suria

Duit jual rumah pusaka menanti, suami ikut telunjuk bapa cerai isteri cara tergempar! Mak guard kini huni bilik sewa dengan anak

Bekas isteri dihalau keluar sejurus talak dilafazkan.

AKIBAT suami terlampau patuh pada kata-kata bapa, perkahwinan wanita ini yang dibina selama tujuh tahun berakhir sekelip mata.

Malah, ia dikatakan mempunyai kaitan dengan duit jualan rumah pusaka yang bakal diperoleh hujung bulan ini.

Lebih menyayat hati apabila dia yang dihalau keluar sejurus talak dilafazkan kira-kira pukul 3 petang, pada 20 Julai lalu mendakwa tidak dibenarkan memeluk anak perempuannya yang baru berusia empat tahun.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku itu, Wana (bukan nama sebenar) berkata segalanya berpunca daripada janji suami yang ingin membelikannya kereta Perodua Viva terpakai untuk pergi bekerja, serta mahu melunaskan baki hutang perkahwinan berjumlah RM8,000, jika wang hasil jualan rumah pusaka diperoleh.

“Perkara itu diceritakan kepada ayahnya dan bermula dari situlah rumah tangga kami mula bergolak. Sebelum ini, adik ipar perempuan saya bercerai kerana perkara yang sama... dia mahu belikan motosikal untuk suaminya (kini bekas suami), tak sangka saya juga akan alaminya.

Antara barang keperluan yang dibawa bersama. - Gambar hiasan

Antara barang keperluan yang dibawa bersama. - Gambar hiasan

“Sehari sebelum bercerai, bekas suami tak pulang ke rumah dan tiba-tiba malam tu saya terima panggilan yang menyuruh saya meminta cuti.

“Memang terkejut dan saya bertanya kenapa... dia hanya bagi jawapan ringkas ‘nak pergi mahkamah’. Jadi saya menuruti sahaja kerana sebelum ini pernah berbincang tentang hal penceraian,” ceritanya ketika dihubungi mStar.

Bagaimanapun, pihak mahkamah tidak membenarkannya dan meminta pasangan ini membuat penangguhan sehingga si isteri datang haid kerana mereka ada melakukan hubungan intim dalam tempoh terdekat.

Ujarnya, mungkin disebabkan tidak sabar untuk bercerai, bekas suaminya nekad untuk melafazkan talak di luar mahkamah iaitu di rumah dengan bersaksikan bapanya.

“Tiba-tiba dalam kereta dia suruh saya kemas barang sebab nak lafaz cerai luar mahkamah. Jam 3 petang, kami bercerai dan dia terus halau saya keluar rumah walaupun saya merayu... saya minta tempoh sebab kawan sekerja boleh datang ambil jam 5 petang.

“Dia juga hampir mencampak barang-barang saya keluar rumah pada masa tu, disebabkan tindakannya saya terpaksa meminta rakan untuk datang segera dan menghantar saya ke bilik sewa yang berjaya diperoleh di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Wana kini menyewa di bilik kecil bersama anak perempuannya

Wana kini menyewa di bilik kecil bersama anak perempuannya.

“Semasa keluar tu, bekas suami langsung tak bagi saya peluk atau cium anak perempuan. Dia pegang erat sehingga anak menangis,” ujarnya sebak.

Namun beberapa jam kemudian, Wana menerima panggilan telefon yang meminta dia berkongsikan lokasi tempat tinggal.

“Dalam jam 5, dia hubungi saya sebab nak hantar anak kerana tidak berhenti menangis sejak saya keluar dari rumah.

“Dia hantar anak dengan sepasang baju tidur sahaja dan sebungkus minuman malt coklat yang baru dibeli. Dengan situasi tersebut, sukar untuk saya uruskan anak kerana keperluannya tiada dan saya hanya menyewa bilik yang tidak mempunyai kelengkapan lain.

“Disebabkan itu, saya pergi semula ke rumah bekas suami keesokan harinya bagi mengambil barang-barang anak. Saya bersyukur kerana ibu saudara saya sanggup teman,” luahnya yang turut terkejut melihat bekas suami masih tidur dan tidak bekerja.

Mengakui pernah menghubungi bekas suami untuk berbincang perihal anak, ujarnya, setiap mesej dan panggilan telefon yang dibuat hanya dibiarkan sepi.

Tiba-tiba dalam kereta dia suruh saya kemas barang sebab nak lafaz cerai luar mahkamah. Jam 3 petang, kami bercerai dan dia terus halau saya keluar rumah walaupun saya merayu.

WANA

Bercerita lanjut, wanita berusia 32 tahun itu menyatakan bahawa dia pernah bersuara tentang tanggungjawab dan hubungan perkahwinan mereka beberapa kali.

Ia berikutan, bekas suaminya itu tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami kerana tidak memberi nafkah, malahan setiap perbelanjaan rumah ditanggung sendiri selain terpaksa menanggung kos utiliti rumah mentua.

“Saya pernah cakap kat bekas suami ‘kalau tak bagi nafkah, lebih baik lepaskan saya sebab nanti awak berdosa’. Tapi saya tak sangka dia akan membuat keputusan drastik pada Rabu lepas.

“Lagi pula, ayahnya juga dah ‘bitter’ dengan saya kerana tidak membayar bil utiliti selepas dapat gaji bulan lepas. Dia tanya kenapa tak bayar dan saya jawab ‘kena bayar ke sebab tu bukan tanggungjawab saya’..

ARTIKEL BERKAITAN: Dara tak terusik, isteri hilang arah dapat tahu suami main cinta dengan lelaki... Kalau gay kenapa kahwin?

ARTIKEL BERKAITAN: Dibuli sejak kecil, perkahwinan musnah! Wanita hanya sedar hidap tourette ketika usia 24 tahun selepas bakal suami sedar pergerakan pelik

“Sedangkan sebelum ini memang saya tanggung perbelanjaan rumah termasuk makan minum sebab bekas suami tidak mempunyai kerja tetap... sekarang dia cakap nak buat Grab tapi sepanjang masa berada di rumah sahaja,” jelasnya lagi.

Selain itu dakwanya, bekas bapa mentuanya juga pernah ‘terasa hati’ hanya kerana dia ingin mendapatkan rawatan di klinik selepas bengkak di kaki tidak surut.

Wana mengakui penceraian berlaku disebabkan hasutan bekas ayah mentuanya

Wana mengakui penceraian berlaku disebabkan hasutan bekas ayah mentuanya.

“Saya pindah tinggal dengan keluarga mentua sebelum puasa sebab kaki bengkak. Ayah dia cakap saya terkena buatan orang dan dia ubati saya dengan daun-daun kayu.

“Tapi selepas beberapa hari, kaki saya semakin bengkak. Jadi saya minta izin untuk ke klinik dan apabila tiba di sana, darah saya naik sehingga bacaan 220Hg... saya terus dikejarkan ke hospital,” katanya yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Tambahnya, sepanjang tempoh sakit tersebut, dia tetap melakukan kerja rumah seperti memasak malah bekas suami tidak dibenarkan membantu walaupun untuk memandikan anak sendiri.

Dalam pada itu, Wana berkata, walaupun sedih dengan keadaan kehidupan yang dilakuinya sekarang, namun dia perlu kuat demi membesarkan anak.

Malah dia tidak berasa kesal walaupun bekas suami serta keluarga mentua tidak menghubunginya bagi bertanyakan khabar anak.

Terdahulu video perkongsiannya di aplikasi TikTok ditonton lebih 374,200 pelayar dan rata-ratanya netizen memberikan kata semangat kepadanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain