suria

Nenek makan nasi lauk garam, kemudian teguk Starbucks... netizen terus ‘cancel kesian’! Cucu dedah ‘itu memang makanan Pah’

Video nenek kongsi 'kesusahan' hidupnya menjadi tular di TikTok.

'KADANG-kadang hujung bulan nenek tak ada duit.'

Kapsyen tersebut ditulis pada video menunjukkan seorang warga emas yang makan nasi berlaukkan garam dan adegan itu ternyata mengundang sebak netizen.

Namun setelah nenek berkenaan mengangkat air minuman jenama mahal, Starbucks yang diletakkan di sebelahnya ramai yang berasa tertipu dengan rakaman tersebut kerana menyangka warga emas itu benar-benar terpaksa ikat perut ketika hujung bulan.

Menurut cucunya, Nadia, 27, rakaman tersebut sememangnya dibuat bertujuan untuk gurauan di TikTok dan ia adalah ideanya bersama tiga adik beradik lain, yang mana nenek mereka, Rafiah Piee, 86, menjadi 'pelakon'.

Bercerita kepada mStar, Nadia berkata rakaman dibuat pada malam minggu sempena hari perkahwinannya yang berlangsung pada 23 Julai lalu.

“Kami empat beradik yang rancang nak buat video ni. Rasanya adik saya, Azim ada tertengok satu trend dekat TikTok jadi dia ajak buat dengan Pah (panggilan nenek).

ARTIKEL BERKAITAN: Sedih, marah, kelakar! Sehari lebih 10 kali ajak, anak-anak terpaksa pura-pura bawa bapa nyanyuk 'balik kampung'... apa yang berlaku selepas itu memang puas hati

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda menangis di sebalik kostum Mickey Mouse lihat sahabat terpisah 25 tahun depan mata - “Nenek Raja bantai kami dengan getah paip”

“Idea makan nasi, garam dicampurkan air suam tu memang makanan nenek waktu kecil. Katanya sedap makan macam tu.

“Nenek suka bercerita pada kami cucu-cucunya kisah hidup susah zaman Jepun makan ubi kayu. Nasi, garam dan air ni nenek pernah ajar masa kami masih kanak-kanak. Walaupun ada makanan lain tapi makan macam tu pun Pah kata sebenarnya dah cukup dan mengenyangkan,” ujarnya.

Nadia yang merupakan anak kedua dari empat adik beradik berkata, ini bukanlah kali pertama neneknya bersetuju untuk terlibat dalam rakaman video lucu.

Majlis sanding Nadia pada Sabtu.

Malah, neneknya juga sangat gembira dan teruja apabila diajak oleh cucu-cucunya membantu memberi sumbangan untuk menghasilkan kandungan di TikTok.

“Sebenarnya nenek kalau cucu-cucunya minta terlibat dalam video macam tu, dia suka je nak buat. Kalau tengok profil TikTok saya sebelum ni ada dua post yang saya pin melibatkan nenek saya... viral juga.

Nenek hanya mengikut arahan cucu-cucunya untuk menghasilkan video TikTok.

“Bila kami berkumpul adik-beradik, memang akan buat video. Nenek pun tidak menolak, malahan dia suka cucu-cucu menyakat dan bergurau dengan dia.

“Part guna beras basmati dan garam tu, kami guna saja barang dan makanan yang ada kat rumah. Tak ada perli siapa-siapa, sebab kami sekadar buat video suka-suka,” jelas Nadia yang menetap di Cyberjaya.

Berbeza dengan orang zaman dahulu yang kurang gemar makan snek atau makanan ringan, berbeza pula dengan neneknya yang memang menggemari makanan tersebut.

Apa yang cucu dia beli, nenek memang akan makan atau minum. Dia tak macam orang tua yang lain, mi maggi, air jenama Starbucks, piza... semua tu dia makan.

NADIA

Bagaimanapun menurut Nadia, neneknya tetap makan makanan menyihatkan yang membuatkan dirinya masih kuat dan sihat pada usianya yang hampir mencecah 90 tahun.

Selain air Starbucks, gelang emas di pergelangan tangan nenek turut menjadi perhatian warga maya setelah video itu menjadi tular.

“Apa yang cucu dia beli, nenek memang akan makan atau minum. Dia tak macam orang tua lain, mi maggi, air jenama Starbucks, piza... semua tu dia makan. Dia suka juga minum kopi Che Nah. Setiap kali kami ke kedai, dia akan kirim untuk beli kopi tersebut.

Nenek sudah berusia 86 tahun.

“Rahsia kesihatan fizikal nenek, walaupun minum dan makan fast food nenek amalkan makan ulam-ulaman dan sayuran.

“Walaupun sekarang nenek duduk dengan kami sejak atuk dah lama tak ada, dia masih aktif buat kerja-kerja rumah walaupun kami larang tapi dia tak boleh duduk diam.

Komen netizen di TikTok.

“Pasal gelang emas tu... memang dia suka pakai. Selalu juga dia tanya harga emas semasa berapa ringgit. Dia akan kumpul duit yang diberi anak cucu dan akan mengajak saya membeli emas,” jelas Nadia.

Untuk rekod, video yang dimuat naik oleh Nadia telah meraih lebih 5.6 juta jumlah tontonan di TikTok.

Rata-rata netizen terhibur dengan keletah yang ditunjukkan oleh warga emas itu yang berjaya mencuit hati mereka.

"Tak jadi aku nak sedih.

"Hampir nak contact Bersamamu tadi. Nasib tengok sampai habis.

"Baru mengalir air mata, terus sedut balik naik.

"Nenek humble, pakai gelang emas, minum Starbucks tapi santai makan nasi putih dengan garam," komen netizen di TikTok.

Nadia bersama neneknya.

“Alhamdulillah netizen sangat supportive mendoakan nenek sentiasa sihat dan panjang umur dan sentiasa sihat.

“Malah mereka mahu melihat lagi video-video dari nenek dan meminta saya buat lebih banyak lagi lepas ni,” ujar Nad menutupi kisah nenek Pah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain