suria

Kes uniform pelajar MRSM digunting terus misteri! Pelakunya masih bebas, dah berani potong rambut mangsa ketika tidur

Kronologi yang diceritakan oleh ibu mangsa menjadi tular di Facebook.

HAMPIR setiap hari kita dihidangkan dengan kisah-kisah buli yang berlaku di sekolah.

Terbaharu, seorang ibu, Nazrah Mohamed pula mendakwa anaknya menjadi mangsa buli lalu tampil mendedahkan kes yang masih berlarutan di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, katanya, sejak Jun 2022 lalu sehingga kini tiada jalan penyelesaian dilihat malah kes semakin bertambah serius apabila anaknya dan beberapa pelajar lain berterusan didakwa menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism.

Pintu tandas yang diconteng.

Postingnya itu yang diceritakan secara kronologi meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

“Uniform sekolah anak saya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng bersama-sama sehelai baju batik sekolah pelajar senior di dalam blok asrama puteri yang sama. Anak saya telah membuat aduan kepada pelajar senior Form 5 dan roll call diadakan untuk mencari pelaku tersebut tetapi tidak berjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rajin-rajin tangankan anak!” - Netizen geram tengok video budak lelaki buli OKU pakai kostum Donald Duck

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup melutut sambil dengar cikgu marah, kemudian minta maaf sentuh kaki... si guru nak membuli ke mendidik?

“Uniform kuning anak saya berwarna kuning dijumpai di ampaian telah digunting di bahagian lengan. Anak saya telah menelefon dan maklumkan tentang kes berkenaan dan memberitahu pelajar senior sedang cuba menyiasat sendiri terlebih dahulu untuk mencari pelaku sebelum memaklumkan kepada warden.

“Saya menelefon ketua warden untuk follow up kes tersebut malangnya ketua warden terkejut dan tidak mengetahui perkara itu. Setelah disemak, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut,” tulis wanita itu pada hantaran di Facebook.

Bagaimanapun timbul persoalan apabila kes ini yang dianggap berat oleh Nazrah hanya diuruskan oleh pelajar senior tanpa dimaklumkan kepada warden asrama.

Susunan selipar berbentuk seperti seekor ular.

Lebih mengecewakan apabila Nazrah turut menghubungi ketua warden bagi mencari si pelaku namun gagal.

Malah, kes buli tersebut masih berlarutan sehingga hujung Jun 2022 di mana sehelai lagi uniform biru sekolah anaknya dan rakan sebilik dijumpai diconteng selepas dia mengangkat baju di ampaian.

Ceritanya lagi, pada malam kejadian, anaknya dipanggil oleh lima orang warden dan Nazrah mendakwa anaknya itu dipaksa mengaku bahawa semua baju yang diconteng, digunting dan contengan di dinding tandas dilakukan oleh dia sendiri.

“Dia dipaksa mengaku sedangkan anak saya adalah salah seorang mangsa dan telah melaporkan semua kejadian kepada senior dengan segera apabila kejadian tersebut berlaku kepadanya.

Nota ditulis si pelaku.

“Sebaliknya, pihak maktab mengambil ringan aduan anak saya dan tiada kenyataan bertulis diambil oleh pihak maktab apabila menerima aduan-aduan tersebut. Pihak maktab dan warden buntu tidak dapat mencari pelaku sehingga menekan anak saya sebagai pelaku,” ujar Nazrah sambil memberitahu bahawa dia turut bertanyakan hal sebanar kepada anaknya.

Tidak terhenti di situ, rakan sebilik mangsa terjumpa lalu mengambil gambar bagi memaklumkan kepada senior mengenai keadaan selipar disusun di hadapan pintu bilik mereka dan pintu tandas yang telah diconteng.

Tambah Nazrah, dia cuba menghubungi pihak tertentu berkenaan perkembangan kes dan mereka telah memaklumkan bahawa masalah ini telah dirujuk kepada pihak kaunselor.

Menurut kaunselor sekolah, anaknya mengalami masalah anxiety dan mempunyai tahap tekanan tinggi setelah melihat pada perbualan bersama dan meminta agar si anak dirujuk kepada pakar psikiatri.

Kami juga mahu perkara ini diselesaikan dengan segera memandangkan ia telah melibatkan body contact.

NAZRAH

Bagi mendapatkan kepastian, Nazrah membawa anaknya berjumpa pakar seperti dicadangkan dan ternyata anaknya disahkan sihat dan tiada masalah seperti diperkatakan.

Setelah berjumpa pihak pengurusan di sekolah, mereka mengakui terdapat kesilapan dari pihak maktab dalam menjalankan siasatan kes sehingga menuduh mangsa.

“Kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab ke atas kes-kes yang berlaku melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab.

Baju salah seorang mangsa diconteng.

“Kami juga telah failkan aduan di dalam SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kami telah memfailkan aduan di SISPAA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandangkan Mara adalah di bawah KPLB,” jelas Nazrah.

Bagaimanapun maklum balas diterima mengecewakan si ibu kerana didakwa bersifat berat sebelah memandangkan hanya pihak warden dipanggil tetapi tiada sebarang keterangan daripada anaknya diambil.

Laporan polis telah dibuat dan pihak polis mengarahkan pihak maktab membawa anaknya yang berusia 14 tahun ke balai bagi mendapatkan keterangan berdasarkan laporan dibuat pada 22 Julai 2022 selama dua jam.

“Kami telah mengambil anak kami pulang ke rumah untuk direhatkan pada hari yang sama. Pada sebelah malam, kami dimaklumkan oleh salah seorang parents Form3, anaknya telah terjumpa nota berbaur ugutan di dalam biliknya di asrama.

Lambang dan logo yang dibuat si pelaku.

“Bilik anaknya itu berhadapan dengan bilik anak kami. Nota-nota tersebut ada ditujukan kepada anak kami, El,” kata Nazrah yang kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berwajib.

Pegawai penyiasat kemudian meminta Nazrah membuat laporan polis berikutan ugutan sebelum mereka memutuskan untuk menghantar semula anak ke sekolah pada 11 Ogos 2022.

Bagaimanapun pada 12 Ogos 2022, mangsa membuat panggilan pada jam 6.50 pagi memaklumkan rambutnya dan dua rakan lain dipotong pendek ketika tidur pada malam tersebut.

Keadaan rambut El setelah digunting pelaku.

Berang dengan apa yang terjadi, Nazrah mahu pihak sekolah segera mengesan si pelaku kerana kes sudah semakin melampau melibatkan sentuhan pada tubuh.

“Mungkin kesemua mereka menunggu sehingga ada kematian baru nak bertindak!

“Kami menuntut pihak MRSM mencari pelaku tersebut segera dan mengenakan tindakan keras ke atasnya. Kami juga mahu perkara ini diselesaikan dengan segera memandangkan ia telah melibatkan body contact dan ia bukan lagi kes gangsterism atau perbuatan khianat tetapi kes jenayah yang semakin menjadi-jadi di dalam maktab,” ujarnya.

Untuk rekod hantaran di Facebook tersebut telah meraih lebih 22,000 perkongsian semula dan lebih 10,000 tanda suka.

Lukisan dan tulisan ditulis dengan pen merah oleh pelaku.

Malah, warga maya menghujani ruangan komen pada hantaran tersebut setelah membaca kronologi serta melihat gambar-gambar yang dimuat naik yang dianggap menakutkan.

“Tulisannya warna merah. Musykilnya! Pasti pelakunya psikopath. Kalau nak kata mangsa buat pada sendiri dan kawan-kawan dia instinct aku tak setuju. Semoga jumpa jalan penyelesaian.

“Elok diviralkan. Zaman sekarang viral baru laju buat kerja. Nak tunggu ada yang mati baru nak buka mata agaknya,” komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain