suria

Mak ayah kena ‘sidai’ tepi jalan, anak gadis dalam kereta buka aircond... Rupa-rupanya bagi laluan buat presentation universiti

Raihana ketika melakukan pembentangan di dalam kereta.

TANGGUNGJAWAB sebagai seorang pelajar universiti bukan sahaja perlu menyiapkan tugasan yang diberi, malah adakalanya harus terlibat dalam sesi pembentangan atau presentation sebagai salah satu proses penilaian sesuatu subjek.

Begitu juga dengan gadis bernama Raihana Mohd Ramli yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, apabila mencuri tumpuan ramai selepas gelagatnya melakukan presentation dirakamkan kakaknya.

Oleh kerana mahu memberi laluan kepada Raihana menyempurkan tugasannya, empat ahli keluarganya termasuk kedua-dua ibu bapa mereka terpaksa 'bersidai' di luar kereta.

Menceritakan semula situasi yang berlaku itu, kakak kepada Raihana iaitu Siti Mazarina Qhorira berkata, adiknya terpaksa melakukan pembentangan di dalam kereta kerana tidak sempat pulang ke rumah di Subang, Selangor.

"Pada masa itu, kami semua dalam perjalanan pulang dari Genting Highland, jalan sangat sesak kerana orang ramai baru kembali ke Lembah Klang selepas cuti hari raya. Kalau ikut jadual perjalanan, sepatutnya sempat sampai di rumah sebelum pukul 9 malam.

"Namun disebabkan tidak sempat, kami terpaksa berhenti di Rawang bagi memberi laluan dan pada awalnya saya bersama adik bongsu, ibu dan ayah pergi makan di sebuah restoran berhampiran.

"Bagaimanapun selepas sudah menikmati hidangan masing-masing, Raihana masih lagi membuat pembentangan... jadi kami semua tunggu dia di luar kenderaan," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya lagi, kerana terlalu lama menunggu, bapanya mengambil keputusan ke bangunan bersebelahan supaya dapat duduk sambil melayari video di YouTube.

Manakala ibunya hanya berdiri berhampiran sambil makan kacang goreng dan adik bongsu, Haikal Firdaus pula menunggu berhampiran kereta bagi mengetahui berapa lama lagi pembentangan yang akan dilakukan Raihana.

Ketika bercuti ke Genting Highland baru-baru ini.

Ketika bercuti ke Genting Highland baru-baru ini.

"Masing-masing memang menanti dengan penuh sabar. Mak dan ayah pula sangat sporting sebab faham tanggungjawab anak-anak. Raihana pula dalam tahun akhir yang mempunyai banyak projek serta pembentangan.

"Kami semua bertolak pulang ke rumah pada pukul 10.30 malam iaitu kira-kira satu jam 30 minit menunggu," ceritanya yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

Bercerita lanjut, anak gadis berusia 25 tahun itu berkata, perjalanan ke Genting Highland memang sudah dirancang kerana dia jarang bersama keluarga dan sering menghabiskan masa di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas sudah menikmati hidangan masing-masing, Raihana masih lagi membuat pembentangan... jadi kami semua tunggu dia di luar kenderaan.

MAZARINA

"Jadi memang kami dah rancang nak habiskan masa bersama kerana masing-masing dapat meluangkan masa sempena cuti raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dari famili T20 tertanya salah ke belajar sambil bisnes? Pensyarah gigih menyamar jadi customer sebelum hantar mesej ‘serangan’

ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk jual air balang, result percubaan SPM dapat banyak D! Keluarga ‘gertak’ suruh berhenti berniaga, terus skor 8A

"Tak sangka pula tidak dapat sampai ke rumah dalam tempoh masa yang ditetapkan sebab Raihana ada menyatakan yang dia perlu melakukan pembentangan pada hari tersebut. Mujur juga dia sentiasa membawa laptop bersama jadi mudah untuk belajar secara mobile," luahnya lagi.

Tambah Mazarina, dia kagum melihat kesungguhan adiknya yang dapat belajar dan melakukan pembentangan dalam apa situasi sekali pun.

Bersama keluarga tercinta.

Bersama keluarga tercinta.

Terdahulu, video perkongsiannya ditonton lebih 500,000 pelayar aplikasi TikTok selepas dimuat naik pada 11 Julai lalu.

Rata-rata netizen memuji keluarga Mazarina kerana supportive dan sporting.

"Real meaning of supportive family.

"Best dapat mak dan ayah yang sporting.

"Keluarga sangat sporting... duduklah mamak sambil tunggu.

"Terbaik, kalau aku dah tentu gelabah. Supportive family, its gonna be a memory," ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain