suria

Si abang peluk erat tak mahu lepas, momen jejak kasih bertemu ibu kandung undang sebak... “Dapat rasa dia lepas rindu”

Video pertemuan tiga kanak-kanak ini dengan ibu kandung mereka meruntun hati netizen.

MOMEN pertemuan semula seorang ibu kandung dengan tiga anak-anaknya yang terpisah sejak dua tahun lalu mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Lebih meruntun jiwa apabila anak lelaki sulung yang kini berusia tujuh tahun kelihatan memeluk erat si ibu seakan melepas rindu yang terpendam.

Menceritakan situasi yang berlaku, Siti Asidah Salbin yang juga ibu angkat kepada kanak-kanak tersebut berkata, dia bersyukur kerana dapat mempertemukan keluarga kecil itu.

Katanya, kejutan tentang 'jejak kasih' itu dibuat selepas ibu kandung kepada anak-anak angkatnya menyatakan hasrat untuk 'meminjam' seketika zuriat sendiri bagi melepaskan rindu.

“Dia ada tanya ‘boleh pinjam anak?’ Saya terkejut dengan pertanyaan seperti itu. Namun saya minta supaya dia tidak bertanya begitu kerana ketiga-tiga anak yang saya jaga adalah milik bersama.

“Bagi menenangkan perasaan dia, saya nyatakan juga yang dia boleh ambil ketiga-tiganya apabila sedang bercuti.

“Saya faham yang dia malu, tapi kami tidak mahu pisahkan hubungan antara ibu dan anak,” ujar wanita berusia 33 tahun kepada mStar.

Asidah juga tidak menghalang andai suatu hari nanti ibu kandung tersebut ingin mengambil dan menjaga semula anak-anak angkatnya itu.

Asidah gembira memiliki anak yang ramai.

Asidah gembira memiliki anak yang ramai.

Namun dia berharap supaya hubungan kekeluargaan yang telah terjalin antara dia dan kanak-kanak terbabit tidak terputus.

“Saya ada cakap pada ibu mereka... ‘anak ini saya jaga dulu, kalau kau sudah mampu nanti kau boleh ambil tapi jangan pisahkan saya dengan mereka sebab saya jaga seperti anak sendiri’.

“Seperti sekarang, dia boleh ambil dan tinggal bersama jika mempunyai cuti ketika pulang ke kampung halaman di Sabah. Lagipun dia bekerja di Kuala Lumpur dan hanya mempunyai masa kira-kira seminggu untuk melepaskan rindu dengan anak-anak,” luahnya.

Tambah Asidah, dia memelihara ketiga-tiga kanak-kanak itu kerana ibu mereka berdepan kesulitan hidup selepas bercerai.

Memulakan kisah bagaimana dia dan suami Mohd Hazwan Abdul Kadir, 36, yang menetap di daerah Kudat, Sabah, Asidah berkata pada mulanya mereka hanya mengambil pasangan kembar perempuan kira-kira dua tahun lalu.

Saya faham yang dia segan, tapi kami tidak mahu masing-masing berjauhan lebih lagi hubungan antara ibu dan anak.

SITI ASIDAH

Pada masa itu, usia kanak-kanak terbabit berusia tiga tahun.

“Kemudian abang mereka yang sulung tu saya dan suami ambil tahun lepas. Kembar tu dulu dijaga oleh nenek manakala abangnya dipelihara oleh pakcik mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu sayang! Bagai menatang minyak yang penuh... ini 7 selebriti dipuji jaga anak angkat dengan baik

ARTIKEL BERKAITAN: Mak tiri pun baik! Risau anak gadis keluar tengok wayang dengan rakan, mummy jadi bodyguard... Siap belanja semua sekali

“Mereka terpisah, jadi kerana ingin satukan mereka saya ambil jaga ketiga-tiganya sekali. Lagipun, semasa ibu mereka video call dengan si abang... ternampak yang abangnya sedih, mungkin kerana berjauhan dengan adik-adik.

“Jadi saya dan suami decide nak jaga semua supaya senang dan mereka pun bergembira dapat duduk bersama-sama,” ujarnya yang mengetahui perihal kanak-kanak tersebut daripada adik iparnya yang juga keluarga kepada wanita terbabit.

Asidah berharap hubungan ibu kandung dan anak angkatnya kekal utuh.

Asidah berharap hubungan ibu kandung dan anak angkatnya kekal utuh.

Pernah memasang impian untuk memiliki anak yang ramai, Asidah bersyukur apabila kehadiran tiga beradik tersebut menyerikan lagi rumah tangganya.

“Saya dan suami hanya ada dua orang anak saja yang berusia 9 dan 7 tahun. Saya pula susah nak mendapatkan zuriat kerana selepas empat tahun perkahwinan, barulah dapat seorang anak.

“Kemudian selepas dua tahun, saya dikurniakan anak kedua. Sebab itu saya mahu jaga anak lain, saya suka anak ramai... tapi tak ada rezeki nak ada anak sendiri yang ramai, oleh itu saya ambil anak angkat,” ceritanya yang sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan rezekinya sekeluarga bertambah sejak mereka memelihara tiga beradik tersebut.

Merasai perbezaan itu, katanya, dia kini berjaya membuka sebuah restoran di samping melakukan kerja hakiki sebagai penjawat awam.

Dalam pada rata-rata netizen yang menonton perkongsian di TikTok meluahkan rasa kagum dengan keiklasan Asidah dan suami menjaga anak-anaknya itu.

"Contoh yang sangat baik dan mulia. Walaupun sekadar anak angkat, jangan sekali-kali sembunyikan ibu kandung mereka, awak adalah ibu angkat yang sangat mengagumkan!

"Sebaknya saya tengok ni, abang tu kelihatan rindu sangat. Dia peluk erat mamanya... dapat rasa dia lepas rindu.

"Terbaik! Miga Allah permudahkan urusan akak. Hati yang mulia dan dilimpahkan rezeki tak henti-henti buat akak sekeluarga," kata netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain