suria

“Apakan daya tangan panas!” - Ramai naik geram tengok hasil kebun corner lot pasangan ini, mengadu tanaman tak menjadi

Syed Azwan menunjukkan hasil dari kebun sayurnya

SEJAK aktiviti pertanian bandar diperkenalkan, ramai yang mengambil peluang memanfaatkan tanah di halaman rumah walaupun hanya sekangkang kera.

Selain dijadikan hobi pada masa lapang, aktiviti tersebut juga merupakan terapi terbaik kepada masyarakat di samping mampu menjana ekonomi.

Seperti kediaman Syed Azwan Syed Omar di Ipoh, Perak ini, landskap rumahnya juga semakin cantik dipenuhi pemandangan hijau dengan pelbagai jenis sayuran sejak 2018.

Bercerita tentangnya, pemuda berusia 33 tahun itu berkata, dia mula berkebun bagi memanfaatkan ruang tanah di sekitar penjuru rumah yang baharu dibeli.

“Asalnya bukan hobi tetapi lepas beli rumah... rasa rugi kalau biar ruang corner tu naik rumput kerana perlu membuat penyelenggaraan berkala.

“Sejak itulah saya mula cuba belajar teknik menanam bagi manfaatkan tanah.

“Sekarang ia sudah menjadi hobi dan banyak luangkan masa di kebun pada waktu petang atau cuti hujung minggu,” ceritanya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya lagi, tanaman pertama yang diusahakan bersama isteri tercinta adalah kangkung, sawi dan beberapa jenis pokok berbuah.

Tambahnya tanaman jenis sayuran dan buah dipilih berbanding bunga adalah kerana ia yang dapat digunakan selain mendatangkan hasil.

Antara hasil yang diperoleh dari kebun Syed Azwan.

Antara hasil yang diperoleh dari kebun Syed Azwan.

Pada masa sama katanya, konsep edible garden yang dilakukan itu amat sesuai dengan landskap rumahnya yang terletak di lot tepi.

“Bagi mencantikkan kawasan, dianggarkan sekitar RM5,000 dibelanjakan. Ia adalah anggaran secara runcit kerana kebun yang dibina sedikit demi sedikit dan itu dilakukan sepenuhnya oleh saya dan isteri.

“Modal tersebut juga diperoleh daripada hasil kemenangan dalam pertandingan kebun yang disertai,” ujarnya yang bekerja sebagai penolong juru ukur bahan.

Menurut anak jati Perak itu lagi, lebihan hasil tanaman akan dijual pada rakan-rakannya di pejabat.

"Rezeki rakan-rakan. Sayur yang saya jual adalah bebas racun dan dituai semasa masih muda. Ia membuatkan rasanya masih manis dan segar," luahnya.

Antara pengunjung yang datang ke kebun.

Antara pengunjung yang datang ke kebun.

Selain aktif memuatnaik video aktiviti berkebun di media sosial, Syed Azwan turut berkongsikan beberapa tip menanam sayur-sayuran.

Ia susulan permintaan warganet selepas melihat hasil tanaman kelihatan segar dan cantik.

Berkata mengenainya, dia memberitahu antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah pencahayaan dan nutrien pada tanah.

Rasa rugi kalau biar ruang corner tu naik rumput kerana perlu buat penyelenggaraan berkala.

SYED AZWAN

“Kebun saya di kawasan terbuka, jadi pokok-pokok memang dapat cahaya secara langsung. Bagi mereka yang menanam di kawasan tertutup seperti apartment atau flat, perlu pastikan pokok menerima cahaya sekurang-kurangnya empat jam sehari.

“Untuk nutrien tanah pula, kebiasaannya ia memang sudah sedia ada di dalam tanah tetapi jika pokok masih kekurangan nutrien seperti kelihatan bantut atau daun kekuningan, anda boleh menambah baja sama jenis organik mahupun sintetik atau membuat rawatan semula pada tanah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tekak teringin makan bunga lili air, wanita keturunan Vietnam sanggup redah Tasik Taiping... Netizen pula minta ‘spill’ cara masak

ARTIKEL BERKAITAN: Mari, mari sayur free... nak beli pun boleh! Tanah terbiar jadi kebun sayur selepas penduduk taman perumahan rancak bercucuk tanam

“Kaedah hidroponik juga boleh digunakan jika kawasan penempatan tidak mempunyai tanah sebagai medium utama.

“Pada masa sama, kena pastikan tanaman mendapat air yang secukupnya daripada peringkat semaian sehingga pembesaran. Siraman perlu dilakukan dua kali sehari dan jangan menyiram sewaktu panas terik... bagaimanapun elak daripada menyiram berlebihan,” jelasnya secara terperinci.

Setiap hasil tuaian adalah segar dan cantik.

Setiap hasil tuaian adalah segar dan cantik.

Terdahulu video perkongsiannya itu ditonton lebih sejuta pelayar selepas dimuat naik di TikTok pada 17 Julai lalu.

Rata-rata netizen memuji hasil tanaman Syed Azwan yang segar, gebu dan cantik.

“Alhamdulillah...suka tengok hasilnya. Pandainya cantik hasil tanaman.

"Apakan daya tangan ‘panas’, tengok orang tanam geram, awal lagi dah mati.

“Saya baru nak belajar menanam sayur-sayur, biasa komposisi tanah yang nak guna tu macam mana?

“Seronok tengok tanaman, semua menjadi... ni kalau sebelah rumah, hari-hari minta beli seikat,” ujar beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain