RAMAI rakyat Kelantan memilih untuk merantau ke negeri lain demi mencari pengalaman baharu dan mengubah nasib hidup mereka. Berbeza dengan pemuda berdarah kacukan India ini, dia ada alasan tersendiri untuk berhijrah ke Selangor dan seboleh-bolehnya enggan kembali menetap di negeri asalnya. Menurut Mohd Faisal, ibunya merupakan wanita berketurunan Pakistan asal Kelantan manakala bapanya pula seorang lelaki India dari Singapura yang berpindah ke negeri serambi Makkah itu. Mohd Faisal berkata bapanya berketurunan India manakala ibunya merupakan wanita Kelantan berketurunan Pakistan. Jelas Mohd Faisal yang kini menjadi warga Shah Alam, budaya dan persekitaran negeri di Kelantan menjadi faktor penolak untuk dia berhijrah. "Saya terpaksa tinggalkan Kelantan kerana saya tidak boleh hidup dengan budaya dan persekitaran begitu. Saya mahukan satu kehidupan yang lebih baik untuk diri dan anak-anak. "Budaya dan persekitaran apa yang saya maksudkan? Di Kelantan budaya menggelar (gelaran mengejek) agak kuat. Saya sering dipanggil anak ke****, anak India, dan macam-macam lagi. "Baik di kawasan tempat tinggal atau di sekolah. Ada ketika saya malas pergi sekolah. Saya dibuli teruk. Saya tiga beradik masa itu. Fazira dan arwah Faziani pun ada juga orang menggelar kepada mereka. "Tetapi disebabkan mereka perempuan, mudah menangis dan orang tidak berani lebih-lebih. Saya pula melawan. Pernah saya dipukul berkumpulan kerana saya melawan orang yang menggelar kepada saya," imbasnya. ARTIKEL BERKAITAN: Persoal kesetiaan lelaki Kelantan, bekas pramugari tak kisah teruk dihentam - “Saya memang berani, hati kering” ARTIKEL BERKAITAN: Mek Kelantan derita dapat suami dayus, tak hirau isteri lahirkan zuriat sendiri... Macam pengemis minta azankan anak Menurut Mohd Faisal lagi, guru-guru di sekolah juga didakwa seolah-olah membiarkan sahaja perlakuan buli itu berleluasa sehingga ia memberi kesan terhadap mentalnya. Selain tertekan dengan isu perkauman, dia juga melalui kehidupan berliku apabila dibesarkan dalam keadaan serba daif kerana kemiskinan keluarganya. "Bapa saya pula jenis bapa yang suka ke sekolah. Beliau suka bertanya cikgu tentang perangai saya di sekolah. Setiap kali bapa saya ke sekolah, selepas beliau pulang, seminggu saya akan alami tekanan di sekolah kerana orang menggelar semakin kuat kepada saya. "Cikgu pula pada waktu itu tidak menyebelahi kita. Seolah-olah membiarkan. Ada masa cikgu pula tukang menambah perisa. Membuatkan murid-murid lain semakin galak. Saya betul-betul rasa terhina waktu itu. "Saya juga anak orang miskin. Seluar sekolah saya bertampal-tampal. Kasut sekolah saya buruk. Pernah sekali saya tidak mampu untuk beli kasut sekolah, ada kasut kain warna hijau orang berikan. Saya rendam peluntur bagi tanggal warna hijau. Ada ahli keluarga minta bina rumah di Kelantan... saya katakan tidak. MOHD FAISAL "Kemudian saya sapu kapur supaya putih. Bayang-bayang warna hijau tetap nampak sikit-sikit. Ada pula pelajar mengadu kepada cikgu. Saya kena tindakan disiplin. Cikgu tidak tanya apa masalah kita," dakwa Mohd Faisal. Ceritanya lagi, dia akhirnya berkahwin pada tahun 1996 dan memilih untuk berhijrah ke Lembah Klang kerana tidak mahu terus diperlekehkan oleh sebilangan anggota masyarakat di sana. Biarpun ada ahli keluarga yang meminta agar dia kembali menetap di Kelantan, Mohd Faisal tetap bertegas dengan pendirian untuk kekal bermastautin di negeri lain demi masa depan anaknya. "Diringkaskan cerita, saya tidak boleh hidup di Kelantan. Saya tidak mahu terus dihina dan dibuli. Habis sekolah saya hendak berhijrah ke Lembah Klang. Bapa saya tidak benarkan. Beliau bimbang. Puas saya merayu tetapi tetap dengan keputusannya. Kata Mohd Faisal, kenangan dibuli sewaktu zaman kecil masih terpahat di ingatan sehingga ke hari ini. (Gambar Hiasan) "Kemudian saya bernikah pada 1996. Selepas beberapa bulan nikah saya dibenarkan berhijrah. Selepas itu saya bertekad, penghijarahan aku adalah satu penghijarahan yang kekal. Saya tidak akan balik lagi tinggal di Kelantan. Malah saya sangat jarang pulang ke Kelantan. "Ada keluarga pening melihat saya. Cuma sejak akhir-akhir ini saya kerap berada di Kelantan kerana urusan kerja dan keadaan kesihatan ibu saya yang kurang baik selepas adik saya meninggal dunia. Ada keluarga meminta saya membina rumah di Kelantan. Saya kata tidak. Saya kekal di Shah Alam. "Saya rancang perkara ini 20 tahun lepas. Saya mahu merancang masa depan yang lebih baik untuk anak-anak. Mereka semua dilahirkan di Hospital Klang, sekolah di Shah Alam. Membesar di sini. "Saya mahu anak-anak saya berkawan dan bergaul dengan semua orang tidak kira Melayu, India, Cina, Kadazan, Dusun dan lain-lain dan hendaklah menghormati mereka semua," jelasnya lagi. Menurut Mohd Faisal, dia gembira dengan keputusan nekadanya suatu masa lalu apabila kehidupannya dengan anak-anak dilihat lebih baik pada hari ini. Mohd Faisal yang kini menetap di Selangor mahu anak-anaknya bergaul dengan semua kaum yang ada. (Gambar Hiasan) "Saya mahu anak-anak hidup dalam persekitaran yang lebih sihat dan baik. Cukuplah, fobia saya di zaman dulu terbawa-bawa sampai ke hari ini. Tindakan saya untuk keluar dari Kelantan, dan kekal di Shah Alam ianya memberi kehidupan yang lebih berkualiti kepada saya dan anak-anak saya. "Keadaaan di Kelantan sekarang semakin berubah. Budaya yang dulu semakin ditinggalkan. Sekarang ramai orang yang berilmu. Sistem pendidikan juga semakin baik. "Cuma fobia yang saya alami dulu telah tertanam dalam diri dan sukar untuk dihakis. Membuatkan saya merasa perit," ujarnya. Tambah Mohd Faisal lagi, setiap kenangan duka sewaktu zaman kecil masih terpahat di ingatan namun dia melihat semua pengalaman itu sebagai satu pembakar semangat buatnya. "Sampai hari ini saya masih boleh nampak dalam fikiran dengan jelas wajah-wajah orang yang suka menggelar dan membuli saya dulu. Antara komen netizen di Facebook. "Daripada sudut positif pula, sebenarnya apa yang terjadi ini membuatkan saya kuat, bersemangat dan membuatkan saya tercabar untuk jadi lebih baik. Boleh pujuk hati untuk berkata begitu, tapi hakikatnya, tetap tidak boleh lupa juga. "Saya menulis ini berdasarkan pengalaman peribadi apa yang saya alami dan kenapa saya berhijrah. Setiap orang berbeza pengalaman dan pendapat. Jika ada tersilap kata, tersalah sebut, mohon maafkan saya," ujarnya yang dilahirkan di Hospital Kota Bharu pada 1974. Mohd Faisal berkongsi kisah hidupnya itu sebagai respon kepada satu laporan berita yang memperkatakan topik mengenai penghijrahan rakyat Kelantan ke negeri lain. Posting di laman Facebook Mohd Faisal ternyata menjentik emosi netizen sehingga ia menerima lebih 1,500 komen yang rata-ratanya kagum serta simpati dengan apa yang dilaluinya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI