HANYA tangisan teresak-esak yang kedengaran di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Rasa hiba dan sebak mengiringi kepulangan salah seorang jemaah haji selepas lebih sebulan berada di Tanah Suci. Bagi Norzaini Akasah, 57, dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya kerana anak bongsunya Allahyarham Muhammad Azizul Haiqal Zulkefli pergi menghadap Ilahi akibat kemalangan dua hari selepas berangkat ke Makkah. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Sungguhpun reda dengan takdir Allah, kehilangan seorang daripada lima anak ketika dia berada jauh di Makkah benar-benar menyakitkan. "Tapi saya fikir hanya satu, mesti ada hikmah kenapa Allah nak hantar saya dulu pergi menunaikan haji dahulu sebelum ‘menjemput’ anak pergi (meninggal dunia). ARTIKEL BERKAITAN: Laungan azan terakhir... Anak dijemput Ilahi sehari selepas ibu tiba di Tanah Suci, langit terang ketika kebumi jenazah 2 pagi "Segalanya berjalan lancar di Tanah Suci, tapi masa nak balik saya fikir macam mana sekarang, seorang anak dah tak ada. "Perkara pertama saya buat selepas solat sekembalinya ke tanah air adalah menziarahi kuburnya," katanya kepada mStar. Pelukan terakhir antara ibu dan anak. Menahan sebak, Norzaini menyifatkan arwah yang berusia 19 tahun dan lebih mesra dengan panggilan Adik atau Haiqal sebagai anak yang sangat mendengar kata. "Dia murah dengan senyuman, dia tak pernah tinggi suara dan terlalu menjaga tutur kata. Dia sangat menjaga lidah, tak nak menyakiti hati sesiapa. "Ada yang tanya kenapa dia lebih suka berdiam, dia kata hanya cakap perkara yang perlu. Dia begitu menjaga akhlaknya," ujarnya yang berasal dari Felda Bukit Batu di Kulai, Johor. Norzaini (kiri) bersama rakan-rakan jemaah di hadapan Kaabah. Menurut wanita yang pulang dari Tanah Suci pada 2 Ogos lalu, arwah anaknya dididik dengan sifat rajin ke surau sejak kecil, termasuk melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. "Daripada kecil lagi Allah dah sayangkan dia. Apabila balik rumah daripada sekolah rendah, dia tak ada rakan-rakan sebaya. Kawan-kawannya dalam kalangan pakcik-pakcik yang sering ke surau. "Setiap kali dia minta izin untuk pergi ke surau, saya rasa bahagia sangat sebab benda yang dia minta tu elok. Bila sambung ke sekolah menengah, dia sendiri yang sukarela mahu belajar di sekolah tahfiz. "Dia habiskan masa remajanya dengan al-Quran dan mengaji," katanya yang bergelar ibu tunggal sejak arwah anaknya itu berusia setahun. Ramai hadir menguruskan pengebumian arwah. Berkongsi detik-detik sebelum keberangkatannya ke Tanah Suci, Norzaini yang menetap di Melaka tidak menyangka ia merupakan laungan azan anaknya yang terakhir didengarnya. "Aturan Allah sangat baik. Sebelum saya berlepas ke Tanah Suci, saya sekeluarga bermalam dahulu di sebuah hotel di Sepang. Arwah tidur di sebelah saya malam terakhir tu. Saya reda walaupun kadang-kadang rindu... rindu yang tiada penghujungnya. NORZAINI AKASAH "Dan sebelum saya berangkat esoknya, dia peluk saya dan berbisik beritahu 'adik sayang ibu'. Dan mesej WhatsApp yang dihantarnya kepada saya selepas tiba di Makkah, katanya 'adik rindu ibu'," katanya dalam suara yang tersekat-sekat. Norzaini yang merupakan kerani di sebuah bank akui sebak setibanya di Raudhah yang terletak di kawasan Masjid Nabawi yang turut menempatkan makam Rasulullah SAW. Allahyarham Muhammad Azizul Haiqal Zulkefli. "Dia berpesan apabila sampai Raudhah, ke makam Rasulullah, sampaikan salam untuknya. Di Raudhah, di depan Multazam saya berdoa agar Allah SWT kirim bidadari syurga jaga Haiqal. "Apabila dia pergi, terlalu ramai yang menyayanginya dan mengiringi hingga ke pusara. "Saya reda walaupun kadang-kadang rindu... rindu yang tiada penghujungnya," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI