suria

Lagi 2 bulan nak kahwin, duit simpanan RM5,000 lesap... Tapi sedikit pun pemuda ini tak gelabah - “Kalau pencuri tu terdesak, saya halalkan”

Fadzil reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai satu ujian sebelum bergelar suami.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah gambarannya mengenai ujian berat yang dilalui pemuda ini menjelang hari bahagianya pada 4 September depan.

Menurut Mohamad Fadzilnorudin Yahaya, 27, wang simpanan berjumlah lebih RM5,000 untuk majlis perkahwinannya lesap dicuri di rumah sewanya di Nibong Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini.

fadzil 6

Fadzil dijangka melangsungkan perkahwinan pada September depan.

Ketika dihubungi mStar, dia sempat bercerita mengenai perjalanan penuh liku yang dilalui demi merealisasikan majlis bahagianya tidak lama lagi.

"Sebelum ini saya kerja restoran di Kuala Lumpur (KL) selama lima tahun. Saya bertunang pada Disember tahun lepas. Sejak Januari lalu, saya mula jadi rider GrabFood untuk cari pendapatan tambahan.

"Namun pada April, saya berhenti kerja di KL dan balik ke Pulau Pinang untuk bekerja di sebuah restoran. Proses untuk tukar map dalam sistem GrabFood ambil masa lama, jadi saya tak boleh cari side income sewaktu di Pulau Pinang. Saya harap gaji bulanan je.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersentuh hati tengok rider bawa anak ketika bertugas hantar makanan... siap nak sedekah ekzos, helmet

ARTIKEL BERKAITAN: Berlapar hantar makanan, pemberian pelanggan Cina buat rider GrabFood ini nak menangis, “Terharu dia hargai kerja saya”

"Saya keluarkan duit itu sebab nak guna untuk persiapan majlis nanti. Nak guna untuk bayar pelamin dan baju kahwin. Tiba-tiba saya kena Covid-19 sebelum Hari Raya Aidiladha. Saya kuarantin di rumah sewa. Selepas dah negatif, saya balik ke rumah keluarga di Sik, Kedah.

"Masa balik rumah keluarga, saya terlupa untuk bawa duit tu. Ketika kembali semula ke rumah sewa, duit dah hilang. Rumah sewa tu ada banyak bilik. Saya duduk bilik seorang. Mungkin pencuri masuk melalui tingkap sebab saya kunci pintu sebelum balik.," ujarnya sebak.

Senang disapa Fadzil, dia akui sedih dengan kejadian itu, namun reda dengan ujian yang berlaku dan menganggap ia sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Biarpun diuji hebat, Fadzil memilih untuk memaafkan pencuri berkenaan dan yakin Allah menyusun lebih banyak rezeki lain untuknya pada masa mendatang.

fadzil4

Fadzil kembali ke ibu negara untuk bekerja sebagai rider.

"Kalau pencuri tu terdesak untuk kehidupan dia, saya halalkan je. Kita tak tahu, mungkin dia sanggup buat apa je sebab dah terdesak. Saya anggap ini ujian Allah untuk saya kuat sebelum berkahwin.

"Apa yang Allah ambil hari ni, InsyaAllah akan dibalas lebih banyak lepas saya kahwin nanti. Sekarang saya nak bekerja untuk cari duit rumah sewa lepas kahwin. Lepas tu nak cari duit untuk beli cincin kahwin. Mujurlah duit hantaran saya dah serahkan kepada tunang awal-awal," ujarnya lagi.

Susulan kejadian itu, Fadzil turut membuat keputusan untuk berhenti kerja di Pulau Pinang dan kembali ke Kuala Lumpur bekerja sebagai rider GrabFood bermula Ahad.

Kata Fadzil, dia mahu fokus mencari rezeki dalam saat-saat terakhir demi mengumpul semula wang yang lesap dalam kejadian malang berkenaan.

Kalau pencuri tu terdesak untuk kehidupan dia, saya halalkan je.

FADZIL

"Saya dah bertolak ke Kuala Lumpur, InsyaAllah Ahad pagi saya akan mula bekerja sebagai rider GrabFood balik. Apabila buat full time di KL, InsyaAllah saya boleh kumpul balik duit tu.

"Selepas saya kongsi kisah ni di Facebook, ada juga insan yang sudi nak beri tempat tinggal kepada saya di sini. Ramai yang mendoakan saya. Terima kasih atas doa-doa semua.

"InsyaAllah dengan bekerja sebagai rider semula, Allah akan bantu saya. Selain itu, saya juga nak jual koleksi duit lama yang saya ada. Dalam 15 tahun lepas, saya pernah beli koleksi duit lama Malaysia, Arab dan Amerika yang dijual seorang individu. Dia jual sebab terdesak.

"Mungkin hari ini saya boleh jual balik selepas saya pun berada dalam keadaan begini," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

fadzil3

Dalam usaha mengumpul wang, Fadzil merancang untuk menjual koleksi wang lama yang disimpannya.

Untuk rekod, kisah Fadzil turut meruntun hati netizen selepas dia berkongsi mengenai apa yang berlaku menerusi group Facebook GrabFood Rider Malaysia.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa simpati atas apa yang berlaku dan menitipkan doa agar semua urusannya dipermudahkan.

"Rezeki boleh dicari. Banyakkan doa agar sentiasa sihat tubuh badan dan dimurahkan rezeki.

"Semoga Allah permudahkan segala urusan kamu. Semoga diberikan rezeki yang melimpah ruah.

"Ya Allah bang, beratnya dugaan, semoga rezeki abang melimpah ruah dan dipermudahkan segala urusan, Amin.

"Respect bro usaha anda semoga dimurahkan rezeki melimpah-limpah," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain