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk pesakit mental melawan penyakit mereka. "Saya rasa kesal setiap kali isteri saya balik atau call dalam keadaan tiba-tiba menangis. 'Abang macam mana kalau sayang pengsan (atau mati), siapa jaga anak kita... Abang, saya malu mohon cuti lagi, orang ingat saya mengada-ngada'. "Ada yang tarik muka sebab memperlekehkan keadaan isteri saya, ada juga yang ketawa, kadang-kadang diperli. "Saya mohon bagi yang berkenaan, fahami situasi mereka, lihatlah mereka sebagai seorang pesakit yang perlu disokong dan difahami. Selain pasangan, mereka yang menghidap anxiety juga memerlukan sokongan daripada orang sekeliling. Gambar hiasan "Janganlah melihat hanya dari luaran, mereka sebenarnya struggle di dalam, orang yang mudah tersenyum bukan semua bermakna bahagia dan baik-baik sahaja melainkan mereka berusaha melawan penyakit yang mereka hadapi," ujarnya. Tambah lelaki ini lagi, sehingga kini dia dan isterinya masih berikhtiar, menjalani kaunseling psikologi, rawatan Islam dan terapi bagi mengubati penyakit tersebut. "Saya anggap ini ujian buat saya dan isteri yang berhubungan jarak jauh. Saya cukup menghargai perjuangan isteri saya berdepan situasi ini sehingga ke hari ini. "Terima kasih kepada kawan-kawan dan bos-bos yang memahami keadaan saya dan isteri saya. Kami masih berjuang. Doakan isteri saya kuat dan cepat sembuh," katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI