suria

Minta doa, bukan duit! Ibu terkejut scammer guna gambar Ainul Mardhiah buat tabung derma kilat, tergamak ambil kesempatan

Kiri taktik penipuan yang memohon sumbangan kilat untuk Ainul. Kanan Ainiul dirawat di PICU.

KETIKA keadaan si cilik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin masih tenat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Di media sosial tular mengenai tabung derma kilat yang didakwa mahu mendapatkan sumbangan orang ramai untuk diberikan kepada kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor itu.

Hantaran tersebut turut disertakan nombor akaun bank yang didakwa milik, Othman Zakaria sebagai bapa Ainul Mardhiah, sedangkan bapa kandung kanak-kanak itu adalah Ahmad Saifiuddin Ahmad Razak.

Sehubungan itu, ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai derma kilat berkenaan.

"Tolong jangan percaya! Tolong jangan percaya! Wahai scammer tolonglah jangan gunakan kesempatan ini untuk kaut duit orang.

"Saya sebagai mak dia tak ada tulis dalam posting saya untuk minta sumbangan. Saya cuma minta doa orang ramai sahaja," tulis Nurul Erwani menerusi hantaran di laman sosialnya, pada petang Selasa.

scammer tabung ainul 1

Perkongsian Nurul Erwani di laman sosial.

Menurut Nurul Erwani, dia akan mengambil tindakan lanjut sekiranya masih terdapat posting yang meminta sumbangan untuk anaknya.

"Minta semua alert dengan perkara ni. Kalau ada dan saya jumpa, saya akan ambil tindakan lanjut. Terima kasih," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuman sudah merebak! Ainul Mardhiah tenat di PICU, keluarga mohon doa rakyat Malaysia

Jelasnya, taktik penipuan tersebut menjadi antara sebab mengapa dia dan suami tidak mendedahkan gambar Ainul Mardhiah yang sedang dirawat di PICU.

"Sebab itulah tak expose gambar Ainul buat masa sekarang. Nanti yang macam ni lah yang berbunyi.

"Yang mana ada jumpa scammer guna gambar Ainul untuk kaut duit, tolong kongsikan pada saya. Saya akan terus mewar-warkan pada akaun (laman sosial) saya untuk tak nak orang ramai tertipu dengan mereka.

Saya sebagai mak dia tak minta sumbangan, cuma minta doa orang ramai sahaja.

NURUL ERWANI ZAIDI

"Melampau betul mereka ni. Buat kerja dan ambil kesempatan atas orang lain. Orang Islam kan, cuba cari rezeki yang halal. Geram ni!" kata Nurul Erwani.

Dalam pada itu, Nurul Erwani pada Selasa berkongsi perkembangan terkini mengenai Ainul Mardhiah yang masih kritikal.

"Ainul lebih baik sedikit dari semalam. Tapi masih dalam keadaan kritikal. Doktor dan team masih perlu berjaga-jaga dan bersedia jika serangan bertambah buruk.

"Sekarang Ainul masih direhatkan, masih perlu bantuan ventilator (alat bantuan pernafasan) dan dia masih dirawat di unit rawatan rapi.

"Tadi nampak Ainul buka mata sekejap. Ainul ni kuat betul. Dalam keadaan separa sedar, dia masih ada tenaga melawan.

"Ainul memang seorang fighter. Semangat juangnya tinggi. Walau apapun yang berlaku, semua dengan izinNya," katanya pada petang Selasa yang memohon orang ramai mendoakan agar anaknya sembuh dari jangkitan tanpa sebarang komplikasi.

scammer tabung ainul 4

Nurul Erwani kesal dengan tindakan individu yang mengambil kesempatan terhadap anaknya.

Pada Isnin, Nurul Erwani memaklumkan Ainul Mardhiah sedang dirawat di PICU di sebuah hospital.

Ainul Mardhiah mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Kanak-kanak itu mula muntah dan cirit-birit dalam masa sehari dan kelihatan tidak bermaya sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kisah Ainul Mardhiah mendapat perhatian ramai termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom (UK), bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya ketika kanak-kanak itu berusia sembilan bulan pada Jun 2019.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain