suria

Misteri di MRSM mirip kejadian di Medan! Penyewa Malaysia ‘dihalau’ dengan gangguan seram, muncul contengan ‘keluar’ di dinding

Aimi memuatnaik gambar tulisan yang diconteng di sofa rumah sewanya.

MISTERI kejadian yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang masih lagi belum reda dan terkini pelayar media sosial didedahkan dengan kes seumpamanya yang berlaku sekitar tahun 2010 hingga 2012.

Bagaimanapun kejadian tersebut didakwa berlaku di Medan, Indonesia.

Menerusi perkongsian pemilik akaun Aimi Jaafar, dia berdepan dengan situasi sama semasa menyewa sebuah rumah di Medan.

Malah katanya, corak tulisan atau contengan misteri yang dilihat juga seakan sama dengan tulisan di asrama MRSM yang tular baru-baru ini.

“Tengok tulisan, nampak macam ada kesamaan dengan tulisan waktu kami kena kacau di Medan dulu. Perkara ini berlaku dalam tahun 2010 hingga 2012.

“Saya kongsikan balik kisah kami di Medan bersama gambar tulisan. Tapi tulisan kat Medan ni lagi buruk. Mungkin dia tak pergi sekolah,” luahnya menerusi catatan di Facebook.

Bagaimanapun, Aimi dalam masa sama tidak menafikan jika terdapat unsur khianat dan campur tangan manusia dalam kes di MRSM.

Aimi menceritakan pengalamannya yang seakan kes misteri di MRSM Pahang baru-baru ini.

Aimi menceritakan pengalamannya yang dikatakan hampir sama dengan kes misteri di MRSM Pahang baru-baru ini.

Namun dia yakin apa yang dilaluinya sebelum ini adalah 90 peratus berkaitan mistik manakala 10 peratus sahaja dikhuatiri berlaku disebabkan perbuatan manusia.

Memulakan cerita, dia menyatakan perkara pertama yang disedari semasa menyewa rumah tersebut adalah tulisan yang diconteng pada dinding.

“Mata saya tertumpu di ruang tamu yang terletak bertentangan dengan bilik. Semasa mencari alat kawalan jauh (remote control) televisyen, saya ternampak ada contengan di dinding belakang sofa.

“Disebabkan terkejut, saya memanggil rakan lain dan bertanyakan siapa yang menconteng dinding menggunakan marker hitam.

“Selepas diamati, barulah saya faham contengan itu adalah perkataan ‘keluar’... tulisan tu memang sangat buruk,” ujarnya yang kemudian membuat laporan polis.

Tambahan pula tahun tersebut sedang heboh sentimen benci antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Menurut Aimi kejadian misteri terus berlaku sepanjang dia dan dua rakan menghuni rumah berkenaan.

“Semasa saya nak tidur, tiba-tiba terdengar bunyi benda dicampak dari luar bilik. Bila saya dan rakan-rakan tengok, rupanya kuih bangkit yang dibawa dari Malaysia jatuh bertaburan di lantai.

“Masa tu memang terkejut sebab tingkap telah ditutup rapat. Lagipun macam mana bekas kuih terletak kemas di atas kerusi boleh jatuh dengan sendiri.

“Sekali lagi tulisan ‘keluar’ terpampang di kaca televisyen dan di bawah remote control,” luahnya.

Contengan pertama di dinding sebelum beberapa kejadian lain.

Contengan pertama di dinding sebelum beberapa kejadian lain.

Ekoran kejadian yang berlaku beberapa kali itu, dia dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk tidur bersama-sama kerana ketakutan.

Bercerita lanjut, ujarnya, perkataan ‘keluar’ akan kelihatan di lokasi berlakunya ‘kejutan’.

Paling menyeramkan apabila ketika bangun, kerusi beroda tiba-tiba terletak menghadap mereka yang sedang tidur.

Tidak tahan diganggu, Aimi dan rakan-rakannya membuat majlis bacaan Yasin dan memanggil beberapa lagi komuniti Malaysia yang ada di sekitar.

Seorang ustaz turut dipanggil untuk ‘bersih’ rumah daripada diganggu makhluk ghaib.

Namun, ia tidak bertahan lama.

Menurutnya, ketika musim ‘mati lampu’ selama empat jam pada waktu malam, tiba-tiba semua orang dikejutkan dengan tulisan di dinding.

“Penuh kat dinding belakang tempat tidur, dinding kepala masing-masing semasa tengah landing. Berapa sentimeter dari kepala masing-masing,” ceritanya.

Dalam pada itu, Aimi turut menyatakan bahawa dia sendiri tidak mengetahui punca ‘dihalau’.

Contengan di dinding bilik tidur Aimi semasa 'lampu mati'.

Contengan di dinding bilik tidur Aimi semasa 'lampu mati'.

“Rumah kami ada tiga bilik, satu bilik tambahan, dan dua tandas. Aku beruntung sebab dapat bilik dengan tandas di dalam.

“Memandangkan aku bukan pengguna tandas luar, aku tak ambil tahu sangat bila ada yang bertanya pasal tisu di dalam tandas. Dalam seminggu dua tu agak tegang sikit antara teman serumah aku yang lain pasal tak ada yang mengaku buang tisu dalam tandas.

Disebabkan teguran tidak diendahkan... jadi ada yang menulis ‘jangan buang tisu di sini’. Mungkin ia telah mencetuskan kemarahan si 'pembuang tisu' tu, dan dia bukan antara kami.

AIMI

“Tisu kotor yang dah digunakan berlonggok-longgok, mesti di sudut yang sama. Dah dibersihkan pun nanti ada balik, disebabkan teguran tidak diendahkan... jadi ada yang menulis ‘jangan buang tisu di sini’. Mungkin ia telah mencetuskan kemarahan si 'pembuang tisu' tu, dan dia bukan antara kami,” imbaunya lagi.

Menurut Aimi, pada awalnya dia dan rakan-rakan menggelar ‘pelaku’ tersebut sebagai hantu tisu namun selepas beberapa ketika barang pula disembunyikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup melutut sambil dengar cikgu marah, kemudian minta maaf sentuh kaki... si guru nak membuli ke mendidik?

ARTIKEL BERKAITAN: Kes uniform pelajar MRSM digunting terus misteri! Pelakunya masih bebas, dah berani potong rambut mangsa ketika tidur

“Masuk bilik kejap, keluar balik tengok sofa, kipas diri, semua dah terbalik. Itu perkara biasa.

“Main sorok-sorok pun ada. Sebelum solat letak handphone kat kerusi. Habis solat dah tak ada. Jenuh la kami kena punggah satu rumah. Nak suruh call? Pandai pula dia matikan telefon. Cari dekat semua ceruk yang tak pernah usik pun. Akhirnya, jumpa dalam laci meja yang memang terkunci, yang kunci dia dah tak ada dah pun. Kopak meja, baru jumpa telefon.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

“Pernah sekali, kawan rumah menjerit sebab nampak lembaga putih, berkibaran kain. Rupanya kipas dipakaikan telekung,” katanya.

Pernah meminta bantuan seorang ustaz tempatan, ujar Aimi, dia dimaklumkan bahawa rumah tersebut mempunyai makhluk ghaib wanita yang ‘tidak tenteram’.

“Akhirnya kami berjaya jumpa rumah baru. Kontrak dengan rumah tu pun dah nak habis, walaupun rugi beberapa bulan. Tapi dah tak sanggup nak berhousematekan 'dia'.

“Hari-hari terakhir kami pun 'dia' makin ganas. Letak cawan atas peti ais, jatuh tiba-tiba macam dihempas ke lantai, habis bersepah kaca,” katanya.

Hantaran yang dibuat di Facebook itu menjadi tular dan dikongsikan lebih 3,500 pelayar kerana kejadian itu hampir sama dengan kes yang berlaku di MRSM.

Bagaimanapun terdapat juga pelayar media sosial yang merasakan perbuatan tersebut dilakukan oleh manusia yang mengalami tekanan perasaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain