suria

Hari ni salah parkir, esok 2 plastik penuh sampah pakej ulat ‘dihadiahkan’ dalam kereta! Pelaku sikit pun tak hirau walau ada Yasin, surah lain

Kereta milik Syukri dipenuhi sampah sarap yang diletakkan oleh salah seorang penduduk di kondominium tempat tinggalnya.

'APALAH nasib dapat jiran busuk hati buat macam ni dekat kereta orang'.

Begitulah luahan ditulis pada video yang dimuat naik oleh Muhammad Syukri Hassan, 24, menunjukkan keretanya diletakkan dengan dua plastik sampah sarap didakwa dilakukan oleh salah seorang penghuni di kondominium tempat tinggalmya.

Bercerita kepada mStar, Syukri memperincikan kisah di sebalik kejadian dalam rakaman itu yang disedari ketika tayar keretanya dikunci oleh pihak pengurusan gara-gara parkir di tempat salah.

“Saya dan isteri baru balik dari bercuti di Langkawi. Kami sampai pada 16 Julai, jam 8.30 malam.

“Perjalanan balik tu isteri yang pandu kereta. Sampai di rumah kami terus cari parkir sebab sudah terlalu penat. Selalunya tak ramai pun dekat bawah hari hujung minggu dekat visitor parking.

“Hari esoknya saya dapat tahu kereta kena clamped sebab salah parkir. Saya tak tahu yang dekat tingkat LG (lower ground) tempat parking visitor yang kami letak kereta tu rupa-rupanya bertuan," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Jiran dari neraka’! Wanita berang luar rumah jadi ‘tapak pelupusan sampah’ sampai terburai, berulat... Tegur tak jalan, terus kasi ‘notis’

ARTIKEL BERKAITAN: Semak diri kita! Anda mungkin tergolong ‘jiran dari neraka’ jika ada 5 sikap ini

Menurut Syukri yang tinggal di sebuah kondominium di Ampang, loceng rumahnya dibunyikan oleh salah seorang pengawal keselamatan untuk memaklumkan mengenai keretanya yang sudah dikunci tayar.

Dia yang menjual baju bundle kemudiannya turun untuk membayar denda kerana mahu menggunakan kereta bagi menghantar isteri pergi ke tempat kerja pada jam 4 petang.

“Saya buat bayaran melalui transfer sebab tak ada wang tunai dalam tangan lepas balik bercuti tu. Sementara tunggu kereta siap proses buka clamp tu, saya nak panaskan enjin... maklumlah kereta lama. Tapi saya buka pintu belah belakang dulu sebab nak letak barang niaga bundle.

Syukri menggunakan kereta penginggalan arwah bapanya.

“Saya pelik kenapa ada bau busuk sebab memang tak ada sampah atau makanan tertinggal dalam kereta sebelum ni. Bila saya buka pula pintu kereta bahagian depan memang terkejut tengok tempat duduk penuh dengan longgokan dua plastik sampah besar siap ada ulat.

"Saya teringat dalam kereta tu ada surah Yasin dan ayat-ayat al-Quran jadi saya terlebih marah seperti yang dapat dilihat dalam video tu. Saya akui memang silap saya marah macam tu sebab tindakan saya memang luar jangkaan lepas tengok keadaan kereta," katanya.

Kata Syukri, dia juga terkilan dengan pekerja-pekerja keselamatan yang bertugas kerana menganggap sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan kereta penghuni kondominium itu berada dalam keadaan selamat.

Saya teringat dalam kereta tu ada surah Yasin dan ayat-ayat al-Quran jadi saya terlebih marah seperti ramai dapat tengok dalam video tu.

SYUKRI

Namun sebaliknya berlaku apabila kereta Honda Civic FD berwarna merah miliknya boleh dicerobohi orang lain, malah dilonggokkan pula dengan sampah sarap.

Ujar Syukri, apa yang membuatkan dia berasa lebih sedih apabila kereta tersebut merupakan peninggalan arwah bapanya yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu akibat kanser otak.

Bercerita lanjut, apabila keadaan menjadi sedikit kecoh, pekerja bahagian pengurusan pergi memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mendapatkan kesahihan individu yang melakukan perbuatan itu dan sememangnya ia dilakukan oleh salah seorang penghuni kondominium tersebut.

Syukri (kiri) bersama arwah bapa, ibu dan isteri dalam majlis bersandingnya pada 20 Mei lalu.

Syukri yang kecewa dengan sikap si pelaku mengambil tindakan dengan membuat laporan polis.

“Setelah buat laporan polis, saya mahu berjumpa secara berhadapan dengan individu yang buang sampah dalam kereta saya. Saya cuba nak dapatkan penjelasan kenapa dia buat macam tu secara baik dan berbudi bahasa.

“Tapi lepas tunggu dia di lobby, pelaku turun dan terus berlalu pergi macam tu saja tanpa berjumpa saya.

Management ada beritahu kalau petak parkir tu bertuan, biasanya ada wheel stopper tapi tempat saya letak kereta tu tak ada... sebab tu saya anggap ia visitor parking," katanya sambil tidak menolak wujudnya kekeliruan dan salah faham dalam kes ini.

Lelaki ini terkilan dengan sikap dan tindakan individu yang meletakkan sampah dalam keretanya.

Jelasnya, tujuan dia membuat laporan dan berkongsi video adalah sebagai peringatan bahawa sebagai manusia kita tidak boleh bertindak melulu atau menghukum seseorang sewenang-wenangnya.

Syukri menegaskan, setiap individu mempunyai hak masing-masing, justeru perkara ini sepatutnya tidak boleh terjadi kepadanya atau mana-mana individu lain.

"Saya rasa keselamatan saya dan isteri tak terjamin dekat sini. Pintu kereta saya boleh dibuka sesuka hati tanpa kebenaran dan sampah diletakkan.

"Tak mustahil dia boleh buat perkara sama dekat jiran lain. Jadi saya ambil inisiatif untuk buat report polis demi keselamatan dan kesejahteraan saya supaya perkara ni tidak berulang," jelas Syukri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain