suria

Tak tahan dibuli, pelajar cuma sebulan ke sekolah! Keluarga terkejut result SPM gempak walau belajar di rumah

Afiq belajar sendiri di rumah untuk menduduki peperiksaan SPM setelah dibuli ketika berada di tingkatan satu.

MASALAH buli di sekolah bagaikan tiada titik noktahnya, malah dalam sesetengah kes boleh menjejaskan masa depan mangsanya.

Begitulah apa yang terjadi kepada Nik Mohd Syazani Afiq, 19, yang dibuli di sekolahnya ketika berada di tingkatan satu.

Kesan menjadi mangsa buli, dia mengambil untuk mula menyendiri malah takut untuk berdepan dengan orang ramai.

Sepupunya, Najwan Ismail, 25, ketika dihubungi mStar mempericikan semula kisah yang berlaku terhadap Afiq yang menetap di Kuala Krai, Kelantan.

“Afiq merupakan antara sepupu paling rapat dengan saya. Kami hidup berjiran di mana rumah kami cuma bersebelahan saja.

“Masa Afiq berada di tingkatan satu, dia selalu kena buli di sekolah. Sebulan saja dia masuk kelas lepas tu dia serik. Dari situlah segalanya mula berubah sedangkan masa di sekolah rendah dia merupakan antara pelajar cemerlang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik! Tular video buli pelajar disyaki di asrama ‘maktab’... bangga tumbuk perut mangsa, ada yang jerit ‘mantap gila’!

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah pernah jadi mangsa buli, Tengku Hassanal kesal rakyat Pahang bergaduh - “Pelajar sekolah, tolong jangan pukul orang!”

“Semakin lama keadaan semakin parah. Selepas beberapa bulan banyak perkara negatif mula mengganggu fikiran Afiq. Kadang-kadang bila ada orang datang rumah dia terus masuk bilik. Dia juga diserang anxiety, mula sesak nafas dan emosi sangat cepat berubah,” ujar Najwan.

Bimbang melihat keadaan dan tahap kesihatan Afiq yang semakin teruk, ibu bapa dan keluarganya mula mencari jalan penyelesaian bagi memulihkan dirinya.

Malah menurut Najwan yang merupakan seorang pendidik di sebuah sekolah di Sarawak, keluarganya juga mengambil peranan untuk membantu menaikkan semangat Afiq seperti sedia kala.

“Keluarga dah ikhtiar pelbagai cara untuk sembuhkan dia. Kami bawa pergi berubat moden dan tradisional.

“Selain tu kami bawa dia keluar jauh dari rumah. Bawa makan angin jauh dari tempat tinggal agar dia lupakan kisah-kisah yang menghantui dirinya.

Afiq pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah.

“Akhirnya selepas empat tahun lebih kami ikhtiar macam-macam baru nampak hasilnya. Syukur sangat dia semakin pulih,” kata Najwan.

Lebih menyentuh hati apabila Afiq sendiri menyatakan hasratnya mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.

Kata Najwan, sepupunya ini telah menduduki peperiksaan tersebut sebagai calon persendirian yang didaftarkan oleh ibu bapanya.

“Bila tengok dia dah kembali normal tu pun dah satu kepuasan. Waktu dia cakap nak ambil SPM semua orang terkejut. Dia sendiri yang minta dan pilih untuk belajar sendiri. Famili bagi sokongan moral dan tolong daftarkan dia sebagai calon persendirian.

“Tiap-tiap hari dia akan menonton platform pembelajaran seperti YouTube, DidikTV dan sebagainya. Dia cuma belajar bersendirian berbekalkan nota dan buku-buku yang ada.

Salah satu sebab dia ambil SPM dia nak buktikan mangsa buli pun mampu berjaya. Kemudian, dia nak buktikan yang dia boleh balas balik jasa ibu bapanya.

NAJWAN

“Rujukannya pun tak banyak kerana dia bukan datang dari keluarga yang berkemampuan. Bersendirian tanpa bimbingan guru dan rakan-rakan. Yang ada cuma sokongan moral dari kedua ibu bapa. Saya sebagai cikgu bantu sediakan nota dan link penting. Yang lain memang datang dari diri dia sendiri,” katanya.

Menurut Najwan, salah satu alasan Afiq mahu bangkit semula kerana dia mahu membuktikan bahawa dirinya mampu berjaya.

Walaupun pernah menjadi mangsa buli dan terkesan dengannya, ia bukanlah halangan untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Salah satu sebab dia ambil SPM dia nak buktikan mangsa buli pun mampu berjaya. Kemudian, dia nak buktikan yang dia boleh balas balik jasa ibu bapanya, dia rasa dah banyak susahkan hati mereka, inilah masa yang sesuai untuk tebus kembali.

Afiq hanya belajar sendiri di rumah sebelum menduduki SPM.

“Alhamdulillah, dia mendapat keputusan cemerlang 6A 1B dalam SPM 2021. Bila tengok result dia tu saya tak terkejut sangat, sebab dari caranya yang hari-hari tekun belajar sudah tentu usahanya akan membuahkan hasil," katanya.

Susulan perkongsian Najwan di TikTok, rata-rata netizen terharu melihat pencapaian Afiq..

Malah, ada sesetengah netizen yang turut berkongsi kisah pahit menjadi mangsa buli di sekolah dahulu.

Najwan juga menitipkan pesanan berikutan video yang dimuat naik sehingga meraih lebih 500,000 jumlah tontonan.

Najwan merupakan lepasan ijazah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

“Untuk anak-anak di luar yang mengalami kegagalan dalam hidup... ini motivasi untuk anda kembali bangkit. Buktinya dari komen-komen yang diterima dalam video, ramai mengalami masalah sama macam sepupu saya.

“Ada juga ramai ibu bapa mesej saya minta perkongsian kerana anak-anak mereka hampir sama kisahnya dengan sepupu saya. Semoga ramai lagi di luar sana akan terinspirasi dengan perkongsian saya ini,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain